Tuesday, October 16, 2012

JANGAN JADI SI TENGGANG



Photo credit: defensetech.org
KEJAYAAN KERANA
ORANG SEKELILING
SAYA sempat menyaksikan terjunan bersejarah Felix Baumgartner secara langsung melalui internet pada pagi 15 Oktober waktu Malaysia. Felix membuat terjunan bebas dari stratosfera ke bumi, dengan ketinggian 180,000 kaki dan kelajuan 1,342 kilometer sejam.

Saya turut gayat bila skrin menayangkan Felix melalui kamera dari atas kapsul. Dengan imej bumi yang berputar sebagai latarnya, saya pasti kecut perut jika berada di tempat beliau. Bila Felix terjun dari jarak 39 kilometer, lebih kurang jarak antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang, saya tidak boleh mengelak dari membayangkan apa akan terjadi andainya pakaian Felix tercarik. Tubuhnya akan panas akibat geseran, darahnya akan mendidih dan dia boleh rentung.

Namun, akhirnya Felix mendarat di bumi New Mexico dengan selamat. Persediaan yang memakan masa berbulan lamanya selesai dalam masa kira-kira 10 minit. Tetapi, dia tidak mungkin dapat melakukannya tanpa bantuan beratus petugas lain ~ daripada pemandu kren yang membawa kapsulnya, tukang pam belon helium hinggalah kepada tukang jahit sut khasnya.

Sekurang-kurangnya tujuh orang pakar mengendalikan persediaan batang tubuh Felix Baumgartner. Dia dinasihati oleh pakar olahraga, Andy Walshe; yang menjaga kesediaan fizikal dan mentalnya. Dia juga menerima nasihat pakar perubatan, Jonathan Clarke; pakar keselamatan Mike Todd; pakar teknikal, Art Thompson; pakar sains angkasa Marle Hewett; pakar terjunan, Luke Aikins dan juga Joe Kittinger; manusia yang telah memecah rekod dunia dengan melompat dari langit dengan ketinggian 102,000 kaki pada tahun 1960 sebagai capsule communicator atau teman sembang Felix di sepanjang program itu.

Terjunan itu tampak mudah. Kejayaannya nampak senang. Tetapi, tanpa bantuan mereka di sekeliling termasuk ibu dan isterinya, Felix Baumgartner tidak mungkin dapat melakukannya dengan penuh motivasi. Namun, kita selalu tidak sedar, kejayaan seseorang itu juga adalah kerana keterlibatan mereka di sekelilingnya.

Sama juga apabila kita melihat aksi watak James Bond, Daniel Craig. Kita hanya nampak dia melakonkan pelbagai aksi. Tetapi, tanpa bantuan pengarah yang memerintahnya mengatur langkah, pertolongan pakar seni mempertahankan diri, jurukamera, jurumekap, pelakon aksi ngeri, pereka grafik CGI dan tukang bancuh kopi, si pelakon tidak mungkin dapat membawa watak seorang hero yang bergolek, melompat, menerjah dan bergasak tanpa letih.

Seorang usahawan yang hebat itu pasti dikelilingi oleh mereka yang sentiasa membantunya berjaya. Kumpulan pengurusnya dari segi kewangan, pentadbiran, sumber manusia, operasi, pemasaran, pelaburan, material dan kumpulan petugas dari segi pembuatan, perkeranian dan pasukan jurujual yang cekaplah yang menyokong kehebatannya.   

Pendek kata, lagi besar kejayaan, lagi ramailah orang sekeliling yang membantu kita untuk berjaya. Tokoh perunding yang terkenal, ahli politik yang tersohor, ustaz yang terhormat dan artis yang popular, kesemuanya berjaya kerana jumlah mereka yang menyokong dan menyukai apa yang dilakukannya itu ribuan angkanya.

Kejayaan kita yang seadanya pun terjadi kerana bantuan, sokongan dan kehadiran mereka di sekeliling kita seperti  ibu bapa, adik beradik, saudara-mara, sahabat-handai dan berpuluh orang guru yang mengajar pelbagai subjek kepada kita sejak darjah satu hinggalah ke institusi pengajian tinggi.

Malah, kejayaan kita ini juga berlaku kerana adanya antagonis dalam kehidupan peribadi. Bekas teman sekelas yang selalu membuli, rakan sekampung yang sentiasa mengejek, mereka yang kita tahu selalu mengumpat kita, yang menganiayai kita, bekas kekasih atau musuh dalam selimut adalah mereka yang memberi motivasi melalui reverse psychology hingga dendam kesumat kita terhadap mereka berubah menjadi pembakar semangat kita untuk berjaya.

Untuk itu, andainya kita perasan hebat kerana berjaya hasil usaha sendiri, kita kenalah beringat. Kita tidak boleh lupa daratan. Dan tidak elok juga berperangai si Tenggang yang tidak mengaku atau menafikan mereka yang membantu kita hingga berjaya, termasuk kerajaan yang memerintah (tidak kira pihak BN mahupun PR).

Mana ada orang yang berjaya
hasil usahanya sendirian atau
seorang diri cara sebatang kara?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 17.10.2012, insya-ALLAH...

2 comments: