Tuesday, September 18, 2012

BARA YANG AKAN MEMBAKAR



Photo credit: ibtimes.co.uk

MESEJ UNTUK
KHAIRI DAN NASRUDIN 

FILEM
 Innocence of Muslims, yang mempersenda Nabi Muhammad s.a.w telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Di negara kita pun, demonstrasi telah dianjurkan di merata negeri dan daerah. Selain daripada jemaah masjid yang berhimpun dan berdemonstrasi selepas solat, beberapa buah NGO turut menyuarakan bantahan.

Memang terdapat banyak provokasi terhadap penganut agama Islam. Beberapa tahun yang lalu, Jyllands-Posten, sebuah syarikat akhbar di Denmark telah menimbulkan kemarahan umat Islam kerana memaparkan kartun-kartun yang mempersenda Nabi Muhammad. SAW.  Ahli politik Belanda, Geert Wilders yang lantang mengutuk Islam juga telah menimbulkan kemarahan umat Islam di merata dunia. Begitu juga, bila Terry Jones, paderi sebuah gereja kecil di Florida, Amerika membakar al-Quran, demonstrasi demi demonstrasi bantahan telah diadakan.

Demonstrasi adalah salah satu cara memanifestasi perasaan dan merakam bantahan mana-mana pihak yang menyokong atau menentang sesuatu perkara. Ia sihat dalam amalan demokrasi selagi ia tidak bertukar menjadi rusuhan yang tidak terkawal. Ia bagus selagi jawatankuasa yang menganjur demonstrasi itu menjaga disiplin ahli-ahlinya. Ia baik selagi pemimpin-pemimpin demonstrasi itu sendiri tidak lepas tangan apabila sesuatu yang tidak diingini terjadi akibat demonstrasi itu.

Dalam pada itu, demonstrasi yang berpaksi daripada sesuatu isu itu seharusnya disertai oleh pihak yang mempunyai pandangan dan pendirian yang sama, tidak kira  daripada kumpulan mana ia datang dan anutan fikiran apa yang diwakili. Sesuai dengan tujuan demonstrasi iaitu menunjuk kuat dengan penglibatan seramai mungkin pembantah, lagi besar kumpulan yang berdemonstrasi, lagi besarlah impak maksima yang diperoleh.

Dalam konteks ini alangkah molek seandainya Pemuda UMNO dan Pemuda Pas dapat sama-sama berjalan sederap kaki dan berganding bahu menyuarakan bantahan terhadap filem Innocence of Muslims. Alangkah cantik jika mereka berarak dari dua arah yang berbeza dan bertemu menjadi arus yang besar menuju ke kedutaan Amerika.

Isu yang ditangani adalah isu mempertahankan imej Nabi Muhammad SAW yang dipersendakan. Yang ingin dirakamkan kepada kedutaan Amerika adalah ketidaksenangan kita terhadap rakyatnya yang tidak sensitif terhadap agama lain. Yang lebih penting, apa yang hendak ditunjukkan kepada umat Islam ialah betapa perlunya kita membuang pakaian politik apabila soal agama menjadi mainan orang.

Pengikut akan ikut apa yang pemimpin buat. Apa yang patut dibuat oleh pemimpin mestilah sesuatu yang boleh dilihat oleh pengikut. Saranan, gesaan dan seruan retorik daripada permainan kata pemimpin politik sukar dimergerti oleh ahli-ahli. Tetapi, bila Ketua Pemuda UMNO, Khairi Jamaluddin berjalan bersilang lengan dengan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan, Pemuda UMNO dan Pemuda Pas yang lain akan ikut serta.

Bayangkan betapa padunya semangat yang bernyala tatkala demonstrasi itu. Lafaz selawat yang senada dan laungan yang gegak gempita itu akan mengalirkan ukhwah dan membarakan rasa persaudaraan yang akan meleburkan seketika hijab prasangka akibat berlainan pendirian dalam politik. Biarpun sekejap, ia adalah satu perasaan yang menegakkan bulu roma.

Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kalau dah tentu handal, di mana pun seseorang itu berada, dia tetap kekar dengan kehebatannya. Kalau sudah tentu hebat, dengan siapa pun kita bergaul, keampuhan peribadi akan tetap terserlah. Tidak kiralah siapa yang hendak bergerak dahulu atau kemudian asalkan kedua-dua pihak nampak peri pentingnya kita menyuarakan bantahan terhadap imej Rasulullah SAW yang diperkotak-katikkan.

Tidak ada yang menang-kalah seandainya kedua-dua pihak membuka baju politik buat seketika dan mempamerkan pakaian Islam yang sememangnya sudah terlekat di kulit dan sudah mendarah daging di dalam tubuh.

Datanglah. Datanglah dengan hati yang terbuka lagi tulus dan suci. Bukalah tangan-tanganmu untuk menggenggam tangan-tangan saudaramu yang mungkin tidak pernah kamu sentuh. Rasakan roh persaudaraan yang menggetar dan mengalir di antaramu. Jadikan demonstrasi Innocence of Muslims sebagai permulaan.

Kita sudah tiada masa. Onar yang semakin banyak berlaku di dalam arena politik yang kian membahang sudah menampakkan kedunguannya. Tindakan merosak kenderaan, menyimbah cat kepada bas dan bangunan, membakar bendera dan memijak gambar pemimpin yang semakin kerap terjadi membayangkan ia makin tidak dapat dikawal. Jika tiada pemimpin yang menegur, menasihati dan menyuarakan kebencian kepada aksi bodoh yang semakin ganas ini. Seolah-olah ia bukan dilakukan oleh mana-mana aktivis politik.

Para pemimpin boleh menyejukkan suhu politik membahang ini dengan membuat tindakan-tindakan yang menampakkan wawasan. Tunjukkan gambaran yang lebih besar yang patut diperjuangkan. Fokuskan kepada perkara-perkara yang ada isi dan inti. Apakah kita layak bercakap tentang ukhuwah, tentang perpaduan, tentang persaudaraan kalau diri sendiri tidak boleh berdiri dalam satu saf? 

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.9.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment