Photo credit: fullstriderunning.com
HIDUP
INI
SEBUAH MARATON
YANG PANJANG
YANG PANJANG
BILA menatap foto
pelajar-pelajar yang tersenyum riang kerana berjaya mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan UPSR di dada akhbar, saya teringat zaman
persekolahan sendiri. Saya turut lalui tiga peperiksaan sebelum menamatkan
persekolahan di tingkatan lima. Saya juga menghadapi peperiksaan darjah lima,
Sijil Rendah Pelajaran (Penilaian Menengah Rendah) di tingkatan tiga dan Sijil
Pelajaran Malaysia di tingkatan lima.
Keputusan-keputusan
peperiksaan itu akan melakar garis kehidupan seseorang ke matlamat masing-masing
sama ada cepat atau sebaliknya; bergantung dengan bidang yang dipilih seseorang
itu. Justeru, saya melihat peperiksaan itu sebagai satu larian dalam sebuah maraton
kehidupan yang panjang. Ada ketikanya kita mendahului rakan-rakan yang lain,
ada kalanya kita ketinggalan di belakang.
Perlumbaan dalam
larian maraton kehidupan ini saya lalui bersama seorang sahabat saya, Amin. Saya
dan Amin bersekolah dan sedarjah sejak dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga.
Kami sama-sama belajar dan bermain. Kami juga saling berlawan markah dalam
setiap mata pelajaran. Kadang-kadang dia menang, ada kalanya saya pula mencapai
markah yang lebih baik. Dari darjah satu hingga ke tingkatan tiga, kami
sekelas. Apabila dia mengambil bidang sains pada tingkatan empat dan lima, saya
terpisah daripadanya kerana mengambil bidang sastera.
Namun, apabila
keputusan peperiksaan SPM diumumkan, kami sama-sama mendapat gred dua.
Untungnya, Amin dapat melanjutkan persekolahan di tingkatan enam sedangkan saya
tidak terpilih. Saya sedih kerana terasa ketinggalan dan kalah dalam perlumbaan
itu. Tetapi, nasib menyebelahi saya pula apabila terpilih ke Institut Teknologi
MARA (kini UiTM).
Saya menang kerana
berjaya ke institusi pengajian tinggi sedangkan dia masih lagi bersekolah. Tatkala
saya di tahun tiga, Amin baru masuk ITM setelah selesai STPMnya. Apabila saya mula
bekerja, Amin masih lagi belajar. Kadangkala bila bertemu, saya menunjukkan aksi
bangga kerana dapat berdikari berbanding dengan dirinya yang masih berbelanja
dengan wang kiriman ayahnya.
Dugaan kehidupan
melanda saya pada satu ketika di mana saya berhenti kerja dan menganggur. Amin
pula baru tamat pengajian dan bertugas di sebuah syarikat pengangkutan
antarabangsa. Pangkatnya pun besar. Dia mendahului saya pada ketika itu. Tidak
lama kemudian saya berniaga sendiri dan berumahtangga sedangkan Amin masih lagi
membujang. Ya, saya menang kembali!
Bertahun kemudian,
dia berkahwin. Apabila saya bertugas dengan Kumpulan Karangkraf, sahabat saya ini berhenti kerja dan membuka
sebuah syarikat logistik. Kehidupan kami dikira setanding. Sama-sama bekerjaya
yang baik dan bekeluarga. Tiada siapa menang, tiada siapa yang kalah. Bertahun
juga kami tidak bertanya khabar masing-masing.
Namun, baru-baru ini
kami bertemu di sebuah restoran. Dengan bangganya Amin memberitahu saya yang
dia menang kembali dalam perlumbaan kami. Katanya, “Hei, aku dah dapat
datuklah. Aku rasa engkau tak boleh lawan aku dah, melainkan kalau engkau beli
pangkat datuk tu.” Sambil mengucapkan tahniah kepada Datuk Amin, saya menjawab
dengan senyuman. “Aku pun dapat datuk jugak sebab nak dapat cucu tahun depan!” Tawa
kami berderai kerana kami sama-sama tahu, Amin tidak punyai anak walaupun dia
sudah berpangkat datuk.
Kehidupan kita sejak
di zaman persekolahan telah pun diperlumbakan oleh sistem pendidikan. Kita
digalakkan mengejar markah sebagai pengukur kehebatan. Siapa nombor satu, siapa
nombor akhir atau siapa di kelas yang bagus, di sekolah yang bagus selalu menjadi
bandingan hingga kita diterap dengan pemikiran sebegini dalam mengejar kecemerlangan kuantitatif.
Akhirnya kita terbawa
pemikiran sebegitu dalam world view
dan persepsi diri hingga kita ingin berjaya bersandarkan kemenangan material.
Yang memperoleh semua itu akan rasa hebat dan menang. Yang tidak dapat kesemua
itu berasa gagal dalam kehidupan. Kejayaan dan kegagalan kita itu mengikut
ukuran orang sekeliling dan sistem masyarakat, bukannya diri sendiri.
Sepatutnya ukuran
kemenangan atau kegagalan itu diukur bukan sahaja berdasarkan perolehan
kuantiti, tetapi kualiti. Seperti kisah saya dan Amin, walaupun akhirnya
sama-sama memperoleh kuantiti dan kualiti kehidupan yang mana akhirnya dia
memperoleh gelaran datuk dan saya pula gelaran datuk.
Sungguhpun kami
sama-sama membesar di persekitaran dan pendidikan yang sama, akhirnya kami
memperoleh kejayaan pangkat atau gelaran datuk yang mempunyai erti yang
berbeza. Bukankah sesungguhnya itu menandakan, dalam marathon kehidupan ini,
kita sebenarnya bukan berlumba dengan orang lain, sebaliknya dengan diri
sendiri. Kejayaan kita tidak akan sama dengan orang lain. Walaupun memperoleh
kejayaan yang sama, rasa indahnya tentu sekali berbeza.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.11.2012, in syaa Allah...
Tulisan yang punya makna dan falsafah yang tinggi. Ada cerita dan ada kritik yang disalurkan secara halus. Sebab itu saya suka baca tulisan Nordin Mohammed. Selalu baca di Sinar Harian tapi ini pertama kali komen
ReplyDeleteYa, setiap org ada takdir trsndiri. Kita msti tabah, berdoa n brusaha sedaya kita. Smoga kita brada di jln yg lurus.
ReplyDeleteAnonymous...
ReplyDeleteTerima kasih sdr. Semoga memperoleh manfaat.
Buat Din...
Benar... takdir tersendiri.
hidup seperti maraton...sangat setuju..hidup mmg sesutu perjalanan yang panjang...kehidupan menuju kehidupan yg satu lagi bermula daripada kehidupan ini juga...
ReplyDelete