Tuesday, September 4, 2012

PERUBAHAN PRODUK



Photo credit:mypapan.blogspot.com

MEMPERSEMBAHKAN
SINAR EDISI ISNIN


SUDAH enam tahun Sinar Harian berada di pasaran. Dalam tempoh itu, akhbar ini telah melalui pelbagai perubahan. Ia perlu dinamik untuk memenangi hati pembaca yang mudah beralih arah. Pada hari ini, pembaca atau pengguna sukar sekali untuk setia pada mana-mana produk. Kesetiaan seseorang warga kota khususnya pada sesuatu jenama atau brand loyalty amat sukar dipertahankan.

Mudahnya seseorang memperoleh bahan berita di alam siber menjadikan seluruh team Sinar Harian sentiasa memerah otak agar akhbar ini masih menjadi di antara bahan bacaan pilihan yang diyakini. Dengan internet, Sinar Harian biasa kalah dengan kecepatan ia memaparkan berita. Namun, Sinar Harian masih boleh menang pembaca bila menghasilkan cerita di sebalik berita.

Daripada segi kepercayaan, hanya setelah setahun-dua ini sahajalah, Sinar Harian diterima sebagai sebuah akhbar yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan. Aktivis politik adalah di antara segmen pembaca yang baru dapat menerima kenyataan bahawa Sinar Harian berkeupayaan berdiri di tengah-tengah setelah mereka memahami bahawa berdiri di tengah-tengah itu bukan bererti ia menjadi lalang.

Pendekatan menerbitkan edisi negeri yang berpaksi kepada berita hyper-local atau tumpuan kepada berita setempat menjadikan ia akhbar kampung yang disukai. Sebenarnya, masyarakat kampung lebih mudah setia kepada produk yang digemarinya. Kerana itulah, lebih separuh daripada pembaca setia Sinar Harian itu terletak di kampung-kampung.

Dalam pada itu, akhbar ini sentiasa cuba memperbaiki persembahan. Yang keras; dilembutkan, yang lembik; ditegapkan dan yang longgar, dipadatkan. Malah, yang hitam dan putih pun kita calit dan kelabukan agar Sinar Harian tidak menjadi sebuah akhbar yang memperjuangkan sesuatu tanpa kompromi, maju ke hadapan tanpa menoleh lagi dan menyondol apa sahaja tanpa mempedulikan pendekatan wassatiyah, iaitu keseimbangan yang optima dalam pemberitaan dan tindakannya.

Bila lebih ramai memilih Sinar Harian, kita mula pelbagaikan rencah persembahan. Mulai Mac 2010, kami perkenalkan empat halaman sisipan santai berbentuk rencana  di bawah topik Citra, Agro, Kampus, Permotoran, Rehal dan Jom Jalan. Pada bulan Mei 2011, kami masukkan pula kolum hiburan ZASS atau Zon Artis Sensasi Santai. Kolum lapan muka surat hiburan tanpa gosip ini terbit setiap hari. Januari 2012 pula menyaksikan kolum ULTRAS bagi peminat-peminat bolasepak. Setiap kali perubahan dibuat, setiap kali juga jualan Sinar Harian kian meningkat. Ia petanda, perubahan yang dibawa diterima baik oleh para pembacanya.

Sudah tentu, perkembangan yang baik tidak berhenti di situ. Bila perubahan-perubahan yang kecil mendapat sambutan, kami mahu buat perubahan yang besar pula. Konsep dicari dan formulanya dicanai. Setelah mengkaji, kami memilih untuk membuat persembahan dengan apa yang kami namakan sebagai Sinar Harian, Edisi Isnin.

Mengapa hari Isnin? Kajian pakar emosi Sy-Miin Chow dari Universiti Virginia, AS menunjukkan terdapat anjakan emosi dalam tempoh seminggu. Seandainya seseorang itu terganggu emosinya pada hujung minggu, perilakunya pada hari Isnin akan menjadi negatif. Ini dikenali sebagai Monday blues di mana pelbagai kekalutan dan kelam-kabut terjadi pada hari Isnin, khususnya bagi mereka yang bekerja.

Justeru, kita ingin memberi kerehatan bagi yang terganggu emosinya pada hari Isnin. Tambahan pula, hampir kesemua akhbar lain menerbitkan edisi santai mereka pada hari Ahad. Jadi, andainya kerehatan pada hujung minggu tidak diperoleh sepenuhnya, Sinar Harian tampil dengan Edisi Isninnya sebagai penawar.

Benarkah Edisi Isnin boleh jadi penawar tekanan emosi? Meredakan tekanan, mungkin. Menghilangkan tekanan sama sekali, tentulah mustahil. Namun, membaca diketahui sebagai satu aktiviti yang akan menguatkan emosi dan fizikal seperti kata ahli falsafah Greek; Plato. Membaca bahan yang baik juga bagai berbual dengan manusia yang hebat di zaman lampau,  seperti kata Descartes, ahli falsafah Perancis.

Kita mengharapkan pendekatan menyampaikan cerita di sebalik berita untuk Edisi Isnin akan diterima baik oleh para pembaca sekalian. Cerita di sebalik berita selalunya membuka mata kerana penyampaiannya lebih hampir kepada pembacanya. Untuk itu, para wartawan kami juga bukan sahaja dikenali sebagai pemberita, tetapi pencerita. Mereka pencerita kisah benar di sekeliling kita.

Nantikan Sinar Harian, Edisi Isnin mulai 10 September ini.

Artikel ini akan terbit di akhbar SInar Harian pada 5.9.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment