Photo credit: bitbroken.com
CEKAP BERFIKIR TETAPI TIDAK SIHAT
CEKAP BERFIKIR TETAPI TIDAK SIHAT
MEMANDU
untuk mencari rumah pengantin turut
memberi saya peluang meninjau dan melihat kawasan perumahan baru, taman
rekreasi, masjid, sekolah, pasaraya, kolam kumbahan, tempat pelupusan sampah
serta pelbagai lagi tempat yang menarik dan juga yang menyakitkan mata.
Biasanya,
bila kita ke tempat yang lazim kita pergi, pandangan kita hanya ke hadapan,
melihat lampu trafik dan tol. Tetapi, bila memandu ke rumah pengantin pula kita
akan ke tempat yang tidak pernah kita sampai. Segala mercu tanda kita perhati
dan bandingkan dengan peta di kad jemputan kahwin. Kita akan lebih peka dengan
suasana sekeliling.
Baru-baru
ini saya terpandang sebuah bangunan tinggi yang cantik tatkala memandu ke rumah
pengantin di pinggir Lembah Kelang. Apabila melewati, bangunan yang cantik itu
rupa-rupanya adalah sebuah kolej swasta. Bangunan-bangunan di sekeliling kolej
swasta itu adalah bangunan rumah kedai tiga tingkat. Ertinya, kolej swasta itu
menyewa bangunan tinggi itu kerana ia terletak di kompleks perniagaan.
‘Kolej
tu tak ada padang ke?’ tanya anak saya yang duduk di kerusi belakang. Walaupun
baru selesai menduduki peperiksaan PMR, anak saya sudah berangan untuk belajar
hingga ke universiti. Sejak di sekolah rendah lagi dia sudah bercita-cita hendak
menuntut di Universiti Malaya seperti abangnya atau di UiTM seperti kakaknya.
Malah, dia sudah biasa masuk ke dalam kampus tatkala saya menghantar abang dan
kakaknya pulang pada hujung minggu.
Soalan
anak bongsu saya itu membuat memori saya mengimbau dan perasan
sekurang-kurangnya ada dua lagi kolej swasta yang ditempatkan di bangunan
tinggi. Sebuah kolej berada di tepi jalan dan sebuah lagi di kawasan perumahan.
Tiada padang bola atau taman rekreasi disediakan untuk para pelajarnya seperti
kolej swasta yang baru saya lewati itu. Mengapa ya?
Apakah
tiada peraturan dan syarat ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan kepada
mana-mana kolej swasta untuk menyediakan padang untuk para pelajarnya beriadah?
Bukankah pendidikan itu seharusnya komprehensif iaitu membina mental, fizikal
dan spiritual? Bukan semata-mata membina mental?
Bukankah
falsafah pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia(PPPM)
2013-2025 itu mengambil semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu, ‘Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.’
Membina intelek memang kita cambahkan di mana-mana
institusi pengajian kerana pendidikan pada asasnya adalah untuk membina daya
fikir dan pengetahuan. Kita menyediakan pensyarah, perpustakaan dan makmal.
Kita galakkan kajian, hujah, wacana, seminar, forum dan seumpamanya. Penyediaan
prasarana dan pemupukan budaya ilmu amat digalakkan.
Pembinaan rohani dan emosi boleh diukur dengan penyediaan
masjid dan surau bagi para pelajar beragama Islam serta penggalakkan
aktiviti-aktiviti keagamaan. Ruang-ruang untuk mengamalkan budaya dan agama
bagi yang bukan Islam juga diizinkan. Dari pandangan kasar, memang ramai dari
kalangan pelajar yang dapat memperkukuh rohani dan emosi di pusat pengajian
tinggi. Itu petanda bahawa selain membina mental, aspek spiritual turut
terbina.
Namun, bagaimana pula dengan pembinaan jasmani? Apakah ia
benar-benar digalak dan disarankan oleh pihak institusi pengajian kepada para
pelajarnya? Jika diukur pada denai joging kampus dan padang yang tidak meriah
pada hujung-hujung minggu dengan mereka yang bersenam, tidak nampak ada usaha
kita yang serius untuk membina kekuatan jasmani sebagai salah satu aspek yang
perlu buat seseorang pelajar. Bagaimana pula dengan tiga kolej yang tidak
mempunyai padang itu? Kalau pun di situ ada gimnasium, ia tidak boleh menampung
hingga 500 pelajar untuk beriadah pada satu-satu masa.
Di
mana aspek jasmani atau fizikal ini? Apakah ia tidak penting? Apakah jurutera
petroleum tidak perlu fizikal yang kuat untuk memanjat dan melompat di
celah-celah palang di pelantar minyak? Ataupun juruukur bahan yang dalam
kerjayanya nanti perlu tahan mengharung selut dan bermain dengan pacat dalam
menjalankan tugasnya? Ataupun seorang doktor veterinar yang dapat menarik lembu
untuk ditambat sebelum memeriksanya?
Ada
banyak ketika bilamana seseorang itu perlukan kekuatan fizikal dalam
menjalankan tugasnya. Jika pembinaan fizikal tidak dianggap penting dalam
pembinaan pendidikan, lebih-lebih lagi di universiti, kita hanya melahirkan
manusia yang pandai berfikir, kuat beragama, tetapi boyot dan cepat mengah.
Bersukan sebenarnya memperkuat semangat juang di dalam diri. Justeru itu,
aktiviti jasmani perlu diperkasakan. Barulah sistem pendidikan itu holistik.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.10.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment