Tuesday, March 12, 2013

MEMBENTUK GENERASI


 
Photo credit: shofiqolbu.wordpress
HIDUPKAN SEMULA
BUDAYA BERCERITA

BERCERITA adalah satu budaya yang wujud di kalangan pelbagai masyarakat di dunia. Sejak di zaman batu pun, bercerita adalah satu cara untuk menyampaikan sejarah sesebuah kaum melalui lakaran di dinding-dinding gua. Bila zaman beralih, terdapat golongan yang menjadi tukang cerita atau penglipur lara. Selain berhibur, cerita disampaikan golongan ini kepada raja mahupun rakyat sebagai teladan mahupun sempadan.

Kanak-kanak adalah golongan yang amat sukakan pada cerita. Mereka memperoleh pengetahuan dan ilmu melaluinya. Kisah dongeng, sejarah bangsa, negara dan hero disampaikan oleh ibubapa kepada mereka. Daripada berceritalah seseorang anak dapat dibentuk akhlak dan budi pekertinya.

Generasi pertama pasca merdeka masih banyak belajar sejarah negara, bangsa dan keluarga daripada apa yang disampaikan oleh datuk nenek atau ibubapa masing-masing. Pergolakan yang berlaku terhadap mereka di zaman Jepun, British,  komunis,  konfrontasi Malaysia-Indonesia dan pergolakan kaum pada tahun 1969 merupakan kehidupan yang penuh dramatik.

Pengalaman mereka sendiri pada zaman tersebut sudah cukup menggerunkan kerana penceritanya, sama ada datuk, nenek, ibu dan bapa adalah mereka yang terlibat secara langsung. Ini memberi kesan pengajaran yang hebat kepada anak-anak untuk mempercayainya.  Apatah lagi ia disampaikan secara live oleh pelakunya iaitu orang tua sendiri. Bukannya cerita orang lain. Kerana itu, anak-anak yakin mematuhi ingatan dan amaran  yang diselitkan oleh orang tua.

Pada hari ini, cerita dongeng dan kisah sejarah diperolehi dengan mudah melalui buku, filem mahupun secara online. Ia sudah mengambil-alih budaya bercerita. Kesibukan ibubapa menjadikan budaya bercerita itu terputus. Mereka terlupa untuk menyambung budaya bercerita yang telah membentuk peribadi mereka sendiri kepada anak-anak mereka pula.

Akibatnya, seseorang anak itu tidak akan berasa bersalah memilih cerita apa yang dia suka.  Tentu sekali pilihan mereka tersasar dari jalur-jalur cerita yang mempunyai nilai-nilai jatidiri. Malah, cerita rekaan jauh lebih banyak memenuhi menu santapan minda anak-anak daripada kisah benar.

Bila Hollywood dan yang sejenis dengannya mengambil tempat sebagai pencerita, hiburanlah yang menjadi sampah santapan minda si anak muda. Berperang dengan menembak tanpa henti ala-Rambo, hero yang tidak mati ala-John McClane; Die Hard atau peperangan yang meruntuhkan segala pencakar langit ala-Transformers, menjadikan anak-anak muda melihat peperangan sebagai keseronokan.

Apabila pergolakan di Lahad Datu terjadi, anak-anak yang merujuk adegan perang persis filem perang atau permainan video ala Call of Duty,  mereka hairan, tertanya-tanya dan mempersoalkan mengapa terlalu sedikit yang maut? Tidak beratus-ratus seperti yang mereka lihat di filem dan yang mereka bunuh dalam permainan video. Mereka pelik, bagaimana ada pihak hero (PDRM & ATM) boleh gugur. Dalam filem, hero tidak mati. Dalam permainan video, bila game over, permainan boleh diulang kembali. Yang mati boleh dihidupkan semula.

Mereka mahu segala strategi dan maklumat Ops Daulat diketahui sepenuhnya seperti mereka tahu segala jenis senjata dan peralatannya dalam permainan video. Kerana itu, mereka tidak dapat menerima penerangan bahawa atas sebab-sebab keselamatan, strategi operasi tidak boleh dihebahkan.

Malangnya, oleh kerana terbiasa dengan dunia fiksyen, anak-anak muda tidak dapat membezakan apa yang terjadi di Lahad Datu adalah realiti. Sebab itulah, segala cerita yang kontroversi dan tidak pasti kesahihannya ditelan bulat-bulat. Malah, mereka menyebarkan apa yang mereka jangkau di internet tanpa menilai sama ada ia fakta mahupun fitnah.

Kita yang dewasa berasa marah dengan anak muda. Mengapa mereka sanggup menyebarkan apa yang tidak benar? Mengapa mereka sanggup memperlekeh pasukan keselamatan yang seharusnya diberi sokongan moral pada saat-saat mereka mempertaruh nyawa? Mengapa mereka tidak patriotik seperti kita?

Salah siapa? Salah kita juga. Kita hentikan budaya bercerita kerana kita terlalu sibuk. Biarlah cerita datuk, nenek, ibu dan bapa itu kita simpan sendiri. Itu kan, kisah silam. Biarlah buku, televisyen, filem dan internet mengganti peranan kita sebagai pencerita. Tetapi akibatnya, anak-anak muda kita pada hari ini tenggelam dalam dunia fiksyen. Mereka tidak pernah didengarkan kisah suka, kisah luka dulu kerana kita yang memerapnya. Kononnya, biarlah anak-anak kita senang hati. Tetapi akhirnya, kita makan hati dengan perilaku mereka tidak mengerti makna akar diri.

Walaupun agak terlewat, kita kena hidupkan kembali budaya bercerita kepada anak-anak kita.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 13.3.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment