Photo credit: roy-nadzri.blogspot.com
PAHALA YANG
DISIA-SIAKAN
DI AKHIR-AKHIR Ramadan ini, saya terkenang betapa rajinnya pak-pak Arab di Makkah
dan Madinah berkejar untuk mendapat pahala di bulan yang mulia ini. Ketika
mengerjakan umrah pada awal Ramadan ini, saya berpeluang melihat bagaimana mereka
berebut-rebut berbuat baik. Yang kaya menaja makan minum berbuka puasa para
jemaah khususnya di Masjid Nabawi dan Masjidilharam.
Selepas
solat Asar, di dataran kedua-dua masjid itu, pak-pak Arab yang kaya raya sudah
membuat pagar masing-masing sebagai kawasan mereka menaja makanan untuk para jemaah
berbuka puasa. Berkotak-kotak kurma, air
zam-zam, kopi Arab dan nasi Arab disediakan. Seboleh-bolehnya pak-pak Arab ini
mahukan para jemaah berbuka di kawasan mereka.
Mereka
mendapat khidmat para pelajar remaja untuk mempelawa para jemaah ke kawasan
mereka. Malah anak-anak kecil dan comel pak-pak Arab ini yang berusia di antara
6-10 tahun akan mengajak, menarik dan mengheret para jemaah untuk ke ruang
mereka. Lagi ramai yang berbuka di kawasan mereka, lagi banyak dan besarlah
pahala yang akan mereka perolehi, insya-ALLAH.
Di
dalam kedua-dua masjid pun pak-pak Arab berkejar untuk mendapat pahala. Namun, kesempitan
ruang hanya membolehkan mereka menyediakan kurma, air zam-zam dan kopi Arab
yang diletakkan di atas saperah plastik di antara saf-saf solat. Biar pun ringkas
dan ringan berbanding dengan hidangan di luar masjid yang pelbagai, mereka
tetap ingin mengejar pahala.
Sikap
mereka berusaha dan mencari jalan untuk memperoleh kebaikan Ramadan di
kedua-dua masjid yang mulia ini sungguh menakjubkan. Ada yang sengaja menanti
di pintu masjid untuk mencalit wangian di tangan kita yang memasukinya. Bila
kita sedang kuyu mata kerana agak lama membaca al-Quran, tiba-tiba wajah kita
terasa dingin dan mata jadi segar bila pak Arab menyembur muka kita dengan
sprei air. Mereka mahukan pahala kerana menyegarkan orang yang sedang membaca al-Quran.
Begitu
juga, kalau kita dilihat duduk jauh daripada rak al-Quran, akan ada kanak-kanak
yang bergerak mengagih al-Quran agar kita tidak perlu melangkah jauh
mendapatkannya. Sebaik sahaja azan berkumandang pula, akan ada mereka yang
datang mengutip al-Quran untuk disusun kembali di rak.
Begitu
juga, ketika bertawaf di mataf, di celah-celah ribuan manusia, ada di antara
mereka yang ingin mencari pahala dengan menyembur sprei air untuk menyejukkan
wajah kita. Yang berpeluh pula boleh sahaja mencapai kertas tisu yang diunjuk
oleh mereka yang berdiri di antara lautan manusia semata-mata untuk mendapatkan
pahala.
Saya
kagum melihat bagaimana mereka mencari peluang memperoleh pahala dengan melakukan
perkara-perkara yang kita anggap biasa. Kesungguhan mereka berbuat demikian
sebenarnya menumbuhkan bunga-bunga di hati kita yang resah tatkala sibuk
memohon keampunan Illahi
Bila
kita menilik ke dalam hati dan memerhati ke sekeliling untuk bertanya, apakah
kita manusia yang berlumba-lumba untuk mendapat pahala? Pada pemerhatian kasar,
kita tidak ambil enteng untuk mendapatkan pahala dengan cara ini. Malah, kita
beranggapan pahala hanya tertumpu pada ibadah-ibadah yang khusus seperti puasa
dan solat. Selain itu, kita hanya fokus pada ibadah-ibadah seperti solat sunat,
membaca al-Quran dan zikir sebagai sumber pahala.
Kita
tidak lihat pada hal-hal selain daripada ibadah khusus sebagai jalan memperoleh
pahala. Di masjid, kita tidak senyum pun bila bersalaman dengan mereka di kanan
dan kiri setelah solat. Padahal, senyum itu sedekah. Dan, sedekah itu pahala. Sejadah
yang terkelepet di depan mata pun kita biarkan begitu. Padahal ALLAH sukakan
kecantikan. Dan, mencantikkan kedudukan sejadah itu pun memperoleh pahala. Kita
tidak menutup kipas angin bila hendak meninggalkan ruang solat. Walhal,
mengelak membazir itu juga akan memperoleh pahala.
Di
luar masjid, yang lebih jauh daripada mode beribadah, kita semakin terlupa
untuk mencari pahala. Memberi laluan kepada orang yang dilihat lebih
tergesa-gesa hendak menaiki eskalator, mengosongkan tempat duduk untuk warga
emas di dalam koc komuter atau mengutip cebisan kertas di lantai pejabat,
semuanya adalah peluang-peluang memperoleh pahala.
Tidak
mengapa jugalah jika kita tidak mahu melakukan semua itu untuk berlumba-lumba
mendapat pahala. Tetapi, dalam pada kita tidak berminat untuk mengejar pahala
percuma dengan membuat kebaikan kepada manusia mengapa pula kita buang pahala
yang telah kita peroleh melalui ibadah-ibadah khusus itu?
Kita
biasa mendengar orang kaya yang membazir. Tetapi boleh dikatakan kita tidak
pernah mendengar orang miskin yang membazir. Kita boleh digolongkan sebagai
orang miskin yang membazir bila pahala kita yang sedikit melalui ibadah itu
kita bazirkan dengan melakukan dosa lidah, mata, tangan dan kaki.
Bila
kita tidak peka untuk mencari sumber pahala yang berganda-ganda selain daripada
dengan melakukan ibadah khusus, pahala yang sedikit itulah yang perlu kita jaga
dan kita simpan untuk kita bawa bersama di hari perhitungan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.8.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment