Photo credit: blogs.e-rockford.com
SOKONG YANG
MEMBAWA REBAH
MEMBAWA REBAH
DALAM
sesebuah majlis politik, kita akan dapati individu-individu yang hadir secara
berkumpulan. Pakaian mereka mempromosikan imej parti sama ada daripada segi
warna mahupun potongan pakaiannya. Bila pemimpin berucap di hadapan, merekalah
yang akan menyampuk untuk mengiyakan dan meminta mereka yang di sekeliling diam
supaya menumpukan perhatian. Mereka jugalah yang akan memulakan tepukan dan
sorakan hingga hadirin yang lain ikut sama.
Siapakah
mereka? Mereka adalah penyokong tegar atau ahli fanatik. Tindak tanduk mereka yang
sentiasa menghangatkan suasana akan memberi keyakinan kepada pemimpin yang
berucap di hadapan untuk berpidato dengan lebih bersemangat. Malah, mereka
jugalah yang akan menggamatkan suasana majlis hingga gegak gempita.
Setelah
majlis tamat, merekalah yang akan mengerumuni pemimpin mereka dengan perasaan
bangga. Mereka akan memandang wajah pemimpin dengan mata mencerlang kerana terpesona
dengan ketua mereka itu. Pemimpin yang menyedari kehadiran para penyokong tegar
akan menghela nafas lega dan bangga kerana mempunyai penyokong yang sebegini. Apa
sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin akan diiyakan para penyokong fanatik ini.
Pantang pemimpin membuat lawak… para penyokong tegar akan segera memberi reaksi
dengan gelak besar yang lebih kuat daripada nilai lawak itu sendiri.
Rata-rata,
penyokong tegar adalah mereka yang benar-benar ikhlas dengan perjuangan parti
yang mereka pilih. Mereka sanggup mengeluarkan belanja untuk parti,
menghabiskan masa yang terluang untuk aktiviti parti mahupun mengerah tulang
empat kerat daripada menyusun kerusi di sesebuah majlis hinggalah memanjat
pokok untuk memasang bendera parti.
Jangan
ditentang atau dikata pemimpin mereka. Golongan inilah yang sanggup berarak dan
menunjuk perasaan untuk menyatakan sokongan kepada parti. Pihak lawan memang sukar
menang selagi parti yang ditentang itu mempunyai
ramai para penyokong yang tegar ini. Dikerat lapan belas atau mati hidup balik
pun, mereka akan tetap menyokong parti dan pemimpin yang mereka pilih.
Beruntunglah
parti yang mempunyai ahli-ahli fanatik ini kerana ia sudah memperoleh simpanan
tetap yang bakal membantu kemenangan parti dalam pilihanraya. Apa sahaja yang
diputuskan oleh parti pilihannya akan disokong sepenuh hati. Putih akan dikata
putih, hitam akan dikatakan hitam.
Bagaimana
pun, apakah semakin ramai ahli-ahli fanatik sesebuah parti itu akan
menguntungkan pertubuhan itu? Tidak semestinya. Malah, ia boleh menjadi liabiliti
kepada sesebuah parti itu. Sebenarnya, semakin ramai penyokong fanatik bagi
sesuatu parti, ia akhirnya boleh menjelma menjadi masalah kepada parti
tersebut.
Sekali
pandang, alangkah beruntungnya sesebuah parti itu mempunyai ramai para
penyokong tegar. Tetapi, penyokong tegar
juga lazimnya menyokong kerana berasa dia wajib menyokong apa sahaja yang
diuar-uarkan oleh parti mereka meskipun tidak menyedari, mereka sudah terbuta
mata dan tertuli telinga akibat kefanatikan mereka sendiri. Malah, (maaf
cakap), mereka jugalah yang akan menjadi penyokong yang membawa rebah!
Pemimpin
biasanya berada di kedudukan yang tinggi. Berada di puncak juga bererti sukar
dapat berpijak di bumi yang nyata. Dalam keadaan yang jauh daripada akar umbi,
pandangan mereka akan terlindung daripada realiti kerana mereka sentiasa
dikerumuni oleh penyokong-penyokong tegar ini.
Kerana
sentiasa mendengar tepukan dan sorakan daripada mereka ini, pemimpin tidak perasan
yang dia hanya dihurungi oleh penyokong-penyokong yang fanatik ini. Walhal,
jika dia keluar daripada kelompok yang mengelilinginya, rupa-rupanya
penyokongnya bukanlah ramai sangat. Hanya memenuhi sudut kecil sebuah padang
yang luas.
Ramai
pemimpin dan banyak parti yang kecundang kerana mempunyai penyokong-penyokong
yang fanatik ini. Tetapi, hakikat bahawa pemimpin atau partinya itu sebenarnya
tidak kuat hanya dapat dimengerti setelah tewas dalam pertandingan. Keadaan ini
akan berulangkali terjadi kepada mana-mana parti.
Ia
seolah-olah menjadi putaran dan juga kitaran sejarah mana-mana parti yang berjaya.
Ketika kecil, ia kukuh dengan semangat ahli-ahlinya. Semangat itulah yang
membesarkan parti dan meramaikan ahli-ahli yang fanatik. Ahli-ahli yang fanatik,
dengan sokongan yang tidak berbelah bahagi akan membuat para pemimpinnya berasa
apa yang dibuatnya itu tiada cacat celanya. Kesalahan yang dilakukan menjadi
betul kerana sokongan penyokong-penyokong yang tegar. Akhirnya parti itu
tumbang menyembah bumi lalu menimbus para penyokong tegarnya. Dan, si pemimpin itu
pula menjadi batu nesannya. Menakutkan!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.2.2013, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.2.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment