Photo credit: the celebration.wordpress
MENANTI BUAH
YANG LAMBAT GUGUR
YANG LAMBAT GUGUR
JIKA sebelum ini pejabat
Sinar Harian hanya setingkat, kini pejabatnya empat tingkat arasnya. Kerana
itu, saya menggunakan lif ke pejabat di tingkat dua. Bila lif rosak, saya naik-turun
tangga. Dalam keadaan lif yang okey pun, selalu juga saya menggunakan tangga
bila tidak mahu menunggu.
Pada banyak ketika,
lif yang dinanti sampai serentak ataupun lebih awal daripada saya yang menuruni
tangga. Ketika itu, hati menempelak diri kerana tidak sabar. Tetapi dua tiga
hari kemudian saya tidak mahu juga menunggu dan setiap kali juga kalah dengan kelajuan lif. Dan, rasa
kesal bertandang lagi.
Di jalanraya pun
begitu, terutamanya ketika pulang kerja. Bila terpandang jalan di hadapan sudah
sesak, perasaan tidak sabar mula melonjak. Setelah dua-tiga kali menekan brek
bila bersesak di dalam jem, mulalah saya mengensot kenderaan ke sebelah kiri
untuk mencari jalan susur.
Sememangnya jalan
susur selalunya lebih lengang. Tetapi biasanya hanya setakat di selekoh
pertama. Selepas itu, selalunya saya akan terserempak dengan kesesakan yang
lebih teruk. Bukankah bila sebatang jalan mulai sesak di waktu pulang kerja, selalunya
di jalan-jalan lain pun biasanya akan jem? Ketika bersesak itu juga, saya
menyesal kerana menukar haluan. Kalau tidak jalan susur pun tak mengapa, kerana sesaknya
sama sahaja.
Kerap juga ketika
memandu di lorong laju, saya terkejut apabila kenderaan saya tiba-tiba dihimpit
dari belakang oleh kenderaan lain. Pemandunya tentulah lebih tidak sabar daripada saya. Setelah cuba
menyondol-yondol seketika, belum sempat saya menukar lorong, si pemandu sudah
beralih ke lorong sebelah dan cuba mencelah-celah di antara kenderaan yang
berada di lorong yang lebih perlahan. Akhirnya, kenderaan itu tercorot bila
tidak dapat memotong jentolak di depannya. Kasihan dia yang tidak sabar.
Mengapa kita tidak
suka menunggu? Mengapa kita sanggup mengambil jalan yang lebih jauh dan menggunakan
lebih tenaga untuk bergerak? Sedangkan biasanya jalan yang satu lagi itu lebih
lambat daripada jalan asal? Beberapa tahun lalu, pihak pengurusan lapangan terbang di Houston menghadapi masalah perhubungan pelanggan bila para penumpang mengadu kerana terlalu lama menunggu bagasi. Pihak pengurusan mengambil langkah menambah petugas pengendali bagasi dan masa menunggu dapat dijimatkan hingga lapan minit.
Namun, komplen para
penumpang tidak terhenti. Pihak
pengurusannya bingung dan terus membuat kajian susulan. Mereka mendapati para
penumpang berjalan tidak sampai seminit dari kapalterbang ke bahagian bagasi.
Namun, mereka menunggu lebih lapan minit untuk mendapatkan bagasi masing-masing.
Inilah punca komplen mereka. Mereka tidak sanggup menanti.
Pihak pengurusan
kemudiannya membuat pendekatan baharu. Mereka mengalih pintu masuk lebih jauh
daripada terminal utama dan meletakkan kawasan bagasi di hujung terminal. Para
penumpang terpaksa berjalan enam kali ganda lebih jauh. Namun, kali ini tiada
siapa yang komplen!
Masa
dirasakan merangkak bila kita menunggu tanpa berbuat apa-apa. Lebih baik
bergerak daripada berada di tempat yang sama walau pun kita akhirnya tiba ke
tempat yang dituju pada jangka masa yang sama.
Menunggu
tanpa mengetahui selama mana sepatutnya menanti akan lebih menggelisahkan. Kita
akan lebih selesa menanti rakan yang menelefon mengatakan dia akan sampai sejam
lagi. Tetapi kita akan mendengus jika rakan itu tidak memberitahu kita akan
kelewatannya meskipun dia tiba hanya 10 minit terlewat.
Justeru
itu, menanti dengan kepastian tidak merimaskan. Sebaliknya, menunggu tanpa
kepastian itulah yang menyakitkan. Seperti kita semua yang menanti pengumuman bilakah
parlimen akan dibubarkan… ia sesuatu yang menyiksakan kerana kita tidak tahu
kepastiannya. Cuma yang dimbimbangkan, (maaf cakap), apabila terlalu lama menunggu, kita mula berpendirian, yang
penting bagi kita ialah bergerak dan melepasi penantian itu tanpa menilai natijahnya.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.2.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment