Tuesday, October 2, 2012

DI ANTARA MILO DAN TONIK CHAP GAJAH



Photo credit: bluesriders.blogspot

MENJADI POPULAR
DAN TERUS DIINGATI


BARU-BARU ini saya pulang ke kampung dan berkunjung ke rumah saudara jauh. Nek Noi dan Tok Jali amat berbesar hati dengan kunjungan saya sekeluarga. Nek Noi terus menggoreng mihun sebagai hidangan. Aromanya menyelerakan. Namun, bila dia menghidangkan mi, saya sedikit kaget melihat sudu yang disertakan. Dia menggunakan sudu yang terukir jenama Tonik Chap Gajah.

Pasti sebahagian besar daripada anda tidak tahu apakah itu Tonik Chap Gajah. Ia adalah di antara minuman tonik yang terkenal pada tahun-tahun 60an-70an. Setiap belian tonik itu akan dihadiahkan sebatang sudu yang dilekatkan dibotolnya. Seingat saya ada juga ketika di mana hadiahnya ialah sebuah gelas plastik berwarna coklat. Tonik keluaran syarikat A.S Mohamed Kassim & Co itu begitu terkenal kerana kerap mengiklankan produknya di akhbar dan radio. Malah, syarikat itu pernah menaja rekod EP kugiran The Sangam Boys untuk mempromosi produknya.

Sambil membelek sudu, saya teringatkan rasa tonik yang payau itu. Betapa, sebuah produk yang begitu terkenal entah masih wujud atau sebaliknya. Pulang ke rumah, saya melayari internet. Dan ya, saya dapati Tonik Chap Gajah masih terjual di pasaran. Tetapi, oleh kerana kurang promosinya, jenama itu semakin tenggelam dari ingatan.

Langsung saya teringatkan beberapa jenama yang sudah lama saya tidak temui seperti minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, minyak rambut Warda, bedak AAA, sabun basuh Sunlight, Swastika, Drive serta ubat pening kepala Aspro, Vinac dan Dusil. Lalu saya teringat pula kepada Restoran Bilal, medan selera makanan laut di belakang pasaraya Campbell, Kuala Lumpur dan restoran Pines di Brickfields, Kuala Lumpur.

Carian di laman web menemukan saya dengan sebahagian besar jenama-jenama itu. Hampir kesemuanya masih wujud. Minyak angin Cap Lang, Minyak Geliga, bedak AAA dan Restoran Bilal masih terus beroperasi. Sabun basuh Sunlight, Swastika dan Drive tidak saya temui. Aspro, Vinac dan Dusil pula mungkin tidak dimport lagi ke negara ini.  

Begitulah kita sebagai pengguna. Kesetiaan kepada sesebuah jenama itu akan terlerai apabila ia tidak rajin melakukan mempromosi. Maklumlah, pada hari ini terdapat ribuan produk yang lahir untuk memenuhi rak-rak di pasaraya. Andainya sesebuah produk itu tidak membuat pemasaran untuk mempromosi kewujudannya secara berkala, kehadirannya akan dilupai. Apabila ia sudah tidak diingati, para pengguna akan mencari jenama yang lain. Tentunya jenama lain yang dicari adalah jenama yang sering muncul di dalam iklan.

Untuk itu, saya kagum dengan jenama Milo. Satu-satunya jenama yang begitu lama wujud di negara kita. Sejak muncul di pasaran Malaysia pada tahun 1950, Milo masih terus menerus teguh dengan strategi pemasarannya. Seperti saya juga, anak-anak saya gembira beratur untuk mendapatkan Milo percuma bila van Milo sampai di sekolah mereka. Ia adalah pengalaman unik di usia kecil yang kekal dalam fikiran saya.

Pada hari ini, iklan-iklannya muncul di pelbagai tempat. Di akhbar, radio, televisyen, majalah, internet, billboard, sepanduk tajaan, papan tanda dan pelbagai lagi terus mengiklankan jenama itu. Ia mengukuhkan Milo sebagai minuman kesihatan dan memahat kehariannya di dalam minda kita. Seingat saya, hanya restoran makanan segera francais antarabangsa di Malaysia sahaja yang menghidangkan minuman itu. Itu belum lagi di restoran mamak dan gerai-gerai, apatah lagi di rumah.

Manusia juga umpama produk. Mereka jadi terkenal kerana biasa muncul di televisyen, radio, akhbar dan majalah di peringkat nasional. Golongan ahli politik, agamawan, aktivis sosial atau artis berpeluang diingati di kalangan masyarakat kerana pendedahan itu. Kita sebagai individu juga berpeluang menjadi terkenal seandainya mempunyai kebolehan yang unik hingga menjadi perhatian orang ramai.

Saya teringat kepada penyanyi Korea, PSY yang terkenal seantero dunia kerana tarian gangnam stylenya. Begitu juga gadis Ukraine, Anastasiya Shpagina yang mendandan dan membentuk dirinya hingga menjadi kartun anime Jepun yang hidup. Ada pelbagai cara manusia menarik perhatian hingga menjadi sebutan ramai.

Pokoknya, apakah seseorang itu dapat bertahan kekal diingati? Andainya seseorang itu tidak rajin muncul di mata dan hati khalayak ramai, walau betapa bagus dan popularnya dia, seseorang itu akan cepat dilupakan.

Saya dan anda bagaimana? Mana lebih bagus?
Diingati kerana kebagusan atau dilupakan meskipun bagus?

Apa kata ahli politik pula?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 3.10.2012, insya-ALLAH...

6 comments:

  1. Jika saudara perasan, satu lagi produk yang sangat lama juga di pasaran ialah Minyak Afiat, bermula sejak tahun 1924 lagi. Sampai sekarang ianya terus laku di pasaran. Saya salah seorang stafnya. Penambahbaikan akan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa seiring dengan kepercayaan dan permintaan pelanggan. Namun, ciri-ciri labelnya sedikit sebanyak masih mengekalkan rupanya yang asal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulilah, saudara Mahadzar. Beruntung bekerja di sebuah syarikat yang tahan lama. Saya pernah menggunakan minyak ini satu ketika dahulu.

      Delete
    2. Terima kasih saudara Eyman kerana pernah menggunakan Minyak Afiat.Agak susah juga hendak melihat syarikat bumiputera sepenuhnya sebegini yang mampu bertahan lama sehingga 4 keturunan.

      Delete
  2. Itulah kuasa iklan..

    ReplyDelete
  3. 1 lg jenama zaitun...gunakn tanpa was2..klu ade lg keluaran zaitun ni ramai org islam urut dada..100% halal..tp syg...x bertahan...😒

    ReplyDelete