Photo credit: useyouredge.blogspot.com
JAWAPAN YANG
DATANG SEBELUM SOALAN
DATANG SEBELUM SOALAN
SAYA bertemu dengan Amran, seorang pembantu pentadbir sebuah
syarikat pembinaan ketika hendak memperbaharui lesen memandu di pejabat pos.
Saya kenali beliau tatkala bertugas di sebuah syarikat perunding di Jalan Ipoh,
Kuala Lumpur 20 tahun dahulu. Pejabat Amran bersebelahan dengan pejabat saya.
Sekali-sekala bila terserempak, kami berkongsi meja dan cerita tatkala makan
tengahari di gerai bawah pokok berhampiran dengan pejabat kami.
Memandangkan panggilan nombor giliran saya masih lagi lambat,
saya ambil peluang itu untuk bersembang dengannya. Saya menegur Amran sebaik
sahaja dia selesai dengan urusannya. Dia kaget seketika memandang saya. Mungkin
terkejut kerana tidak menyangka menemui saya di situ.
Setelah berbasa-basi, saya bertanya apa urusannya di pejabat
pos itu. Wajahnya kelat seketika sebelum menjawab. ‘Saya bayar road-tax kereta, bang. Tapi saya
terkilan sangat. Baru semalam saya dapat naik gaji, hari ini isteri saya kata,
cukai jalan keretanya dah mati. Habis duit kenaikan saya.
Minggu lepas saya dapat bonus. Tayar kereta saya pulak
meletup sebab botak. Nasib baik saya tak pandu laju. Kalau tidak boleh nahas.
Saya ni selalu sangat terkena. Bila dapat duit sikit, mesti ada saja masalah yang
perlukan duit tiba.’
Saya hanya tersenyum mendengar keluhannya. Tatkala di zaman
muda dahulu, saya biasa mengalami situasi begitu. Baru dapat duit tuntutan
perjalanan, surat saman memandu melebihi had laju pun sampai. Baru sahaja dapat
gaji, adik pula mengadu hendak beli set buku-buku pelajaran universitinya. Baru
sahaja terima bayaran hutang dari kawan, ada kawan lain pulak yang menagih
hutangnya dari saya.
Pendek kata, ada sahaja keadaan di mana kita terpaksa
melupakan hasrat untuk berbelanja kerana tuntutan yang lebih penting datang
menagih penyelesaian. Justeru itu, apa yang dialami Amran kini pernah saya alami.
Saya juga pernah keluh kesah, keruh resah dengan situasi itu. Gembira hati
hanya sementara kerana masalah datang untuk memadam keriangan itu. Namun,
setelah mengalami keadaan sebegitu buat beberapa kali, saya ada cara menangani
hati sendiri hingga saya sudah tidak kisah dengan situasi yang boleh dilihat
sebagai masalah itu.
Masalah adalah halangan, kesusahan atau cabaran yang
memerlukan penyelesaian. Penyelesaian pula akan membolehkan kita nampak semula
matlamat lalu melangkah untuk menggapainya. Masalah makro seperti masalah
masyarakat mahupun negara hanya membimbangkan kita meskipun ia akan memberi
kesan besar andainya tidak mengatasinya. Sebaliknya masalah peribadi yang kecil
pun sudah cukup untuk membuat diri bermuram durja.
Ada masalah yang begitu besar hingga memerlukan bantuan orang
lain untuk menyelesaikannya. Ada masalah yang semakin membesar andainya kita
tidak segera menanganinya. Ada masalah yang selesai sendiri bila waktu berlalu.
Banyak juga masalah yang akhirnya tidak
dilihat sebagai masalah lagi bila kita sedar, ia hanyalah mainan perasaan.
Namun, ada juga masalah seperti yang dihadapi oleh Amran. Jika
kita renungkan, masalah sebegini amat unik kerana ia muncul setelah
penyelesaiannya menjelma. Lihatlah, Amran terpaksa mengeluarkan wang untuk
membayar cukai jalan kereta isterinya setelah memperolehi kenaikan gaji. Dia
juga terpaksa mengganti tayar keretanya yang meletup setelah memperoleh bonus.
Tidakkah ini menunjukkan masalah-masalah itu mendatang
setelah penyelesaiannya tersedia? Masalah yang timbul setelah penyelesaiannya
tiba terlebih dahulu, jarang sekali kita sedari hingga kita rangkum ia serupa
seperti masalah-masalah yang lain. Padahal, ia amat berbeza dari jenis-jenis
masalah yang lain.
Begitu halusnya ALLAH memberi kita dugaan dan cabaran berupa
masalah yang pelbagai. Antaranya ialah masalah seperti ini. Jawapannya datang dahulu sebelum soalannya tiba. Janganlah mengeluh bila ditimpa
masalah sebegini.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.11.2012.
pertama kali saya baca artikel tuan dalam sinar harian,saya mula mencari blog tuan..saya sgt suka coretan tuan..byk makna dan mendalam..dan sy mula berfikir ttg kehidupan...saya suka dgn catatan tuan ni...
ReplyDeleteAlhamdulilah. Maaf setelah lima tahun baharu saya menjawab komen saudari. Teruskan membaca MAAF CAKAP, ya?
ReplyDelete