Photo credit: engineerography.com
DETIK DEBAR
TATKALA MENITI MAUT
TATKALA MENITI MAUT
Tengahari
Ahad lalu, saya memandu dalam hujan lebat di NKVE menghala ke Shah Alam dengan
kelajuan 100km/jam. Tiba-tiba sebuah kereta berwarna perak muncul di belakang.
Mungkin model Honda City, Toyota Vios atau yang sama saiz dengannya. Saya terus
beralih di lorong tengah. Tidak semena-mena, setelah memotong lebih kurang 30
meter di hadapan, kereta itu membrek dan tergelincir!
Aksi ala-drifting
itu membuat kereta itu terus berada di kedudukan melintang di laluan saya! Saya
terpempan seketika dan segera menyalakan lampu hazard. Mata saya menjeling ke cermin belakang. Minda terus
mencongak apa yang akan terjadi kalau ada banyak kenderaan lain di belakang?
Andainya
kereta itu terbalik, sempatkah saya mengelak ke lorong kiri atau ke kanan? Apa
akan jadi kalau ada kenderaan lain berhampiran dengan kereta saya? Mungkin
kenderaan itu pula yang melanggar kereta saya dan momentum itu akan membuat kereta
saya merempuh kereta yang tergelincir itu pula!
Alhamdulilah. Saya lihat, semua kenderaan
berada kira-kira 100 meter jauh di belakang. Kerana itu saya sempat untuk
mengelak jika keadaan memaksa. Kereta yang tergelincir itu terus terundur ke
lorong sebelah kiri dan masuk ke lorong kecemasan lalu terus terhenti. Saya
rasa pemandunya selamat. Mungkin kerana dia cekap. Mungkin juga kerana dia
bernasib baik. Lantas saya menelefon PLUS membuat laporan. Kemudian meneruskan
pemanduan.
Di rumah, saya bercerita pada isteri apa yang berlaku.
Sempat juga menceritakan yang saya tak panik ketika itu bila terbayangkan
adegan kereta yang kejar mengejar dalam filem The Last Stand lakonan Arnold Schwarzenegger yang baru saya tonton.
Mungkin, tontonan itulah yang membuatkan fikiran saya mencampuraduk di antara realiti
dan fiksyen hingga saya ada berasa teruja pula dalam keadaan yang cemas itu.
Namun,
reaksi isteri setelah mendengar cerita itu membuat saya terpempan. Katanya, ‘ALLAH
telah selamatkan awak! Apa akan jadi andainya kereta itu terhenti di
tengah-tengah laluan? Kemalangan boleh berlaku dan awak cedera atau mati! Ini
kali kedua awak berdepan dengan maut!’
Saya
termenung bila mendengar peringatan itu. Benar. Ini kali kedua saya berdepan
dengan maut dalam waktu yang singkat. Akhir tahun lalu, saya tidak sedar yang
saya amat sakit bila di masukkan ke hospital akibat diabetes. Seminggu
menjelang tarikh saya ke hospital, tubuh saya terasa semakin lemah. Fikiran menjadi
lembab.
Setelah
diperiksa, doktor memberitahu, kandungan gula di dalam darah saya sudah 32
millimol. Saya bukan sahaja disahkan diabetik, malah ketika itu sudah menghidapi
hyperglycemia iaitu terlalu banyak
gula di dalam darah setelah pankreas saya gagal mengeluarkan insulin yang cukup
untuk menjana tenaga tubuh. Ia boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, sistem
neuro, jantung, kerosakan mata, kaki dan juga tangan. Malah, saya boleh maut andainya tidak menerima
rawatan segera.
Alhamdulilah.
Setelah sebulan berlalu, saya berasa sihat kembali. Maklumat doktor yang terkini
menunjukkan tiada anggota tubuh yang rosak. Pankreas dan buah pinggang saya
berfungsi dengan baik. Saya ingat betapa terkedunya saya bila rakan-rakan
sepejabat menceritakan yang mereka lihat tubuh saya semakin kurus dan muka
sudah pucat dan mula mencengkung sebelum dimasukkan ke wad.
Bila
saya merenung kembali, sebenarnya sebelum ini sudah tiga kali saya berdepan
dengan ajal. Kali pertama di usia 13 tahun tatkala terjatuh dari tangga bas
sekolah. Bas sudah hendak bergerak dan saya tidak dapat berbuat apa-apa.
Mujurlah ada pelajar lain yang nampak kedudukan saya dan menjerit kepada
pemandu bas agar tidak bergerak. Jika tidak, kepala saya akan tergilis
tayarnya.
Kali
kedua di usia 14 tahun ketika berseronok berbasikal untuk melihat banjir di kampung.
Tatkala
berhenti di tepi sungai melihat air deras, basikal saya tiba-tiba bergerak diheret
arus. Mujurlah ada seorang abang yang menarik carrier basikal saya. Pada usia 16 tahun pula, saya hampir lemas ketika
mandi laut. Nasib saya baik kerana diselamatkan oleh kawan.
Justeru
itu, sudah lima kali saya berdepan dengan ajal. Saya menyampaikan bukan untuk
berbangga betapa cerdiknya saya boleh menipu ajal ~ cheating death! Maaf cakap, frasa ini tidak tepat langsung untuk kita
yang mempercayai maut itu akan tiba tanpa terlewat walau sesaat pun.
Saya bertanya
kawan-kawan apakah mereka pernah berdepan dengan situasi yang boleh membawa
kematian seperti yang saya alami. Tiada yang ada pengalaman seperti saya. Apakah
saya beruntung? Saya tidak berani kata begitu melainkan jika saya seperti anda
yang meyakini petanda seperti yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W:
Hadis riwayat at-Tirmidzi,
dihasankan oleh an-Nasa’i dan Ibnu Majah; daripada Umar, katanya: “Pernah
ditanyakan kepada Rasullulah S.A.W,” Siapakah orang mukmin yang paling cerdik?”
Menjawab Baginda: “Iaitulah, siapa yang paling banyak mengingati mati dan
paling baik persiapannya menghadapi masa-masa sesudahnya. Mereka itulah
orang-orang yang cerdik.”
Artikel ini akn terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.1.2013, insya-ALLAH...
sungguh ! saya sendiri sudah lupa tentang hidup ini sementara..dan maut boleh tiba bila-bila masa..astaugfirullahal azim
ReplyDeleteAlhamdulilah. Semoga kita sentiasa saling ingat mengingati.
ReplyDeleteSyukur Encik Eyman masih sihat dan dipanjangkan umur~
ReplyDelete