TANGGAPAN
SILAP
TERHADAP SINAR
TERHADAP SINAR
PETUGAS dalam industri
persuratkhabaran berdepan cabaran yang tersendiri. Tidak kira sama ada dia
seorang wartawan yang perlu mengejar berita, jurufoto yang menyerikan berita
dengan gambar, sub-editor yang memasak berita yang tiba, perekabentuk yang
mengandam rekaletak atau editor yang membuat keputusan berita manakah yang akan
dipilihnya ~ ia adalah tugas berangkai yang rumit.
Apatah lagi, deadline atau tempoh akhir sesebuah akhbar
itu harus siap untuk dicetak adalah setiap hari. Ia berbeza dengan penerbitan akhbar
yang diterbitkan seminggu atau dua minggu sekali. Deadline
setiap hari memerlukan kepantasan dalam membuat keputusan untuk memilih berita
apakah yang boleh menarik minat pembaca agar dia memilih Sinar Harian berbanding dengan akhbar yang lain.
Namun, pemilihan
sesebuah tajuk akhbar yang dirasakan baik itu tidak menjamin ia laris di
pasaran. Ramai di antara mereka daripada khalayak pembaca tidak mengetahui
bahawa memilih berita yang dianggap akan menarik minat pembaca adalah tugas
yang sukar. Apa yang dianggap akan menjadi minat pembaca boleh sahaja tidak
dipandang sebelah mata pun oleh mereka.
Kerana itu, tidak
mudah sesebuah berita di akhbar harian itu kononnya disensasikan untuk melariskan
jualan. Sebenarnya, betapa sensasi pun sesebuah berita itu, para editornya
tidak akan dapat meningkatkan jualan hingga 30 peratus. Ini adalah kerana, berapa
naskhah akhbar sesebuah kedai akan peroleh pada hari esok sudah ditentukan pada
jam 4.00 petang, hari ini.
Justeru itu, apa
sahaja tambahan pesanan yang luar biasa oleh penerbit tidak akan dilayan
sewenang-wenangnya oleh pengedar akhbar. Seseorang ejen yang mengedar 10,000
naskhah tidak boleh menambah 3,000 (30 %) naskhah tanpa mengambil kira yang dia
terpaksa mengagih semula jumlah itu kepada, misalnya 200 kedai langganannya.
Tambahan 100 naskhah boleh memeningkan kepala seorang ejen bermotorsikal. Getah
pengikatnya mungkin tak cukup untuk melilit akhbar di motorsikalnya. Pemanduannya boleh melelong kerana tambahan
beban.
Bagaimana pula seandainya jualan akhbar itu tidak laris pula? Ia akan
menjadi kerja tambahan buat seseorang pengedar akhbar. Jumlah 3,000 naskhah itu
terpaksa dipikul pengedar akhbar kembali ke setornya. Dia terpaksa pula mengira
setiap naskhah yang dipulangkan untuk mengelak terbayar lebih pada satu-satu
hari. Kerja tambahan ini akan membuat seseorang ejen itu merungut andainya
penerbit hendak menambah edaran secara tiba-tiba. Justeru, andaian bahawa
akhbar sengaja mencari berita sensasi untuk melariskan akhbar adalah tidak
tepat.
Mengekalkan jualan pula
adalah sesuatu yang sukar kerana pembaca pada hari ini tiada brand loyalty atau setia pada jenama.
Dia boleh memilih Sinar Harian pada
hari ini tetapi memilih akhbar Harian
Metro pada keesokannya. Baginya, apa sahaja yang menarik hati akan
dibelinya. Kerana itu, sesebuah akhbar akan berhati-hati dalam setiap edisinya
agar para pembacanya tidak lari.
Bagi Sinar Harian, ia mesti mengambil kira sensitiviti
semua pihak yang terlibat satu-satu isu. Edisi di Selangor misalnya, mesti memberi
ruang yang seimbang di antara berita PR dan juga BN. Selangor adalah negeri
yang diterajui oleh PR, dan Putrajaya diterajui oleh BN. Berita kawasan Cina
dan India diberi liputan yang tidak kurang daripada berita dari kampung-kampung
Melayu kerana ramai pembaca Sinar Harian
di Selangor terdiri daripada kaum Cina dan India.
Kes pasar malam
Uptown di Danau Kota, Kuala Lumpur yang melibatkan pertelingkahan pihak
penganjur dan persatuan, kes AES di antara PBT dan JPJ atau statistik jangkaan
kemenangan di antara BN dan PR itu dilaporkan seseimbang mungkin. Ini adalah
kerana, laporan yang melebihkan satu-satu pihak hanya akan membuatkan pihak
yang satu lagi menjauhkan diri daripada akhbar ini.
Sinar
Harian perlu merangkum
berita daripada semua pihak agar khalayak pembacanya berasa suara masing-masing
didengar dan dipaparkan. Ini akan menambah bilangan pembaca. Kerana itu, kami
tidak boleh memihak, apatah lagi memecah-belahkan seperti anggapan sesetengah
individu. Pendekatan begitu akan merugikan kami. Ia pandangan yang tidak tepat
sama sekali.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 19.12.2012.
memang suatu tugas yang amat mencabar dan menduga minda...
ReplyDeleteada wartawan dikalangan kita
ReplyDelete