Photo credit: workplacepsychology.com
BERSEDIA MENGUBAH
SUDUT PANDANGAN
SUDUT PANDANGAN
SEMALAM, saya terbaca entri seorang penceramah terkenal yang dipaut
oleh seorang sahabat ke halaman Facebook
saya. Setelah meneliti entri penceramah tersebut, saya geleng kepala. Hampir tidak
percaya penceramah terkenal itu beremosi. Saya tidak nafikan selagi kita
bernama manusia, kita tentu beremosi. Tetapi bila dia orang yang bernama dan
terkenal, dia tidak boleh mempamerkan sikap tidak thiqah atau semenggah, berpadanan dengan statusnya sebagai seorang
penceramah.
Apa yang beliau paparkan amat biasa dikomplen oleh rakyat seperti
kita iaitu menzahirkan kemarahan bila lewat mendapat layanan perkhidmatan.
Ceritanya, beliau telah pergi ke sebuah jabatan kerajaan untuk membuat satu
aduan, tetapi terpaksa menanti sejam kerana pegawai berkenaan dikatakan
bermesyuarat, padahal dia minum kopi di waktu pejabat.
Saya menggeleng lagi bila penceramah tersebut turut mempamerkan foto
seorang pemimpin BN bersama kapsyen ucapan mengenai nilai-nilai mulia seperti
memenuhi janji, amanah dan bertanggungjawab. Apa kena mengena lambat menerima
layanan dengan wajah pemimpin itu?
Setelah merenung seketika, saya simpulkan, kelewatan penceramah itu mendapat layanan daripada
pegawai jabatan itu membuat beliau marah kepada BN! Persepsinya, kakitangan awam
adalah orang BN. Oleh kerana beliau punyai persepsi pemimpin BN tidak amanah, kakitangan
awam yang beliau percayai kesemuanya orang BN tentu juga tidak amanah juga.
Keadaan sudah berubah. Persepsi selama ini bahawa kakitangan awam
kesemuanya orang BN sudah tidak boleh dipakai lagi kerana kini ada negeri yang
ditadbir oleh kerajaan PR. Malas dan
culas adalah sikap manusia. Di bawah pentadbiran kerajaan mana pun, mereka
tetap curi tulang.
Sudut pandangan penceramah tersebut seharusnya bertukar memandangkan
sudah hampir lima tahun lanskap politik di negara kita ini sudah berubah.
Malah, menjelang PRU13 ini kita semua seharusnya sudah bersedia untuk menerima kekalahan
parti pilihan kita dan juga kemenangan parti yang tidak kita sukai.
Bila memerhati ke sekeliling, saya dapati masih ramai lagi yang
masih belum sedar untuk mengubah sudut pandangan. Yang menjadi penyokong fanatik,
masih tetap menjadi penyokong tegar. Tidak kira apa yang pemimpin mereka kata
dan lakukan, mereka tetap akan menyokong dan memperlekeh sesiapa sahaja yang
tidak sependapat dengan pemimpin mereka.
Mereka tidak sedar akan perubahan pada hari ini di mana kritikan
terhadap seseorang pemimpin itu bukan setakat terluah di kedai-kedai kopi,
malahan boleh ditatap oleh pemimpin itu sendiri kerana beliau memperolehi akses
daripada alam siber.
Oleh kerana para pemimpin pada hari ini boleh mendapat maklumbalas
secara langsung daripada sesiapa sahaja pada setiap masa tanpa melalui tapisan
daripada para pegawainya, pola pemikiran
dan tindakan pemimpin itu akan sentiasa berubah pada bila-bila masa juga. Dia
tidak lagi bertutur secara lembut dan tenang semata-mata. Tiba-tiba sahaja dia
boleh menjadi agresif dan vokal. Tiba-tiba juga dia boleh sahaja berdiam diri
tanpa bercakap sepatah pun.
Kerana itu, para pengikut tidak dapat mengagak apa yang akan
dilakukan oleh pemimpin mereka. Keadaan ini pula akan memeningkan para pengikut
yang fanatik. Seolah-olah pemimpin mereka berbolak-balik fikirannya. Padahal pemimpin
hanya mengubah pendekatan, bukannya prinsip. Malangnya, kesan timbal balas ini
menjejaskan sokongan terhadap pemimpin itu sendiri. Pemimpin mesti peka akan
kebingungan penyokong akibat tindak-tanduknya jika dia tidak mahu menerima
kejutan kehilangan sokongan.
Apakah yang tidak berubah, melainkan perubahan itu sendiri? Untuk
mengilustrasikan lagi perlunya perubahan persepsi pemikiran, saya lakarkan
sebuah SMS seorang kenalan lama. Katanya, ‘Aku adalah penyokong
pembangkang!’ Saya tahu dia adalah penyokong BN yang tegar. Tetapi mengapa dia
menulis begitu? Setelah berfikir sejenak, saya tersenyum sendiri kerana dia menetap
di Kedah!
Rupa-rupanya saya juga belum dapat mengubah sudut pandangan
sepenuhnya.
Artikel ini akan terbit di akhabar Sinar Harian esok, insya-ALLAH...
Salam. Siapa penceramah tu ya? Mungkin dia x layak jd penceramah sbb dia sendiri terlalu ikut emosi dan suka menyalahkan pihak lain. Baru kena sedikit ujian, sudah nak bising, apa punya org la.
ReplyDelete:)
ReplyDelete