Tuesday, November 27, 2012

UNCONDITIONAL LOVE


Photo credit: somayalotfi.blogspot
KASIH 
YANG TIDAK
BERBELAH BAHAGI

SIAPA yang tidak sayangkan anak? Si kecil yang lahir ke dunia ditatap dengan perasaan kasih sayang oleh ibu dan bapanya. Senyumannya cukup menghiburkan. Tangisannya pun menimbulkan rasa sayu kerana ia tanda si kecil takut dan mahukan pelukan. Tidurnya diiringi dengan dendangan lagu dan zikir. Bangunnya disambut dengan agah hingga si kecil mengekek tertawa.

Dari kecil hingga ke dewasa, dialah racun, dialah juga penawar. Ibu dan bapa akan mendidik, mengasuh, mengajar, mengherdik dan memukul agar si kecil itu membesar dan jadi manusia berguna. Bersyukur dan sejuk hati ayah dan ibu andainya si kecil membesar sebagai anak yang berakhlak, cerdas dan cergas. Dia akan menjadi kebanggaan keluarga. Dia juga menjadi harapan untuk membantu si ibu dan bapa apabila mereka merangkak ke usia senja.

Bagaimana pun, bukan semua anak yang lahir itu akan menjadi orang yang berjasa untuk diri, keluarga, agama dan bangsa. Ada juga anak yang dilahirkan tidak sempurna. Itulah takdir. Terima sahajalah. Yang penting si anak akan terjaga, biarpun layanan terhadapnya umpama seorang bayi di sepanjang hayatnya. Ada juga yang meliar dan mengular hingga menyusahkan sesiapa sahaja. Tidak kurang yang jadi pengganggu ketenteraman keluarga hingga menyusahkan sanak saudara. Jika dahulu dia dibela penuh kasih sayang, kini dia dibela hingga dia keluar lokap atau penjara.

Anak yang menggembirakan ibu bapa akan disebut-sebut. Namun, sebaliknya jika dia menyusahkan keluarga, dia tetap anak, meskipun seluruh jiwa ibu dan bapa menderita memeliharanya. Dialah darah daging yang akan dikasihi hingga ke akhir hayat ibu dan ayah. Malah, andainya sebaliknya terjadi pada si anak, ibu dan ayah akan rela dia pergi. Begitulah, kasih sayang di antara ibu bapa dan anak.

Mengapa kasih ibu dan bapa kepada anak sampai begitu? Mengapa perasaan itu tidak boleh digalang-ganti atau dijual beli? Inilah yang dinamakan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, atau unconditional love.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi ini tiada batasan waktu dan jarak. Bila yang disayangi itu tiada di depan mata, hati terus merindu akan kehadirannya. Jauh di mata, dekat di hati. Tatkala berlaku perselisihan walau betapa besar pun perkaranya, ingatan ‘air yang dicincang tidak akan putus,’ menjadi penyendal terlerainya rasa kasih itu. Bergaduhlah bagaimana sekali pun, ‘bila biduk lalu, kiambang pun bertaut.’

Kasih yang tidak berbelah bahagi itu umpama hubungan sepasang kekasih, tetapi yang lebih dari itu. Ia merangkumi kasih ibu kepada anak, adik-beradik dan sanak-saudara. Ia juga mencakupi kasih seseorang kepada persahabatan rakan sekerja, kepada syarikat, kepada parti, malah cinta kepada negara. Tentu sekali kemuncak kasih yang tidak berbelah bahagi ini adalah kepada Yang Maha Mencipta.

Seseorang yang sudah mempunyai kasih yang tidak berbelah bahagi kepada rakan sekerjanya sanggup meletak jawatan bersama seandainya rakannya itu diyakini telah dizalimi oleh syarikat. Begitu juga bagi yang menyayangi tempat kerjanya, dia akan bekerja bermati-matian seolah-olah itu akan runtuh tanpanya. Sayang kepada parti menjadikannya pejuang hingga ke akhir hayatnya.

Seseorang yang mempunyai kasih terhadap negaranya tidak akan menjual walau seinci tanah dan air, martabat dan maruah negaranya kepada orang lain. Kasih yang tidak berbelah bahagi seseorang kepada Yang Maha Penciptanya akan menjadikan dia berdoa penuh harapan, bersyukur bila menerima nikmat dan tunduk dengan akur serta patuh bila menerima musibah walau ia mendatang kepadanya bertali arus tanpa henti. 

Kita terlalu banyak menumpahkan kasih yang bersyarat. Bila ayah tak beri mainan, si anak tak mahu berkawan dengan si ayah. Bila rakan sekerja tidak membantu kerja, persahabatan pun menjadi renggang. Bila parti mengenepikannya, dia jadi pembelot. Bila pemerintah dirasakan tidak adil, negara pula hendak digadai. Bila Yang Maha Pengasih tidak memakbulkan doa, tangan tidak mahu ditadah lagi.

Ada beza di antara kasih yang bersyarat dan kasih yang tidak berbelah bahagi. Kasih yang bersyarat itu terjadi bila kita asyik meminta-minta. Kasih yang tidak berbelah bahagi itu terjadi bila kita sentiasa memberi, memberi dan memberi. Meminta-minta akan menjadikan kita tamak. Memberi pula akan meresapkan rasa bahagia di hati.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian esok, 28.11.2012, insya-ALLAH... 

3 comments:

  1. Benar sekali. Tapi bukan mudah untuk melaksanakannya sebenarnya.

    ReplyDelete
  2. kasih mu kasih tiada tanding..setia tiada tara..
    (lagu hafiz)

    ReplyDelete
  3. When u tell the truth..nothing matters but at times truth have to be kept in silence if it hurts the majority of people and your luv ones.

    ReplyDelete