Tuesday, January 15, 2013

BILA MULA BERNIAGA



Picture credit: 123rf.com
MENGENAL SI PENIPU
DALAM BISNES
SEMALAM, seorang teman saya, Fairus mengadu yang dia hampir ditipu dalam urusniaga. Fairus yang menjual buku secara online itu menerima tempahan 21 buah buku yang sama judulnya daripada seseorang. Oleh kerana dia baru berniaga, pesanan 21 buah buku yang berilai lebih RM400 itu amat besar bagi perniagaan yang berpendapatan kasar tidak sampai RM1000 sebulan. Nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan pesanan yang banyak itu. Mujur Fairus juga ada rakan-rakan yang berniaga secara online.
Daripada nasihat kawan-kawannya, Fairus diminta berhati-hati. Jarang sekali seseorang individu memesan banyak judul secara online. Hanya pengedar buku sahaja yang memesan sesuatu judul dengan jumlah yang banyak. Itupun biasanya secara pembelian runcit secara bersemuka. Dengan nasihat itu, Fairus menghubungi si penempah untuk mempastikan jumlah pesanan.
Fairus meminta nombor telefon, alamat, e-mel dan juga bayaran tempahan secara online sebelum menempah buku daripada pembekal. Tiba-tiba si penempah mula mengurangkan jumlah pesanan daripada 21 naskhah kepada 10 naskhah. Kemudian apabila dihubungi untuk melangsaikan bayaran, panggilan Fairus sudah tidak berjawab. Sejam dia menelefon dan setiapkali juga panggilannya dimatikan. Akhirnya, Fairus tahu sendiri bahawa si pembeli bertujuan untuk menipu. Andainya dia tidak mendengar kata hatinya, mungkin Fairus putih mata.
Dunia perniagaan sama ada yang kecil mahupun yang besar sentiasa berdepan dengan manusia yang menipu. Para peniaga baru yang inginkan bisnes biasanya akan terpesona dengan pembeli yang memperagakan personaliti yang mengagumkan. Kad niaga yang cantik dengan alamat premis di Segitiga Emas, pakaian yang kemas, beg bimbit yang berkilat atau kenderaan import yang menjalar amat mudah mengaburi mata orang yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan.
Tawaran menjadi rakan kongsi, joint-venture, bekalan berterusan, kontak baik, pasaran ke luar negara dan kabel besar dengan pihak atasan adalah di antara gula-gula yang ditayang oleh si penipu untuk memenangi kepercayaan yang akhirnya menjerat orang yang baru hendak mula berniaga. Kalau pun sudah menjadi rakan niaga atau pelanggan, tidak mustahil si peniaga akan tertipu apabila memberi kredit kepada si penipu. Bayaran akan mula lewat daripada 30 hari kepada 60 hari, 90 hari dan akhirnya si penipu akan lesap meninggalkan hutangnya.
Bagaimana untuk mengenal si penipu? Sukar sekali. Namun sebagai orang bisnes, kita sendirilah yang harus sentiasa bersedia dan berwaspada untuk tidak tertipu. Dalam dunia perniagaan, adalah baik bila kita sentiasa meletakkan rasa waspada dan berhati-hati terhadap mereka yang hendak berurusan dengan kita.
Yang penting, bukannya jumlah wang dan peluang membuat keuntungan yang menjadi ukuran bagus atau tidaknya urusniaga itu. Siapa kata, peluang hanya datang sekali? Dan, bila seseorang yang hendak berurusniaga dengan kita itu mempamerkan peluang, jangan terus merebutnya. Kalau peluang itu mendatangkan kerugian, tunggulah berpuluh-puluh peluang lain yang akan mendatang.
Yang mustahak buat kita adalah orang yang ingin berusniaga itu sendiri. Bukan pakaiannya, bukan kenderaannya, bukan gayanya yang harus kita lihat tetapi tutur katanya. Orang yang sentiasa berkata boleh, boleh dan boleh biasanya tak boleh. Begitu juga orang yang sentiasa berkata okey, okey dan okey biasanya tak okey. Orang bisnes yang selalu bermain dengan janji biasanya tidak akan menepatinya. Maknanya, mereka yang tidak hanya berkata yang indah-indah tentang perniagaan dan sebaliknya memperkatakan mengenai masalah itulah yang boleh diletak kepercayaan.
Riak wajah dan gerak laku orang yang menipu juga mudah dikenali. Dia akan mencuri pandang ketika kita tidak memandangnya, mencuri pandang apa yang ada di atas meja kita, di sekeliling kita mahupun apa yang kita bawa. Awal-awal lagi sudah mencuri dengan pandangan, akhirnya akan mencuri pula kepercayaan kita.
Orang yang benar-benar berbisnes biasanya tidak akan membuang masa. Bualan bertanya khabar hanya sekadar berbasa-basi sebelum soal perniagaan dibicarakan. Ketika perbincangan, gangguan panggilan lain akan dimatikan kerana ia gambaran seseorang yang fokus dengan apa yang dia lakukan. Setelah perjanjian dimeterai, dia akan segera berlalu kerana dia juga fokus kepada matlamatnya. Orang beginilah yang harus kita contohi.
Bila kita berwaspada dengan mereka yang begini, insya-ALLAH kita tidak akan tertipu. Dalam pada itu, kita pula mesti elakkan daripada berperangai begitu jika tidak mahu menjadi seorang penipu pula.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.1.2013, insya-ALLAH... 

No comments:

Post a Comment