TERLALU KERAP
JADI TAK SEDAP
JADI TAK SEDAP
NASI kegemaran saya ialah Nasi Mandy berlaukkan daging kambing. Bila ke restoran Arab, saya pasti memesan makanan itu. Namun, bagaimana suka pun saya dengan Nasi Mandy, saya tidak pula kerap ke restoran Arab. Mungkin sekali dalam sebulan saya akan berkunjung ke sana. Itupun sudah cukup untuk menghilangkan gian saya. Di peringkat awal saya mula mengenali nasi itu, saya pernah makan Nasi Mandy dua hari berturut-turut. Setelah itu, lebih sebulan saya tidak menjamahnya kerana muak.
Saya juga gemar menonton wayang. Kalau ada filem-filem yang saya gemari ditayangkan pada waktu yang dekat, mungkin seminggu sekali saya akan menonton di pawagam. Saya juga pernah menonton wayang back-to-back ~ selepas masuk ke panggung 1, saya masuk ke panggung 2. Bagaimana pun selepas itu saya akan pening kepala. Satu ketika dahulu, saya suka menonton video; sebuah cerita sehari. Dan pernah juga menonton tiga video sederet. Akhirnya kepala saya jadi bengang.
Apa yang saya hendak sampaikan ialah, kalau pun kita sukakan sesuatu, kita tidak boleh menikmatinya sebanyak atau sekerap yang kita suka. Terlalu banyak benda yang tidak baik untuk kita, tidak bagus untuk fikiran. Begitu juga, terlalu banyak benda yang baik untuk kita, ia juga tidak bagus kerana kita akan hilang rasa nikmat kerana muak, jenuh dan mangli kepada perkara atau benda itu. Akhirnya, kita akan hilang minat dan meninggalkan kegemaran itu.
Inilah sifat manusia. Sebagai pengguna, kesukaannya terhadap sesuatu perkara atau benda itu meningkat pada peringkat awal. Kita akan cuba menikmati apa yang disukainya sekerap dan sebanyak yang boleh. Bila masa berlalu, kegemarannya itu akan berkurangan. Geraf minatnya akan menurun dan kita akan mengambil atau menggunakan sesuatu yang kita suka pada jarak masa yang lama atau langsung meninggalkannya.
Malangnya faktor ini sering diketepikan oleh pihak yang memulakan sesuatu trend. Pada awal tahun 2000, trend masyarakat menunjukkan minat membaca novel-novel cinta. Minat itu memuncak di sekitar tahun 2004. Banyak penerbit kecil yang muncul untuk memasarkan novel-novel cinta. Penerbit besar yang menerbitkan buku-buku akademik dan buku umum pun turut mengubah pelan penerbitan masing-masing lalu mengeluarkan novel-novel cinta. Akhirnya, bila terlalu banyak novel cinta berada di pasaran, para pembacanya menjadi muak dan memilih novel-novel thriller, seram, remaja dan lain-lain atau berhenti sama sekali membaca novel.
Tidak beberapa lama dahulu, minat penonton untuk ke pawagam meningkat kembali. Sejak itu, penerbitan filem Malaysia semakin rancak. Pada tahun 2009, 27 buah filem ditayang di pawagam. Sambutan terhadap filem Malaysia merancakkan penerbitan filem. Pada tahun ini sahaja 40 buah filem telah ditayangkan sehingga bulan Julai. Mungkin jumlahnya akan meningkat kepada 80 buah filem. Bagaimana pun, dengan adanya lambakan filem, banyak juga filem yang tidak mendapat untung. Sudah timbul suara-suara yang mengatakan ia terjadi kerana orang sudah mula malas menonton wayang. Mengapa? Terlalu banyak filem menjadikan golongan penonton muak.
Apa yang menjadi kegemaran akan mula ditinggalkan apabila ia terlalu banyak memenuhi pasaran. Antara contohnya, kumpulan rock, permainan Angry Bird, TV realiti, pertandingan nyanyian, siaran gusti dan nada dering, adalah di antara produk yang semakin hilang tarikan kerana terlalu banyak kumpulan atau versi yang diterbitkan.
Permainan Angry Bird yang pada asalnya mudah dimainkan menjadi semakin kompleks bila pelbagai versi dan aras permainan dibuat hingga keseronokkan permainan itu mula menurun. Begitu juga, rancangan TV realiti yang pada suatu waktu dahulu mendapat sambutan sudah hilang serinya apabila terlalu banyak program berkonsepkan demikian ditayangkan.
Pokoknya, kalau sesuatu yang mendapat sambutan itu diperbanyakkan tanpa mengira bahawa para pengguna itu ada had minatnya, akhirnya ia akan hilang sambutan dan mengakibatkan kerugian.
Dalam dunia politik juga, terlalu banyak berdemonstrasi, terlalu banyak janji, terlalu banyak bantuan atau terlalu banyak fitnah akan menjadikan ia satu kebiasaan. Akhirnya, ia tidak menjadi sesuatu yang menarik dan impak maksima yang diharapkan akan pudar.
Artikel ini terbit di akhbar Sinar Harian pada 26.9.2012.
No comments:
Post a Comment