Tuesday, August 20, 2013

MARI KITA TAMBAH BERSEDEKAH


photo credit: hans-mohd.blogspot

     MARI TAMBAH
    DANA MASJID KITA

MARI TAMBAH DANA MASJID KITA 

Biasanya ramai di antara kita yang suka bersedekah pada hari Jumaat. Ia sudah menjadi budaya, mungkin kerana hari Jumaat adalah penghulu hari. Justeru itu, melakukan kebaikan pada hari mulia dianggap lebih afdal. Sedangkan, bersedekah itu baik pada bila-bila masa tetapi akan menerima pahala berlipat kali ganda andainya ia dilakukan pada bulan Ramadan.

Sebelum solat Jumaat, ramai di antara kita yang memasukkan wang di dalam tabung yang diletakkan di pintu-pintu masjid. Ada juga yang menghulur sedekah di tabung yang diedarkan. Ataupun melalui petugas masjid yang bergerak dari saf ke saf mengumpul sedekah.

Bagi kaum wanita pula, ada di antara mereka yang menghulur sedekah wang melalui teman-teman sepejabat lelaki yang hendak solat Jumaat. Terdapat juga yang mensedekahkan pisang yang diletak di luar masjid. Bersedekah pisang pun bagus kerana terdapat di kalangan para jemaah solat Jumaat yang lapar. Sekurang-kurangnya mereka yang telah mengalas perut tidak akan teringat hendak makan tatkala khutbah dibaca khatib.

Oleh kerana tuntutan kerja, ada ketikanya saya tidak berkesempatan untuk menunaikan solat Jumaat di pejabat. (Kumpulan Media Karangkraf telah mendapat izin Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan solat Jumaat di surau premisnya). Lazimnya apabila menunaikan solat Jumaat di sesebuah masjid atau surau yang saya belum pernah sampai, di antara kesukaan saya ialah meneliti papan notisnya sebaik sahaja selepas wuduk.

Di antara kenyataan yang saya cari ialah senarai jumlah kutipan pada solat Jumaat. Alhamdulilah. Di kebanyakan surau dan masjid yang saya kunjungi, saya akan dapat melihat jumlah kutipan pada setiap Jumaat. Setakat ini, jumlah kutipan yang saya temui pada sesuatu minggu adalah di antara RM1,000 hingga RM7,000.

Dan lazimnya, pada akhir bulan, jumlah kutipannya akan bertambah di antara 20 hingga 30 peratus. Misalnya, jika purata kutipan pada tiga minggu pertama adalah di sekitar RM3,000, pada minggu keempat, jumlah kutipannya meningkat hingga RM4,000. Maknanya, apabila para jemaah mendapat gaji, lebih ramai yang dapat bersedekah. Mungkin juga ada di kalangan para jemaah yang menambah jumlah sedekah. Kalau biasanya RM1 yang dihulur, bila mendapat gaji, jumlah yang dimasukkan ke tabung barangkali RM2 atau lebih.

Saya terfikir dan merenung lalu tertanya, mengapa kutipan Jumaat hanya bertambah sedikit pada hujung-hujung bulan? Mengapa jumlah kutipan keseluruhan sesebuah masjid hanya setakat meningkat di antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja bila sampai hujung bulan? Tidak mungkinkah jumlah kutipan bertambah 100 %? Misalnya, jika kutipan purata adalah RM3,000, pada penghujung bulan pula kutipannya meningkat menjadi RM6,000. Bukannya setakat RM4,000.

Bukankah sekiranya kutipan meningkat 100 %, lebih mudah wang dana itu dapat digunakan untuk kegunaan masjid seperti untuk bil api, air, pembersihan dan mengganti kelengkapan? Lebih banyak wang dikutip, maka lebih cepat juga wang itu dapat digunakan untuk kos penyenggaraan seperti memperbaiki pam tandas yang tidak berfungsi, kepala paip air yang patah atau pintu tandas yang sudah hilang enselnya?

Sebenarnya, mudah sahaja jumlah ini mampu ditingkatkan dua kali ganda seandainya para jemaah menambah jumlah sedekah daripada RM1 kepada RM2. Andainya tidak dapat ditambah setiap kali bersedekah, memadailah digandakan apabila mendapat gaji pada hujung bulan. Menambah jumlah ini sebenarnya bukannya sukar. Tetapi, mungkin kerana sudah menjadi tabiat, hendak bersedekah biarlah RM1. Mungkin juga kerana melihat orang lain bersedekah RM1, maka kita menganggap jumlah itu sebagai jumlah ‘rasmi’ sedekah.

Seandainya bersedekah RM2, RM5, apatah lagi RM10, itu dianggap sudah terlalu banyak, bukankah kita biasa berbelanja kepada sesuatu yang kita tidak perlukan? Contoh yang mudah, buka sahaja peti sejuk di rumah dan kita akan temui banyak sekali bahan makanan yang tersepuk lama tidak digunakan. Besar kemungkinan ia akan dibuang bila luput tarikh.

Seperti yang kita ketahui melalui ceramah ustaz atau melalui pembacaan, ALLAH swt akan mengganti sedekah yang dikeluarkan. Ganti yang dimaksudkan tidak semestinya dalam jumlah wang ringgit, tetapi kesihatan, disisih daripada mala petaka atau dihindar daripada kesusahan.

Kos merawat kesihatan, menangani mala petaka atau menghilangkan kesusahan sudah tentu jauh melebihi RM1, malah melebihi RM10. Justeru, marilah kita mengubah dari kebiasaan. Pejam mata mulai hari ini dengan menambah jumlah sedekah. Duit itu tidak hilang, sebaliknya akan ada kembali dalam bentuk yang lain.

“Sesungguhnya ALLAH tidak akan memungkiri janjinya.” (Az-zumar: 20)
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.8.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment