Photo credit: murkiester.com
KITA JUGA
BENTENG PERTAHANAN
BENTENG PERTAHANAN
SEJAK mula kumpulan penceroboh bersenjata memasuki perairan negara dan
berkumpul di Kampung Tanduo, Lahad Datu, saya sudah berasakan situasi tegang sebegitu akan memakan minggu. Pertempuran
dan tembak menembak yang mengakibatkan kematian 8 orang anggota pasukan PDRM
meningkatkan lagi suhu ketegangan. Dan, apabila tawaran berunding ditutup
diikuti dengan serangan pasukan keselamatan negara pada pagi semalam, saya terus
terimbau suasana ancaman bersenjata yang pernah saya lalui.
Pada tahun 1964, sebaik sahaja melangkah ke darjah satu, saya
tercengang bila melihat tingkap-tingkap kaca sekolah ditampal dengan kertas
surat khabar dalam bentuk berpetak-petak. Cikgu kata, ia adalah untuk mengelak
kaca-kaca itu berderai bila terkena peluru. ‘Peluru?’ Tanya murid-murid lain
dengan mata membulat.
Cikgu bercerita, Malaysia dan Indonesia sedang berkonfrontasi. Malaysia
akan diserang oleh tentera Indonesia. Mereka mahu ganyang Malaysia. Oleh kerana
itu, kami semua diingatkan untuk menjaga keselamatan. Pada hari-hari berikutnya
pihak sekolah membuat latihan kecemasan apakah tindakan yang mesti dilakukan
apabila sekolah diserang musuh.
Apabila terdengar loceng berbunyi panjang, kami semua diarah untuk
berlari dan bersembunyi di dalam parit. Ketika budak-budak, inilah peristiwa
yang paling menyeronokkan. Sambil menyorok, boleh gelak-gelak dan geletek kawan-kawan
hingga dimarahi cikgu. Tidak takut pun akan bahaya peperangan.
Suasana ketika itu agak tegang. Setiap malam, emak dan abang akan
dengar radio. Kadangkala dapat juga gelombang radio dari Indonesia. Kami
mendengar propaganda juruhebah Indonesia yang mencemuh Malaysia. Radio Malaysia turut juga
dengan perang saraf untuk menyakinkan rakyat, negara ini tidak akan sekali-kali
menyerah kalah.
Pada waktu pagi, siaran radio akan dipenuhi dengan lagu-lagu patriotik
dan march seperti lagu Malaysia Berjaya, Samudera Raya, Bahtera Malaysia
dan Perajurit Tanahair yang lebih
dikenali sebagai lagu Inilah Barisan
Kita. (Walaupun sudah berpuluh tahun berlalu, saya masih hafal senikatanya
dan akan bernyanyi dengan bangga bila memainkannya di YouTube).
Emak pula selalu bercerita kesengsaraan hidup bila Malaya ditawan
tentera Jepun. Ramai rakyat hidup dengan makan ubi kayu, memakai baju diperbuat
daripada kain guni, batang pisang, malah daun nanas. Emak yang ketika zaman
Jepun masih remaja, terpaksa menconteng arang ke muka untuk kelihatan hodoh
agar tidak diperkosa tentera Jepun.
Saya turut lalui zaman ancaman komunis pasca merdeka yang aktif pada
tahun-tahun 60an-70an. Pembunuhan Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang ditembak mati oleh anasir komunis
pada pada Jun 1974, peristiwa Tugu Negara
dibom pada tahun 1975 dan serang hendap komunis ke atas tentera kita, antaranya
di Gubir, Kedah dan Grik, Perak masih kekal dalam ingatan.
Dan, tentu sekali peristiwa 13 Mei 1969 juga adalah period yang
membimbangkan. Saya masih ingat pelekat bertulis, ‘Jangan Dengar Khabar Angin,’
yang diedarkan oleh pejabat pos secara percuma mengingatkan orang ramai agar
tidak panik dengan berita palsu. Saya ingat lagi Majlis-majlis Muhibbah yang
diadakan di balai-balai raya dan dewan orang ramai beberapa bulan kemudian, di
mana setiap kaum beramah mesra untuk meredakan ketegangan kaum.
Tamatnya konfrontasi Malaysia-Indonesia dengan perjanjian perdamaian
pada tahun 1966, berlalunya peristiwa 13 Mei 1969 dengan pelancaran Dasar
Ekonomi Baru pada tahun 1974 untuk
menghapus kemiskinan dan menyusun masyarakat sebagai strategi integrasi
nasional dan tamatnya pemberontakan komunis pada tahun 1989 melalui perjanjian
Haadyai, menjadikan ancaman bersenjata tinggal dalam lipatan ingatan.
Bila terjadi pula ancaman bersenjata di Lahad Datu, saya teringat
juga bagaimana rakyat Malaysia teguh berdiri di belakang pasukan keselamatan
melalui peristiwa ancaman komunis, konfrontasi dan peristiwa 13 Mei 1969.
Pasukan PDRM dan ATM; merekalah yang akan menjaga keselamatan negara buat
sekian kalinya. Selama ini mereka berjaya kerana rakyat sentiasa menyokong dan memberi
semangat kepada mereka. Kita juga benteng pertahanan.
Anak-anak muda pada hari ini seharusnya membuka kembali buku sejarah
atau melayari sahaja internet untuk mengetahui dan menghayati zaman hitam lagi
getir yang orang tua kita alami. Tidak perlu menjadi keyboard warriors atau armchair
heroes yang bagai tahu semua, tetapi mempersoalkan perwira di medan pertempuran yang sebenar.
Ingatlah, kita pasti punyai saudara, orang kampung atau kawan yang menjadi
anggota keselamatan. Setidak-tidaknya kita punyai kenalan yang bersaudara
dengan hero-hero kita di perbatasan. Jangan lukai hati mereka.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.3.2013, insya-ALLAH...
Salam Tuan.membaca entri tuan ini membuatkan saya terkenangkan cerita-cerita arwah datuk saya.Pengalamannya semasa posting di Sabah,termasuk tahun berlakunya konfrontasi Malaysia-Indonesia itu.Arwah bercerita bagaimana tentera indonesia (atuk sebut komando) yang menyelinap masuk ke Malaysia untuk menyerang askar2 RAMD ketika.Termasuklah arwah atuk yg diperhatikan dari jauh oleh komando Indonesia.Juga cerita berkawal ketika Rundingan Baling.Apakah arahan Tunku ketika itu juga kekal dalam ingatan arwah.Benar kata tuan, anak-anak muda hari ini seharusnya imbas kembali sejarah untuk tahu zaman pahit getir orang-orang tua kita.Terima kasih tuan.Entri yang menjentik perasaan saya sbg seorang cucu kepada seorang askar RAMD Pasokan Pertama.
ReplyDeleteTerima kasih, Hawa. Bila difikir-fikir, orang sekarang sendiri (generasi kita) sudah tidak mahu bercerita dengan anak-anak pengalaman sendiri. Penceritaan diambil alih oleh media radio, TV dan internet.
ReplyDeleteApa yang dipilih medium itu untuk disajikan hanya berupa maklumat, berita dan cerita yang jarang sekali ada kena mengena dengan diri anak-anak.
Sudahnya, anak-anak tidak dapat merasakan apa yang orang tua mereka rasa. Kita juga tidak memaklumkan kepada anak-anak kisah-kisah benar datuk nenek mereka sebagai pengajaran.
Bila generasi muda tidak rasa apa yang kita rasa, salah siapakah itu? (salah kita ~ generasi pertama pasca merdeka)