Photo credit: austinkleon.com
BELAJAR SECARA
BERULANG-ULANG
BERULANG-ULANG
ALHAMDULILAH,
pada hari ini kita mula berpuasa Ramadan. Mudah-mudahan segala kesilapan dan
kekurangan puasa pada tahun lalu dapat diperbaiki pada tahun ini. Mudah-mudahan
puasa dan ibadah kita pada bulan ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelum
ini.
Puasa
dikatakan sebagai latihan sebulan untuk dipraktikkan pada sebelas bulan
berikutnya. Ertinya, kita berlatih untuk mengawal hawa nafsu makan, minum,
mata, telinga, lidah, minda dan juga syahwat. Kawalan hawa nafsu itu dimotivasikan
dengan memperbanyak ibadah solat, membaca al-Quran dan zikir.
Hadiah
kepada latihan berpuasa ini ialah pahala yang berlipat kali ganda. Mudah-mudahan
kita dilorong dan didorongkan untuk melakukan segala ibadah. Mudah-mudahan kita
seronok bila dapat mengawal hawa nafsu dari hari pertama Ramadan hinggalah ke
akhir bulan yang penuh kemuliaan ini.
Semoga
hati kita akan sedih dan sayu bila menyedari Ramadan hendak meninggalkan kita
kelak. Bukannya terlalu gembira pada hari raya akan menjelang. Andainya, kita
berjaya mengawal mental, fizikal dan spiritual kita pada kali ini dengan melihat
daripada sudut pandang yang berbeza dan segar mengenai puasa, insya-ALLAH
ibadah kita dapat diamalkan dengan jayanya.
Empat
para yang saya tulis di atas sebenarnya adalah di antara inti amalan puasa yang
saya ingat melalui bahan bacaan, pendengaran dan tontonan sebelum ini. Saya
susun dan adun kembali intipati puasa itu mengikut apa yang saya fahami. Tentu
sekali anda pernah terbaca imbasan ayat saya tulis di atas, di mana-mana medium
sebelum ini.
Malah,
coretan mengenai puasa seperti di atas sudah beratus kali anda baca. Itu tidak
termasuk segala bentuk ceramah puasa di pejabat, di masjid dan surau serta melalui
bahan-bahan bacaan di buku, kitab, laman-laman web dan juga video di internet.
Namun,
apakah dengan membaca, mendengar dan menonton beratus-ratus kali rencana dan
kuliah mengenai puasa itu akan membuatkan kita jemu dan jelak untuk mengulang
dan mentelaah mengenainya? Mudah-mudahannya tidak.
Saya
terjumpa beberapa buah artikel mengenai pentingnya perulangan dalam
meningkatkan kefahaman dalam pembelajaran. Layarilah internet dan anda akan
menemui banyak sekali artikel yang merumuskan bahawa perulangan adalah inti
kepada kepandaian.
Daripada
sudut asasnya, perulangan akan menimbulkan conditioning
iaitu pola pemikiran yang membantu kita mengingat dan memberi reaksi yang sama apabila
suasana yang pernah kita alami itu berulang kembali.
Apabila
sesuatu itu berulang, kita akan ingat. Apabila kita ingat, kita boleh
memahaminya. Setelah memahami, kita akan mudah menghayati sesuatu yang
diulang-ulang hingga kita menjiwainya. Justeru itu, jika kita ingin menghayati
sesuatu, perulangan amat mustahak. Kita tidak boleh jemu untuk mengulangi apa
yang kita rasa sudah tahu tetapi belum tentu fahami.
Kerap
terjadi, apa yang kita anggap biasa pada hari ini, tetapi di lain waktu ia
menjadi sesuatu yang begitu bererti buat kita. Misalnya, tatkala kita berasa
amat sedih apabila dilanda gosip pejabat, ayat 5 al-Fatihah, ‘Engkaulah
sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon
pertolongan,’ menjadi ubat yang amat melegakan
ketika kita melafaznya. Walhal sebelum menghadapi masalah, ayat tersebut dibaca
tanpa penghayatan.
Dalam
pada itu, perulangan juga bukan sahaja ditujukan kepada kita sebagai si penerima.
Sebaliknya, kita sebagai pemberi juga perlu ingat bahawa perulangan itu amat
penting dalam menyampaikan mesej supaya si penerima itu terdidik dengan
perulangan yang kita lakukan.
Contohnya,
kita sering terdengar pada ibubapa yang sudah jenuh memberi nasihat kepada si
anak yang dikatakan mendengar tidak cakap. Anak yang degil sememangnya memenatkan apabila
masih melakukan apa yang kita larang. Kita tidak boleh jemu menegurnya secara
berulang. Tetapi jika nasihat kita tidak diendahkan, mungkin tekniknya perlu
dipelbagai.
Kita
boleh meminta orang lain menasihatkan atau memberinya bahan bacaan atau
tontonan sebagai alat bantu. Jika tidak boleh juga, tentu sekali kita boleh
gunakan latihan melalui pengalaman. Jika nasihat jangan bermain mancis itu
tidak diendahkan si anak, kita boleh acah untuk cucuh api itu ke tangannya
sebagai satu pendekatan mengulang nasihat dalam bentuk praktikal.
Justeru
itu, jangan sekali-kali jemu untuk menasihati isteri, suami, kakitangan, rakan
sepejabat, saudara-mara atau sesiapa sahaja yang kita rasa memerlukan. Kata
pepatah, ‘belakang parang yang diasah
lagikan tajam,’ adalah ingatan kepada kita agar sentiasa tidak jemu dalam
menasihati orang lain dan juga diri sendiri secara berulang hingga kita
memahaminya.
Semoga
puasa kita pada tahun ini akan memberi makna baru dalam perjalanan kita untuk
menemui Yang Maha Pencipta.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.7.2013.
No comments:
Post a Comment