Tuesday, November 13, 2012

BERDIRI DI SAMPING KEBENARAN


Photo credit: myibrah.com

SINAR HARIAN
JUGA BERHIJRAH


ALHAMDULILAH dan insya-ALLAH, mulai masuk waktu Asar petang ini, kami warga Sinar Harian akan meraikan sambutan Maal Hijrah 1434 di Madrasah Haji Yaacob yang terletak di Bangunan Sinar Harian. Bangunan itu adalah premis baru kami yang terletak di dalam Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Kami akan mula berpindah secara beransur-ansur sehingga kami mula beroperasi sepenuhnya di bangunan itu mulai Disember nanti.

Sesungguhnya perpindahan itu begitu dalam ertinya. Ia mengingatkan semangat hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah 1,400 tahun yang lalu. Cuma, Rasulullah berhijrah kerana oppresi, Sinar Harian berhijrah kerana operasi. Baginda berpindah dalam keadaan yang penuh berhati-hati, kami berpindah dalam mood yang senang hati. Betapa berbezanya suasana dan ketika hijrah Rasulullah yang penuh pancaroba tetapi kami berhijrah juga dalam suasana yang penuh kegembiraan. Maklumlah, dapat pejabat baru.

Saya teringat perjalanan saya dengan bas dari Mekah ke Madinah ketika menunaikan haji pada tahun 2003. Perjalanan selepas Asar itu menaikkan bulu roma kerana ia adalah perjalanan menjangkau ke senja menjelangnya 1424 Hijrah. Perjalanan sejauh 337 kilometer atau lebihkurang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru mengimbau ingatan, betapa Rasulullah SAW melalui perjalanan getir itu. Tidak terbanding dengan perjalanan saya di dalam bas berhawa dingin. Apatah lagi penghijrahan saya dan teman-teman warga Sinar Harian nanti yang tidak lebih 100 langkah atau tujuh minit perjalanan dari pejabat yang sedia ada ke pejabat yang baru.

Meskipun  hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah merupakan perpindahan fizikal dari satu tempat ke satu tempat yang lain; dari segi mental, ia juga membawa erti penghijrahan dari satu paradigma, untuk membina satu paradigma yang lain. Daripada segi spiritual pula, ia memerlukan kekuatan rohani untuk terus beriltizam dan beristiqamah. Justeru itu, penghijrahan fizikal warga Sinar Harian juga mesti diiringi niat untuk berubah yang disusuli dengan pelan perubahan, diikuti dengan tindakan, dipertahankan dengan kekuatan emosi dan dipasak dalam-dalam dengan komitmen rohani.

Bagi saya, hijrah akan lebih berkesan seandainya ia dilakukan secara berkumpulan seperti mana yang dilakukan Rasulullah SAW. Baginda tidak berpindah sendirian. Ini adalah kerana, perubahan atau penghijrahan yang dilakukan dalam kumpulan lebih mudah diperkekalkan kerana teman-teman sekumpulan dapat ingat memperingati agar masing-masing dapat mempertahankan perubahan yang dipilih.
           
Lihatlah penghijrahan beribu-ribu ekor penyu yang menyelami lautan, burung-burung yang terbang merentasi benua dan pelbagai binatang daratan yang berpindah seperti beruang, gajah, kambing biri-biri mahupun kupu-kupu. Meskipun pada asasnya ia berhijrah untuk mencari makan, ia berpindah secara kumpulan dan bukannya sendirian.

Perpindahan warga Sinar Harian ke pejabat baru juga adalah hijrah secara berkumpulan. Mudah-mudahan perpindahan di tahun yang baru,  dalam suasana yang baru itu sama-sama menzahirkan semangat baru yang akan terus menyampaikan berita tanpa mengira siapa-siapa dan bertujuan apa-apa melainkan menjulang prinsip ‘Telus dan Tulus.’ Dalam pada itu, tentu sekali segala keputusan yang diambil untuk menyelidik, menyelongkar dan menyiarkan apa yang diperoleh itu masih kekal melalui neraca pertimbangan bagai menarik rambut dalam tepung.

Kami sedar, anda lihat Sinar Harian sebagai sebuah akhbar yang hebat. Bagaimana pun, kami tahu lantai berpijak kami masih lagi kayu dan bukannya marmar. Masih goyang, belum pun kukuh. Kami mengerti, memang sukar menyiarkan berita yang membuatkan semua hati anda gembira dan menerima. Lebih payah lagi memaparkan berita yang membuatkan hati anda semua berduka dan menolaknya. Inilah cabaran yang sentiasa kami pikul agar anda para pembaca memperoleh maklumat dalam apa jua perkara yang anda ingin tahu.

Betapa pun, Sinar Harian akan terus berpandu kepada tujuh prinsip dan etikanya sebagai falsafah akhbar ini. Kami tidak boleh memandai-mandai, memeriksa semua sumber berita, mendamaikan dua pihak yang bersengketa, mengingati erti persaudaraan orang-orang yang beriman, mengelak daripada kata-mengata, tidak berprasangka dan sentiasa ingat ALLAH SWT menilai seseorang itu melalui takwa, bukan pangkat, pengaruh dan hartanya.

Sesungguhnya ayat-ayat pertama, keenam, kesembilan, kesepuluh, kesebelas, keduabelas dan ketigabelas dari Surah al-Hujurat yang menjadi panduan kami selama ini akan kami genggam pula supaya anda sekalian tidak ragu-ragu tentang nawaitu kami dalam menyampaikan berita.

Di mana ada kebenaran, di situ ada Sinar Harian. Kami tidak berpihak. Sebaliknya hanya berdiri di samping kebenaran. Mudah-mudahan anda memperoleh pencerahan dalam apa jua persoalan yang bersimpang-siur di fikiran melalui Sinar Harian. Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.11.2012, insya-ALLAH...

1 comment: