Photo credit: nasilemaklover.blogspot
BUDAYA YANG SUDAH
KITA KETEPIKAN
KITA KETEPIKAN
KELMARIN
saya bertemu seorang teman di sebuah kafe sambil minum petang. Saya pesan minuman
cappuccino latte. Bila minuman itu dihidangkan,
saya terpegun menatap lukisan latte-art yang
cantik di permukaan minuman itu. Memori saya melayang teringatkan awan larat diperbuat
daripada santan yang emak lukiskan di permukaan bubur pulut hitam kegemaran
saya. Dulu bubur pulut hitam, kini cappuccino. Betapa jauh masa berlalu, betapa
berbezanya citarasa berubah.
Saya
kata begitu kerana kini saya lebih kerap meneguk cappuccino daripada menjamah
bubur pulut hitam. Mungkin kerana di kota, cappucino lebih mudah diperolehi
daripada bubur pulut hitam, maka itu yang membezakan kekerapannya. Namun, bila
bayangan bubur pulut hitam yang emak buat terpapar di layar minda pada petang
kelmarin, saya disentuh dengan rasa bagaimana masa dan suasana menjadikan selera
kita sudah berbeza.
Saya
teringat zaman bujang di Kuala Lumpur pada awal tahun 80an. Kami yang duduk
serumah di Bangsar akan bermotorsikal ke Chow Kit untuk makan nasi lemak
selepas tamat siaran TV jam 12.00 malam. Pada kali pertama, saya berasa hairan
kerana makan nasi lemak di tengah malam.
Walhal
sejak kecil di kampung dahulu, nasi lemak adalah hidangan untuk sarapan. Dan,
nasi lemak dahulu hanyalah nasi dengan sesudu sambal, sepotong telur dan
dilengkapkan dengan dua hiris timun yang dibungkus dalam daun pisang. (Di waktu
kecil, saya suka belek timun yang cantik berbunga kerana disagat dengan garfu).
Nasi lemak di Chow Kit siap dengan sotong, ayam, kerang dan sayur kangkung!
Namun,
sejak dari itu saya mula belajar makan nasi lemak dengan beranika lauk bukan
semata-mata untuk sarapan pagi. Malah, kini saya pula terasa ganjil pula bila membeli
nasi lemak dengan resipi original timun, telur dan sambal sahaja walaupun, nasi
lemak ponjot itu pun turut mengenyangkan hingga ke tengahari.
Tabiat
bersarapan dengan roti canai pun saya belajar setelah berhijrah ke Kuala Lumpur.
Di zaman persekolahan di kampung, makanan yang sejenis dengan roti canai ialah
lempeng yang dimakan dengan sambal kelapa atau sambal tumis ikan bilis. Saya
tidak kenal dengan roti telur, roti sardin, apatah lagi roti keju. Kalau dahulu
saya bersarapan dengan jemput-jemput ikan bilis, kini sarapannya bertukar
kepada nuget. Sama pada saiz tetapi berbeza rasa.
Tatkala
kecil, ayam yang hanya mampu saya rasa ketika ada majlis kenduri kahwin atau apabila
emak masak untuk menyambut abang saya balik kampung, kini boleh saya mamah pada
bila-bila masa. Saya tidak berasa pelik makan ayam goreng tanpa nasi
sehinggalah apabila nenek saudara yang berkunjung ke rumah pada bulan lalu menegur
hidangan tengahari kami hanya sekotak besar ayam goreng.
Citarasa
makanan kita pada mulanya berubah kerana kita tiada masa. Ketika anak-anak
masih kecil dan kita sibuk hendak membina kerjaya dan keluarga, mana sempat
isteri hendak membuat karipap atau kuih kasui sebagai sarapan seperti yang emak
kita dapat lakukan? Maka anak-anak yang hendak ke sekolah dibiasakan dengan
roti bersama jem ataupun kentang goreng.
Bila
pulang dan tidak sempat memasak lauk gulai tumis ikan pari atau masak lemak
nangka dengan ulam-ulaman sebagai makan malam, satu keluarga akan mengunyah
burger atau piza. Kalau pun makan nasi, kita lazimnya akan menjamah nasi patprik,
tomyam dan sayur campur yang dibeli dari restoran Siam kerana hampir mustahil
kita dapat mencari masakan Melayu di restoran pada waktu malam.
Kerana
kesibukan dan menu makanan yang ada, kita mengajar diri dan seluruh keluarga untuk
makan apa yang mudah didapati dengan cara membeli. Akhirnya, kita yang menukar selera
makanan anak-anak. Tetapi, bila tiba mereka membesar, mereka yang sudah bercitarasa
universal pula mempengaruhi kita dengan memperkenalkan masakan Jepun, Korea,
China Itali atau Mexico.
Namun,
bila difikirkan, bukankah makanan itu sebahagian daripada budaya kita? Bukankah
bila kita mengenepikan menu dan resipi tradisi Melayu, ia juga bermakna kita
mengkesampingkan sebahagian daripada budaya kita? Tidak rasa terkilankah menolak
sebahagian daripada budaya?
Kalau
kita boleh marah-marah dengan pengagungan bahasa Inggeris, mempersoal mereka
yang berbahasa rojak, berbahasa pasar atau menulis mengikut ejaan SMS, kenapa
kita tidak kisah kalau kita suka donat daripada kuih keria? Kalau kita
mengkritik pakaian barat, mengapa tidak kisah dengan selera barat kita sekeluarga?
Budaya
tetap budaya. Bahasa, tulisan, pakaian, adab sopan, kesenian dan permainan patut
kita sanjung dan pertahankan. Makanan? Makanan dikecualikan kerana makan adalah…
maaf cakap; soal hidup dan mati!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.10.2013, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.10.2013, insya-ALLAH...
Follower ke : 598
ReplyDeleteHai.. Salam Kenal..
done follow.. jom follow blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/
klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
http://kucenkucenbelog.blogspot.com/