Tuesday, October 30, 2012

ALAM REALITI, ALAM SIBER



Photo credit: robotplunger.com

TULISAN TIDAK
MENUNJUKKAN PERIBADI

PENAT melayan tetamu sambutan Hariraya Aidiladha Kumpulan Media Karangkraf semalam sudah hilang bila saya tidur awal. Bila bangun pagi ini, tubuh sudah segar kembali. Begitulah bila ada majlis di Karangkraf… para jemputan yang datang cukup ramai. Ada yang sempat dilayan dengan makan bersama. Lebih ramai lagi yang hanya dapat dirai setakat menghulur salam dan mempersilakan mereka menjamu selera.

Terima kasih kepada teman-teman, rakan media dan rakan niaga yang sudi meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan majlis. Tidak mengapa kepada teman-teman yang menelefon untuk mengkhabarkan anda tidak sempat datang kerana ada urusan yang di luar jangka. Tahun depan ada lagi jemputan, insya-ALLAH. Bila dijemput, silalah datang ke tempat kami.

Hampir acara berakhir, saya menerima panggilan dari teman-teman Kuala Lumpur yang baru tiba ke Shah Alam. Mereka sampai lewat dan segan hendak ke Karangkraf. Puas memujuk, mereka enggan juga. Akhirnya saya  pula yang keluar untuk menjamu mereka di sebuah restoran berhampiran dengan pejabat.

Sedang asyik berbual selepas minum-minum, saya perasan ada seorang pemuda berambut panjang sampai ke bahu, di meja sebelah. Tubuhnya gempal. Sejak mula dia duduk saya nampak dia hanya minum teh tarik. Dalam masa setengah jam, dia sudah meneguk hampir dua gelas teh. Saya nampak dia asyik mengetuk sesuatu di komputer ribanya. Apa yang menyibukkannya?

Untuk menghilangkan rasa ingin tahu, saya mengalih kerusi dan menghadapnya. Kami bersalaman dan saling bersapa. Katanya, dia kenal saya melalui tulisan saya. Suaranya perlahan, tutur katanya penuh beradab dan gerak gerinya menggambarkan dia seorang yang amat menghormati orang. Bila dia memperkenalkan diri, saya pula terkejut kerana berkenalan dengan seorang blogger yang selama ini saya hanya tahu nama, tetapi bukan orangnya.

Betapa dirinya itu jauh sekali berbeza dengan apa yang ditulisnya. Tulisannya sentiasa pedas menikam perasaan. Bahasa yang digunakannya celupar. Ada maki, ada hamun. Apabila saya terbaca tulisannya, biasanya saya akan kerap menggeleng kesal. Malah saya terfikir, apakah si penulis tidak mengerti apa yang ditulisnya itu kerap melukakan hati ramai orang?

Sekali lagi saya terjumpa dengan manusia yang baik pekerti tetapi terlalu liar tulisannya. Sebelum ini, saya pernah bertemu dengan seorang lagi blogger yang tidak kurang kasar dan kesat bahasanya, tetapi sebenarnya dia seorang lelaki yang toya.

Begitu jugalah, ramai lagi mereka yang menulis di Facebook dan Twitter amat berbeda personaliti jika dibandingkan dengan tulisan masing-masing. Tulisan mereka, panas. Diri mereka, dingin. Ayat-ayat mereka, kesat. Pertuturan mereka, penuh ketertiban.

Dwi-personaliti ini menambah satu lagi perangai orang kita. Jika selama ini kita selalu berkata, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berada di belakang stereng, perangai mereka berubah ganas. Kini, kita juga boleh katakan, orang Malaysia ini baik-baik. Tetapi bila mereka berinteraksi di alam siber, peribadi mereka bertukar sebaliknya. Apakah ini sejenis penyakit?

Kerana itu, kita tidak boleh ambil hati dengan apa jua bahasa yang digunakan oleh mereka yang menulis di alam siber. Sebahagian besar daripada mereka adalah orang biasa seperti kita yang beradab dan berhemah. Mereka hanya menganggap bahasa kasar, kesat dan celupar itu adalah bahasa standard di alam siber. Sebab itulah mereka tidak berasa janggal menggunakannya. Padahal, ia bukannya cara mereka menulis dan bertutur di alam nyata.

Jika kita marah-marah dengan cara tulisan demikian dengan cara menegur, biasanya kita pula akan dibelasah habis-habisan. Tambahan pula, dengan nama samaran atau profil samaran, seseorang itu mungkin sahaja menggunakan sesuatu nama sebagai wataknya di alam siber, iaitu keras dan kasar. Kita kena terima bahawa itu lingua franca dalam internet. Kita perlu terima kenyataan bahawa bahasa di alam siber tidak menggambarkan personaliti insan sebenar.

Dalam pada itu, kita sendiri patut mengubah tanggapan bahawa bahasa dan tulisan di alam siber adalah bebas sebebas-bebasnya. Mana ada kebebasan tanpa sempadan? Jika kita menghormati diri sendiri, kita tidak akan memalukan diri menggunakan bahasa yang tidak molek meskipun orang yang tahu siapakah kita.
Tidak perlu terikut-ikut. Gunakan bahasa yang sopan dan tertib. Jika itulah peribadi kita, mengapa kita perlu berubah personaliti menjadi The Hulk sebaik sahaja menekan papan kekunci?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 31.10.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment