Tuesday, October 8, 2013

ADA BANYAK CARA BERJIMAT



Photo credit: wargamarhaen.blogspot

SATU CARA
JIMAT
BELANJA NEGARA

SIAPA yang tidak sakit hati apabila Laporan Ketua Audit Negara 2012 sekali lagi memaparkan kesilapan, kelemahan malah mungkin juga penyelewengan dalam sistem perolehan pelbagai jabatan, kementerian dan agensi kerajaan?

Benarkah tiris yang sudah menjadi bocor ini terjadi kerana pihak yang bertanggungjawab tidak cekap membuat bajet, tidak pandai mengurus dan mentadbir perbelanjaan atau tidak tahu cara memantau perlaksanaan sesebuah projek? Kerana kelemahan ini, barangan yang dibeli, perkhidmatan yang diperoleh mahupun kos kerja yang diberikan kepada sesuatu pihak menjadi jauh lebih mahal daripada harga pasaran, rendah hasil dan kualiti hingga akhirnya terbiar begitu sahaja.

Siapa yang tidak marah bila pihak yang bertanggungjawab tidak pandai menilai kebolehan sesebuah syarikat? Mengapa projek sesebuah bangunan itu melebihi bajet? Bukankah pihak yang ingin menawarkan kerja itu akan memilih syarikat-syarikat dari yang disenaraipendek? Kemudian, syarikat yang berjaya itu dipilih kerana ia menepati kriteria dari segi kelayakan, pengalaman dengan sebutharga yang paling berpatutan?

Siapa yang tidak sakit hati apabila pihak berwajib tidak pandai mengurus? Misalnya, pelaburan yang dibuat untuk menambah pendapatan sesebuah agensi itu menjadi rugi apabila sewa bangunan tidak dapat dikutip daripada penyewa, dokumen perjanjian tidak dikuatkuasakan hingga penyewa tinggal melebihi tempoh sedangkan premis itu boleh sahaja disewakan kepada pihak yang boleh membayar?

Siapa yang tidak tepuk dahi apabila membaca laporan audit yang menunjukkan sesuatu barangan yang dibeli itu berpuluh kali ganda lebih mahal daripada harga yang sepatutnya? Samada membeli jam mahupun jentera, penilaiannya tetap sama iaitu membeli barangan yang berkualiti dengan harga yang berpatutan. Jika barangan yang dibeli itu tidak masuk akal mahalnya, maka apakah orang yang meluluskan dan membayar harga barangan yang mahal itu tidak menggunakan akal?

Kesilapan dan kesalahan yang ditemui perlu diperbetulkan oleh mereka yang melakukannya. Jika perlu, tindakan disiplin untuk menukar, turun pangkat atau memberhentikan orang yang melakukan kesalahan itu perlu dilaksanakan. Namun, andainya terdapat unsur-unsur kecuaian yang disengajakan dengan tujuan untuk menipu, menyeleweng, pecah amanah dan rasuah, ops cantas terhadap mereka ini perlu dilakukan tanpa belas kasihan.

Ini sentimen rakyat. Mereka marah pada pembaziran. Mereka lihat dan tafsir Laporan Ketua Audit Negara 2012 sebagai bukti kelemahan pentadbiran orang yang diamanahkan untuk mengurusnya. Sebab itu di ruangan akhbar, di alam siber dan di mana-mana, orang bercakap mengenainya.

Malah ada yang mencerca kerajaan Barisan Nasional meskipun di peringkat negeri, ada juga kerajaan Pakatan Rakyat.  Ada yang memaki hamun pemimpin dan parti-parti politik yang tidak mereka sukai, meskipun yang bertanggungjawab adalah kakitangan kerajaan yang culas tidak kira di negeri pemerintahan BN mahupun PR.

Pembaziran, lawannya berjimat. Berjimat itu tidak bererti tidak boleh berbelanja tetapi bermakna mencari jalan menurunkan kos. Banyak sekali kos yang dapat dijimatkan jika pihak yang bertanggungjawab mencari jalannya. Kerja-kerja yang asas, yang tidak memerlukan piawaian kualiti antarabangsa dan jutaan nilainya boleh terus ditawarkan kepada mana-mana syarikat yang layak.

Sebaliknya, kerja-kerja yang mudah dan murah boleh sahaja diberikan kepada mana-mana jabatan dan fakulti di universiti. Saya teringat pada tahun-tahun 70an dahulu, kerja-kerja membuat rekabentuk logo seperti logi Pos Malaysia yang lama dan logo lama RTM diberikan kepada para pelajar Kajian Senilukis dan Senireka UiTM. Mereka yang berjaya diberi markah selain daripada imbuhan. Kosnya tidak sampai beribu-ribu ringgit.

Pada hari ini, banyak sekali projek kementerian, kerajaan negeri dan badan-badan berkanun boleh ditawarkan sahaja kepada fakulti-fakulti universiti. Kerja untuk membina laman web, blog dan laman sosial misalnya boleh diberikan kepada fakulti multimedia. Kosnya murah-murah tidak sampai juta-juta.

Kempen-kempen kesihatan, pengguna, kebudayaan boleh sahaja diberikan kepada fakulti perniagaan dan pemasaran. Begitu juga penganjuran majlis yang besar-besar, seperti malam gala itu, malam gala ini berikan sahaja kepada fakulti komunikasi massa. Begitu juga lanskap asas di bulatan dan taman-taman boleh diberikan kepada fakulti senibina atau pertanian.

Banyak sangat boleh dijimatkan. Fikirkan sahaja. Para pelajar fakulti dan pihak universiti sendiri akan menerima segala tawaran ini dengan tangan terbuka. Malah, ia membina rasa patriotik pelajar universiti untuk mencintai negara kerana mereka turut membinanya dengan fikiran dan tangan mereka sendiri.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.10.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment