SINAR HARIAN
SOKONG SIAPA?
SOKONG SIAPA?
HARI ini, saya ingin memperkatakan mengenai liputan politik dalam
akhbar Sinar Harian. Walaupun akhbar ini menerbitkan banyak berita human interest dan sering kali
menjadikan berita bolasepak sebagai berita muka depan, banyak pihak beranggapan
akhbar Sinar Harian adalah akhbar politik. Demikian persepsi ramai.
Ya, semakin hampir PRU13, kian rancaklah para pemimpin politik
berkempen. Siri jelajah, lawatan, penyampaian, perasmian, ceramah, debat, wacana
dan ucapan dilakukan oleh mereka yang ingin menawarkan diri serta
memperhebatkan imej kumpulan yang diwakili.
Jentera parti yang terdiri daripada pakar strategi, pakar perunding
imej, gerak saraf, perang saraf malah kini, perang gerila sudah menyusun dan mula
melakukan serangan. Itu belum termasuk cyber
troopers yang akan mencanang dan mencanai kesemua kemudahan komunikasi
melalui alam siber yang digunakan semaksima mungkin hingga membolehkan kehadiran
pemimpin-pemimpin politik dirasai pada bila-bila masa, di mana-mana jua.
Dalam pada itu, media massa sebagai rangkaian komunikasi turut digunakan.
Oleh kerana media akhbar, radio dan
televisyen itu tidak semestinya dipunyai oleh mana-mana parti politik secara
langsung, maka ia cuba didekati oleh pihak yang ingin mempromosi diri bagi mendapatkan
ruang berita.
Sinar Harian sebagai akhbar yang mampu bersikap neutral kerana ia dipunyai oleh sekumpulan ahli
perniagaan yang tidak mahu terlibat dalam politik partisan turut menjadi
pilihan parti-parti politik sebagai medium penyebar aktiviti mereka.
Dalam keadaan yang semakin hangat, terdapat juga pihak yang
beranggapan Sinar Harian akan mengambil pendirian untuk menyokong Barisan
Nasional ataupun Pakatan Rakyat. Banyak juga pihak yang meneropong untuk
mentafsir, apa juga isu yang didapati condong kepada salah satu pihak akan mengakibatkan
Sinar Harian terus dilabel sebagai berkepentingan dan mempunyai agenda.
Sebenarnya Sinar Harian adalah entiti bisnes yang tidak mampu
menyokong mana-mana pihak pada bila-bila masa pun. Kalau adapun dilihat sebagai
condong, besar kemungkinannya Sinar Harian memperoleh respons dari pihak yang
dihubungi. Siapa yang beri lebih respons akan diberi ruang yang lebih besar. Ia
juga bergantung pada isu. Ada hari bila mana Sinar Harian mendapat respons yang
banyak daripada BN, ada hari daripada PR pula. Kerana itulah Sinar Harian dilihat
berpihak kepada BN pada hari ini didapati condong kepada PR pada keesokan
harinya.
Editorial Sinar Harian yang diterajui (maaf cakap, saya ingin guna
istilah ‘dibarisi,’ tetapi dikhuatiri disalaherti) oleh lima anggota pengurusan,
lapan editor, lapan penolong editor dan hampir 200 orang wartawan sebenarnya
hanya melihat berita yang mempunyai nilai maklumat dan cerita. Hakikatnya, terdapat
anggota Sinar Harian daripada ahli-ahli parti politik, antaranya UMNO, Pas, DAP,
PKR.
Bagaimana pun, ketika menyusun berita, apa yang diutamakan adalah
nilai bahan itu sendiri. Bukannya cerita parti yang disokong secara peribadi. Sebab
itulah ada hari di mana berita yang menjadi tajuk utama adalah berita BR1M dan
pada keesokan harinya Sinar Harian memilih pula berita Pas sebagai tajuk
utamanya.
Baru-baru ini, Sinar Harian tidak teragak-agak memilih berita Datuk
Seri Najib di muka hadapan Edisi Kelantan bila beliau menghebahkan tujuh projek
besar untuk Kelantan. Berita mengenai penutupan bilik gerakan UMNO di Pasir
Gudang, Johor pula dipilih menjadi tajuk muka depan Edisi Johor. Jika mana-mana
parti politik menjadi agenda sokongan, sudah tentu hanya berita pro-Pas akan
tersiar di Edisi Kelantan dan berita pro-UMNO terpapar di muka hadapan Edisi
Johor.
Sinar Harian tiada agenda politik. Siapa yang menang, siapa yang kalah
dalam PRU13 kelak perlulah dihormati kerana telah memenanginya secara
demokrasi. Kita akan sokong pihak yang menang dan memberi ruang juga kepada
pihak yang kalah bersuara seperti apa yang kami lakukan selama ini.
“Di mana ada kebenaran, di situ ada Sinar.” Slogan atau tagline ini
mempunyai maksud, kami hanya memihak kepada kebenaran. Ia juga mempunyai selapis
lagi makna iaitu, apabila kita memihak kepada kebenaran, kita tidak berada
dalam kegelapan – ada sinar di situ!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.2.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment