Photo credit: howstuffwork.com
Masalah teknikal. tiada imej setakat ini. maaf.
AKHBAR SUDAH
TIADA KUASA MEMUKAU
Syarikat
akhbar menghebahkan berita untuk tatapan ramai. Ia memperoleh sumber lisannya
daripada ucapan rasmi, ceramah, sidang akhbar dan juga temubual. Ia mendapat
sumber bertulis pula daripada kenyataan akhbar, Facebook, Twitter, blog dan laman web rasmi individu yang menjadi
bahan berita.
Oleh
kerana adanya pelbagai medium maklumat dan terbukanya individu atau sesuatu organisasi
pada hari ini, kenyataan-kenyataan daripada ‘sumber yang layak dipercayai’
sudah tidak lagi layak dipercayai. Taktik dan teknik memperoleh bahan berita
daripada sumber ketiga mahupun keempat, secara intai-intai, agak-agak,
spekulatif dengan rumusan yang condong ke kiri ataupun ke kanan sudah
ketinggalan zaman. Malah, semakin sehari, ia menjadi sumber yang tidak lagi
digunakan oleh media, kecuali untuk tujuan sensasi daripada media yang
kehabisan modal dan idea mencanai berita.
Pada
hari ini, berita mesti dihidangkan pada bila-bila masa kepada para pembaca
sebagai santapan minda mereka. Tidak seperti dahulu, bilamana berita hanya
dipaparkan di akhbar pada pagi atau malam hari. Ataupun orang ramai hanya
memperolehnya tatkala siaran berita pada masa-masa yang ditetapkan melalui
televisyen atau radio.
Kini,
berita mesti panas dan kerap terhidang sekurang-kurangnya pada setiap jam.
Kerana itu, para wartawan perlu sentiasa bersiap siaga mendapatkan bahan
berita, mengarang dan menyalurkannya ke pejabat untuk dipersembahkan dalam
bentuk cetak, elektonik mahupun melalui
internet.
Kepantasan
menghidang berita daripada pelbagai sumber rujukan membolehkan seseorang
wartawan itu mudah dalam melaksanakan tugasnya. Justeru itu adalah hampir mustahil
andainya seseorang wartawan pada hari
ini berkata kepada pengarangnya yang dia tiada apa-apa berita untuk
disampaikan.
Dalam
dunia persuratkhabaran, no news is bad
news. Bagaimana pun, bad news is not necessarily
good news. Oleh kerana itu, penyampaian berita itu perlu seimbang kerana
para pembaca mahukan sesuatu yang dia boleh pertimbangkan. Mereka tidak lagi
boleh menelan berita yang muluk-muluk belaka mahupun berita yang hanya menyesakkan
fikiran. Berita yang semata-mata pro atau pun yang kontra akan diketepikan. Hampir
semua perkara ada baik dan buruknya. There
are always two sides of a coin. Pembaca pada hari ini berhak mendapat
maklumat yang seimbang. Mereka tidak akan menelan bulat-bulat apa yang
diterima.
Kerana
itulah, mereka yang menjadi bahan berita perlu menyedari pentingnya maklumat,
pendapat dan buah fikiran mereka dikongsi dengan khalayak ramai. Mereka tidak
boleh lagi jual mahal, berdiam diri dengan harapan sesuatu yang diperkatakan
mengenainya itu akan sejuk dan tenggelam daripada radar ingatan orang ramai.
Dalam
pada itu, mereka juga tidak boleh lagi cuba menguasai wartawan apatah lagi
media akhbar hingga mahu beritanya sahaja yang disiarkan pada setiap hari. Mereka
yang memanggil sidang media dengan memberi persepsi seolah-olah media yang dijemput
itu sahajalah yang terpilih secara khas; walhal apabila tiba masa sidang, berpuluh-puluh
wakil media lain sudah berbaris menunggu. Ini akan mengecewakan semua yang
hadir kerana digula-gulakan seolah-olah mereka sahajalah yang istimewa. Di lain
waktu, tidak ramai wakil media akan datang lagi ke majlisnya.
Jika
memanggil media semata-mata untuk menyampaikan apa yang sudah diperkatakan
sebelum ini, besar kemungkinan apa yang disampaikan itu tidak akan terpilih
menjadi bahan berita. Jika diri sendiri bukannya newsmaker seperti Tun Dr. Mahathir yang sentiasa mempunyai idea, saranan
dan hujah baharu, tidak usahlah cuba menarik perhatian dengan kata-kata kosong yang
berulang-ulang.
Para
pembaca pada hari ini dihujani dengan pelbagai bahan komunikasi. Minda mereka
sudah tepu. Ini menjadikan mereka punyai memori yang singkat kerana begitu
cepat bosan dengan sesuatu. Justeru itu, kekerapan kemunculan seseorang di mata
khalayak sebenarnya akan membuat dirinya over-exposed.
Ini bermakna, kekerapan kemunculan seseorang di khalayak ramai itu tidak semestinya
akan mempopularkan dirinya. Malah boleh berlaku kesan sebaliknya iaitu imejnya sudah
tidak mempunyai impak dan ingin dinyah segera daripada kotak fikiran pembaca.
Akhbar
sudah tiada kuasa mahupun pengaruh untuk menaik mahupun menjatuhkan imej
seseorang kerana khalayak sudah lebih berhati-hati dengan apa yang mereka
tatap. Yang menentukan naik turun atau jatuh bangun seseorang itu ditentukan
oleh individu sendiri.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.1.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment