DARI
DAPUR KAMI
KE MEJA ANDA
KE MEJA ANDA
ALHAMDULILAH, Sinar Harian Edisi Isnin sudah anda tatap mulai 10 September lalu. Sinar Harian Edisi Isnin bukan sahaja mercutanda dalam sejarah akhbar ini, malah ia adalah kejayaan anda para pembaca sekalian. Komen-komen anda selama ini yang inginkan berita serius yang bersulam dengan cerita menambat hati, telah membuat kami mempelbagai treatment persembahan hingga terlahirnya edisi ini.
Sinar
Harian Edisi Isnin sebenarnya telah mengubah cara kerja kami. Suasana rutin
yang diharungi hari demi hari, minggu demi minggu itu telah bertukar. Ia mengubah
cara dan rentak kerja kami. Malah, ia mempercepatkan learning curve semua bahagian penerbitan daripada skuad kami yang berada
di Gua Musang, Kelantan atau Pengerang, Johor sehinggalah kepada Saf Pengurusan
Sinar Harian di Shah Alam.
Benar,
lebih banyak kerja yang terlibat. Lebih banyak artikel yang berbolak-balik
daripada skuad kami dan jabatan editorial kerana masing-masing inginkan
ketepatan fakta dan memperluas skop cerita. Kali ini, Editor, Sub-editor dan Perekabentuk kesemuanya
lebih cerewet apabila menangani bahan yang diterima.
Perbincangan,
pertelagahan dan kritik yang terjadi selama berhari-hari khususnya menjelang deadline dan dateline 10 September, kesemuanya menghasilkan ribut kata-kata yang
bersimpang-siur di pejabat Sinar Harian. Namun kesemua jeritan dan laungan yang
lebih praktikal daripada cara komunikasi melalui komputer, pasti diiringi
dengan gelak ketawa.
Saya
yang menyaksikan suasana itu, lantas teringat pada tagline iklan Sinar Harian Edisi Isnin; Tiada Stres Lagi. Alhamdulilah, tidak terjadi ironi, kami yang
mencanangkan Sinar Harian Edisi Isnin sebagai ubat stres, kami pula yang stres dalam
menyiapkan edisi itu.
Setelah
memantau kesemua kilang percetakan Sinar Harian di Perai, Senai, Pengkalan
Chepa dan Shah Alam pada malam itu dan memperoleh SMS mengenai kelancaran
pengedaran akhbar ini, pada subuh hari, pagi Isnin itu kami nanti dengan penuh
debar, bagai calon-calon pilihanraya menanti keputusan undi.
SMS,
e-mel, entri di Facebook dan Twitter dari para pembaca kami nantikan.
Seawal jam 7.00 pagi, mesej-mesej mula kami terima. Alhamdulilah, kami menerima
maklumbalas yang positif daripada sebahagian besar para pembaca yang melahirkan
komen. Namun, di sebalik komen-komen yang positif itu, terdapat juga komen yang
unik bilamana terdapat pembaca dari Selangor yang berasakan Sinar Harian Edisi
Isnin dicetak lebih tebal daripada biasa.
Kami
maklum, hanya Edisi Selangor/KL dan Edisi Utara sahaja yang mempunyai 64
halaman, sementara edisi lain hanya 56 halaman. Dan untuk Edisi Isnin, kesemua
edisi dicetak setebal 64 halaman. Mungkin sekali pembaca tersebut berasa ia
tebal daripada biasa kerana membaca lebih banyak cerita yang lebih panjang
daripada biasa.
Dalam
pada itu, kami juga menerima maklum balas pihak yang terkejut dengan perubahan
ini. Mereka terkejut kerana seronok menatap edisi yang berbeza. Ada pula yang
terkejut kerana gaya persembahannya berbeza daripada hari-hari lain, lantas
beranggapan Sinar Harian sudah berubah wajah dan akan menerbitkan akhbar
sebegitu tujuh hari seminggu.
Begitulah
pelanggan. Meskipun pemberitahuan telah dibuat seminggu sebelum pelancaran
edisi itu, pasti ada yang tidak terbaca
atau tidak sedar akan perubahan itu sehinggalah apa yang diiklankan itu mula
dilaksanakan. Terdapat juga sebilangan pembaca yang menatap Sinar Harian dengan
rasa janggal.
Sebenarnya,
apa sahaja perubahan biasanya akan menimbulkan sedikit ketidakselesaan. Umpama
pasangan yang sudah lama berkenal, hari-hari awal setelah bernikah memerlukan
masa untuk menyesesuaikan diri. Umpama seseorang yang biasa memandu tanpa lesen,
bila menghadapi ujian di JPJ, rasa tidak
selesa memandu akan terasa. Umpama laman Facebook
anda yang sudah berubah dari format biasa kepada timeline, rasa tidak selesa itu akan menghilang dimakan waktu.
Menghidangkan
bahan yang santai dan kurang stres ini melah melalui kajian dan perbincangan yang
berbulan-bulan lamanya. Kami percaya, yang belum tahu Sinar Harian Edisi Isnin
akan dapat menatapnya, yang rasa janggal dengan persembahannya akan mula
menyukai formatnya dan yang sudah menyukai akan kekal jatuh hati kepadanya.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.9.2012, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment