Photo credit: pdphoto.org
MARI KITA RAIKAN
PERUBAHAN
HUJUNG
minggu lalu, saya pulang daripada umrah di tanah suci Makkah. Saya mendaftar untuk
ke sana pada akhir Mei lalu. Namun, tarikh pemergian saya masih belum
ditentukan lagi walaupun tarikh berangkat telah dinyatakan lebih awal.
Sepatutnya
saya pergi pada 5 Julai, namun status visa saya masih belum dipastikan oleh
ejen walaupun Julai sudah menjelma. Pengurangan
pemberian visa oleh kedutaan Arab Saudi kerana renovasi di Masjidilharam membuatkan
banyak permohonan rakyat Malaysia ditunda atau dibatalkan terus.
Kerana
itu, saya terima berita penundaan tarikh pemergian itu dengan hati terbuka. Malah,
saya sudah bersedia untuk menerima berita bahawa permohonan visa saya tidak
diluluskan. Namun, alhamdulilah saya peroleh jua kebenaran untuk ke sana pada 10
Julai, bersamaan dengan 1 Ramadan.
Penantian
adalah satu siksaan. Perubahan pula adalah sesuatu yang menyukarkan. Dalam
kehidupan seharian bila mana kita sudah punyai rutin harian dan polanya, apa sahaja
perubahan pada pelan harian akan mengganggu emosi.
Bila
saya sudah bersedia untuk menekan minyak tatkala lampu trafik bertukar hijau,
kereta yang berada di hadapan memandu begitu perlahan sehingga saya tak lepas
kerana lampu trafik bertukar merah kembali. Tatkala saya sudah mula menaip
untuk menyiapkan artikel ini, ada pula mesyuarat panjang penting yang mesti
saya hadiri dari tengahari hingga santak ke waktu berbuka.
Hendak
marah? Hendak marah siapa? Pada mesyuarat tergempar yang wajib dihadiri, pada
anggota mesyuarat yang berhujah panjang lebar atau marah pada diri sendiri
kerana tidak duduk menulis artikel ini lebih awal? Bukankah bila tiada mesyuarat
tergempar itu, artikel ini boleh siap pada waktu yang dirancangkan?
Tidak.
Saya tidak pasti itu akan terjadi kerana saya mengambil masa yang lebih lama
untuk menulis jika masanya panjang. Sebaliknya, saya mengambil masa yang pendek
untuk menulis jika masanya suntuk. Apakah saya suka bekerja last minute? Tidak. Saya tidak suka. Tetapi
saya lebih produktif bila bekerja pada saat-saat akhir! Ada bezanya, tu.
Berbalik
kepada perjalanan ke tanah suci, ia berbeza dengan kali pertama saya lalui
sebelum ini. Malah, sememangnya banyak sekali perubahan yang perlu saya hadapi.
Pertamanya, saya tidak pernah berpuasa hingga 18 jam. Oleh kerana perbezaan zon
waktu Malaysia – Arab Saudi, saya kena hadapi perubahan itu.
Saya
ke Madinah dua tahun lalu di musim sejuk di mana hembusan anginnya dingin
seperti berdiri di hadapan alat penghawa dingin. Kini suhu Madinah sudah membahang
seperti berdiri di hadapan unggun api. Saya biasa berterawih kurang daripada 20
minit di Malaysia tetapi berterawih lebih 40 minit di Makkah.
Oleh
kerana pada hari sebelumnya saya selesa bersolat di satu sudut berhawa dingin di
Masjidilharam, pada hari berikutnya saya bercadang untuk ke situ lagi. Rupa-rupanya,
umrah di bulan Ramadan berbeza dari waktu lain. Rancangan saya berubah bila
saya tidak dibenarkan ke situ pada hari berikut kerana kesesakan jemaah. Malah,
laluan harian saya ke masjid biasa terhalang apabila kawasan itu ditutup secara
tiba-tiba kerana pembersihan.
Makkah
adalah tempat menerima apa sahaja perubahan. Perubahan pergerakan, masa dan
juga tenaga sudah menjadi satu adat di sana. Kita tidak boleh merancang untuk
memperoleh sesuatu pada kadar waktu yang kita jangka. Malah, tiada perancangan
itu lebih baik kerana rancangan yang terlewat itu akan menyebabkan kita berasa
kecewa. Cukuplah sekadar berniat melakukan sesuatu. Biarlah pelaksanaan cepat
atau lambatnya diserahkan kepada Yang Maha Memelihara.
Makkah
menjadikan kita ingat kembali bahawa kita tidak berkuasa memenuhi kehendak
target dengan segala usaha dan motivasi. Yang berkuasa tentunya ALLAH SWT.
Justeru itu, di Makkah, kita perlu akur mengikut arus manusia dan suasana. Yang
penting, kita berjaya melakukan apa yang kita niatkan. Tempoh masa yang kita kerjakan
itu menjadi tidak mustahak kerana apa yang dipentingkan adalah kualiti hasilnya.
Perubahan
perlu dimuliakan atau dihormati. Bukan dicemuh bila kita tidak dapat sesuatu
itu, sekarang. Jika kita sentiasa ingat bahawa Dialah yang mengatur segala, apa
sahaja perubahan perlu diraikan dengan hati yang sabar sambil berdoa agar
memperoleh juga apa yang kita hajati.
Kali ini, meraikan segala perubahan adalah makna pada semua yang saya lalui di sana.
Kali ini, meraikan segala perubahan adalah makna pada semua yang saya lalui di sana.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.7.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment