Tuesday, January 8, 2013

BERIBADAH DI MANA SAHAJA


Photo credit: coperatech.blogspot.com

BILA PEJABAT
DAH JADI RUMAH
PADA jam 6.30 pagi tadi, saya terserempak dengan anak jiran saya sewaktu hendak ke kedai akhbar. Anak muda yang baharu sebulan menjadi juruanalisa sistem itu sedang bergegas ke LRT. Fazmie mendapat takdir yang baik. Belum pun menghadiri majlis konvokesyen, dia sudah dilamar oleh sebuah syarikat Jepun.
Tapi kerjanya lasak. Pagi-pagi lagi sudah ke pejabat di segitiga emas Kuala Lumpur. Lewat malam baru pulang ke rumah. Saya perasan, dia juga bekerja pada hari-hari Ahad dan hari-hari kelepasan am. Kesungguhannya bekerja saya kagumi. Mudah-mudahan, dia memperoleh masa depan kerjaya yang cemerlang.
Seperti Fazmie, pada hari ini, semakin ramai pekerja yang bertugas tidak setakat lapan jam sehari. Tidak kira sama ada seseorang itu pekerja kolar putih mahupun kolar biru, bekerja lebih masa sudah menjadi kebiasaan. Perkembangan teknologi juga membolehkan seseorang itu bekerja walaupun dia berada di luar pejabat. Telefon dan e-mel boleh sahaja dijawab di mana-mana, pada bila-bila masa.
Justeru itu, masa kerja seseorang di antara 10 hingga 12 jam sudah menjadi norma. Hinggakan biasa juga kita dengar orang kata, ‘pejabat dah jadi rumah’ kerana mengibaratkan masa di pejabat jauh lebih panjang daripada di rumah. Tuntutan kerja perlu ditaati oleh seseorang pekerja. Pihak majikan pula mesti patuh dengan undang-undang yang melindungi para pekerja dengan memberi gaji, elaun mahupun imbuhan yang sepatutnya bila mereka bertugas melebihi waktu pejabat yang sepatutnya.
Dalam pada itu, bagaimana pula dengan kita yang sudah ‘berumah’ di pejabat? Bekerja dari pagi hingga ke malam. Bersarapan, makan tengahari dan kadangkala terpaksa makan malam sahaja di pejabat. Kehidupan sosial mula diketepikan bila tidak dapat menghadiri kenduri-kendara dan majlis keramaian anjuran jiran di kawasan perumahan. Program menambah ilmu seperti menghadiri majlis ceramah dan usrah tidak dapat disertai.
Begitu juga, kita terpaksa mewakilkan isteri atau ahli keluarga yang lain ke sekolah untuk mengambil kad laporan anak, tidak dapat menjenguk dia berlari dalam sukan tahunan mahupun setakat berdiri di ambang pintu untuk menyambut anak pulang daripada sekolah.
Masa bertugas di pejabat hingga ke hujung-hujung minggu juga mengorbankan masa kita berekreasi bersama keluarga. Kita sudah jarang dapat pergi jalan-jalan cari makan, menonton wayang, ekspo ataupun menziarahi sanak saudara.
Hidup berjiran pula semakin sukar diamalkan. Kalau setakat bertukar senyuman atau berbalas salam tatkala menghidup enjin kereta masing-masing, apakah erti kita hidup berjiran? Kerana kesibukan bekerja, kita hidup sebagai pekerja siang dan malam. Peranan sebagai sebagai ibu, ayah mahupun jiran kepada orang di sebelah rumah semakin mengecil.
Bahagiakah kita dengan kehidupan begini? Sukakah kita bila termasuk ke dalam lingkaran rutin harian yang tidak membolehkan kita hidup sebagai manusia tetapi hanya sebagai pekerja? Tidak perlu berasa sedih mahupun terkilan. Kita tidak akan berasa bahagia dan tentu sekali tidak akan suka dengan kerja yang kita lakukan andainya kita tidak mengubah sudut pandang kita sendiri.
Jika kita terpaksa bekerja lebih daripada 12 jam hingga waktu di pejabat melebihi masa di rumah, bila kita tidak sempat solat di surau di kawasan kediaman, mengaji atau menghadiri majlis-majlis keilmuan dan kenduri, ia tidak bermakna kita manusia yang tidak berpeluang beribadah. Kerja itu juga adalah ibadah. Malah, mungkin apa kita lakukan itu adalah fardu kifayah. Kita penyelamat bagi orang lain kerana kita sahaja yang punyai sesuatu kepakaran itu. Orang lain dapat beribadah secara berjemaah, kita juga beribadah meskipun bersendirian. Pahala tetap kita perolehi.
Oleh kerana masa kita lebih banyak berada di pejabat dan tidak dapat berjiran di kawasan kediaman, bukankah mereka di sebelah meja kita itu juga umpama jiran? Apakah kita layani  mereka sebagai jiran seperti berlemah lembut, menjaga kepentingannya, prihatin terhadap sakit peningnya, masalahnya dan kebajikannya?  Jika definasi jiran itu dalam lingkungan 40 buah rumah, apakah kita tidak boleh melihat jiran-jiran kita di pejabat dalam lingkungan 40 buah meja? Mungkin, seluruh ruang pejabat itu adalah jiran-jiran kita.
Ya. Bila pejabat sudah jadi seperti rumah, kita masih boleh hidup bermasyarakat. Malah, bukan setakat makan dan minum bersama. Sakit pening dan susah payah mereka juga boleh kita rasai bersama. Berlanjutan daripada itu, dengan teman-teman sepejabat juga kita boleh berekreasi, menjalankan majlis-majlis ibadah di pejabat atau membuat kebajikan kepada orang lain di luar pejabat.
Di mana pun kita berada, walau apa pun yang kita buat, kita sendirilah yang sepatutnya sedaya upaya menghidupkan ukhwah Islamiah. Kita tidak boleh tenggelam di dalam kesibukan dunia sendiri.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 9.1.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment