Tuesday, July 30, 2013

CERITA DUNIA BUKU



Photo credit: igniteme.com

SIAPA YANG NODAI DUNIA PERBUKUAN

SAYA ada beberapa orang kenalan yang berjaya sebagai penulis buku. Ada yang berhenti kerja dan menjadikan bidang penulisan sebagai kerjayanya. Jika dahulu, seseorang tidak boleh cari makan dengan menulis buku, kini keadaan sudah berbeza. Mereka bukan setakat boleh cari makan, malah mereka boleh selalu makan-makan.

Pada hari ini, penulis buku boleh hidup senang. Jika sebuah judul buku yang terbit itu dicetak hingga 50 ribu naskhah, royalti bagi buku itu cukup untuk hidupnya sendiri buat setahun. Andaikata bukunya berharga RM10 senaskhah, royalti yang diperoleh, biasanya 10 peratus daripada harga pasaran buku membolehkan dia mendapat RM50,000.

Menulis sebuah buku setahun, dengan anggaran cetak sebanyak 50,000 naskhah, bila didharab dengan jumlah tahun dia menulis, misalnya 10 tahun, membolehkan seseorang penulis itu memperoleh RM500,000. Ini belum termasuk dengan jumlah ulangcetak. Andainya bukunya laris, penulis itu boleh mendapat dua kali ganda daripada jumlah itu. Diam tak diam, ramai penulis buku sudah jadi jutawan.

Ada banyak faktor yang membolehkan seseorang menjadikan menulis buku sebagai kerjaya yang berjaya lagi mengayakan. Yang pertama ialah kerana minat membaca rakyat Malaysia sudah meningkat. Jika kajian dibuat, rakyat Malaysia sudah tidak lagi membaca dua halaman setahun. Mungkin mereka sudah membaca dua buah buku setahun.

Kemunculan rangkaian kedai-kedai buku yang cantik seperti MPH Bookstores dan Kedai Buku Popular menjadikan tabiat berkunjung ke kedai buku adalah satu aktiviti yang bergaya. Kalau dahulu, kedai-kedai buku hanya dipenuhi dengan buku-buku teks dan panduan menjawab soalan peperiksaan, kini kedai-kedai buku sarat dengan pelbagai buku novel, motivasi, buku agama, panduan perniagaan, psikologi, memasak dan banyak lagi yang memenuhi citarasa golongan yang ingin membaca.

Sudah tiada lagi kedai-kedai buku yang menyimpan buku-buku yang berhabuk dan berlapuk. Rangkaian kedai-kedai buku yang lebih kecil seperti Syarikat Muda Osman dan Kedai Buku Intan yang bersaing di pasaran di Pantai Timur, Kedai Buku Hasani di Utara dan Kedai Buku Thai Kwang di Selatan serta Pustaka Rakyat di Lembah Kelang sudah berani menggajikan petugas-petugas untuk mempromosi buku, menghias rak-rak buku dengan poster, memberi diskaun dan kad keahlian kepada para pelanggannya. Ini merancakkan jualan dan meningkatkan juga pendapatan penulis.

Dunia penerbitan buku di Malaysia sendiri sudah berubah. Jika dahulu, penerbit buku banyak bergantung hidup dengan menerbitkan buku-buku teks, yang mana pusingan modalnya lambat, kini bila penerbit-penerbit buku beralih kepada penerbitan buku-buku novel dan umum, mereka memperoleh pulangan terus daripada pelanggan.

Tambahan pula, bila penerbitan buku bukanlah sesuatu yang eksklusif dan golongan penulis pula celik penerbitan, celik niaga dan undang-undang, penerbit-penerbit putar alam terpaksa gulung tikar. Bila golongan penulis kian bertambah dan rangkaian sosial mereka lebih terbuka dan telus, penerbit-penerbit yang menipu penulis tidak dapat bertahan lama. Si penipu kini mudah didedah dan dihebah hingga terus diboikot. Beberapa tahun lalu, sebuah penerbit dari selatan tanahair terpaksa tutup kedai akibat diboikot oleh golongan penulis kerana menipu royalti.

Kini, gergasi-gergasi penerbitan seperti Grup Buku Karangkraf, PTS dan Telaga Biru adalah di antara penerbit yang memberikan ruang, peluang dan masa depan yang cerah kepada golongan penulis kerana mereka jujur dalam pembayaran royalti serta menjaga hubungan baik dengan mereka. Kejujuran penerbit-penerbit ini menghasilkan suasana menang-menang bila penulis yang ada nama mula memberi keuntungan kepada syarikat. Walhal, di peringkat awal penulis itu, dialah yang bergantung kepada penerbit.

Bagaimana pun, dalam keadaan yang cerah dan meriah dunia penerbitan di mana pasarannya semakin berkembang, penerbit semakin bertanggungjawab dan penjual semakin agresif mengedar buku, terdapat pula pihak yang mengeruhkan keadaan. Pihak manakah itu?

Pihak penulis. Jika dahulu, kisah penulis yang dipinggirkan, diperguna dan akhirnya ditipu menjadi cerita sedih dunia penerbitan buku, kini keadaan menjadi sebaliknya. Kini ada pula penulis yang menyertai bidang ini untuk mengambil kesempatan. Mereka menghantar karya yang sama kepada lebih daripada satu penerbit.

Penerbit mana yang memberi harga yang tinggi, maka ke sanalah karyanya dihantar. Karya yang diletak ke penerbit yang satu lagi diambil kembali walaupun proses editing mahupun rekaletak sudah dilaksanakan. Modal yang telah dikeluarkan oleh penerbit itu tidak dipedulikan.

Terdapat juga penulis yang menggunakan nama lain untuk penerbitan yang lain walaupun perjanjian persefahaman kerjasama dengan penerbit asal telah dimaterai. Itu belum termasuk segelintir penulis yang menjaja keburukan penerbitnya yang asal setelah dia berhijrah ke penerbitan baru.

Seseorang penulis yang seharusnya berperibadi tenang, seorang pemikir dan bertindak secara berwawasan. Penulis yang tidak berjiwa penulis telah merosakkan dunia penerbitan buku yang seharusnya tenteram kerana dihuni oleh mereka yang tinggi daya fikirnya.
Artikel ini akan trbit di akhbar Sinar Harian pada 31.7.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment