Tuesday, May 1, 2012

MASYARAKAT DEMONSTRASI



Photo credit: financetwitter.com
BUDAYA BARU
DEMOKRASI
DEMONSTRASI


SEHARI selepas Bersih 3.0 berlangsung, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya bebas dan adil.

Belum pun Bersih 3.0 reda, Bersih 4.0 sudah terbayang akan diadakan. Ramai juga di antara kita yang sudah terlupa, inkues pemandu teksi Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal ketika Bersih 2.0 berlangsung masih berjalan di Mahkamah Koroner. Aduan polis mengenai kes-kes yang melibatkan Bersih 3.0 belum banyak dibuat oleh mana-mana pihak. Dan, akan ada Bersih 4.0? Biar betul.

Bersih 3.0 baru terjadi empat hari lepas. Sembilan bulan sebelum itu, iaitu pada 9 Julai 2011, Bersih 2.0 telah dianjurkan. Tiga tahun lapan bulan lalu, iaitu pada November 2007, Bersih 1.0 telah berlangsung. Nampaknya, semakin lama, jarak di antara dua perhimpunan Bersih semakin rapat.

Jika sesebuah perisian komputer mempunyai versi 1.0, 2.0, 3.0 dan seterusnya, features atau penambaikannya akan lebih kemas, lebih laju dan lebih kepelbagaiannya. Jika sesebuah filem fiksyen asal hanya berlatarkan suasana setempat, sekuel-sekuelnya tentu menjangkau latar tempat di pelbagai bandaraya dunia, padang pasir, lautan dalam, malah angkasa lepas.

Begitu juga, Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan siri berikutnya akan lebih dramatik, lebih empatik dan yang tak kurang penting, lebih sinematik. Ia bukan setakat berhimpun, bersyarah, menggoyang sepanduk, dan menunjal penumbuk ke udara dan berarak. Kini Bersih adalah demonstrasi besar yang merencat aktiviti rutin Kuala Lumpur yang diisi dengan aksi yang sama kita tatap dalam mana-mana demonstrasi di dunia. (Alhamdulilah, belum ada kematian langsung akibat demonstrasi itu. Semoga kita terhindar daripada kejadian sebegitu).

Apakah ertinya semua ini? Sama ada kita mahu atau tidak, suka atau tidak, terima atau tidak, demonstrasi yang pada mulanya bukan budaya timur atau budaya Malaysia kini sudah menjadi budaya kita. Inilah hakikat yang kita harus terima. Selain Bersih, kita ada perhimpunan anti-Lynas, anti-PSSMI, anti-AUKU, anti-PTPTN dan demonstrasi-demonstrasi penduduk setempat mengenai hak milik tanah, pemaju dan seumpamanya. Jika kita mencatat kalendar demonstrasi besar dan kecil di seluruh pelosok negara, tidak mustahil, demonstrasi kini sudah menjadi acara harian.

Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan di Parlimen pada November 2011 juga mempunyai semangat untuk menerima kehadiran bentuk menyatakan pendirian melalui cara ini. Kerana itu kita mestilah bersedia untuk menerima demonstrasi sebagai budaya kita. Budaya menyelesai masalah melalui rundingan meja bulat, seminar, persidangan atau debat serta wacana sudah semakin terpinggir.

Meskipun cara-cara perundingan itu lebih tersusun untuk menyelesai masalah, cara demonstrasi kini berjaya menarik perhatian massa kerana impaknya sesuai dengan budaya kehidupan majoriti daripada kita pada hari ini yang lebih suka menatap skrin.

Namun, ada tanda-tanda yang masyarakat mula mangli dengan demonstrasi. Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur, acara tahunan yang sesak di PWTC tetap sendat dan tidak terjejas pada hari Bersih 3.0 berlangsung. Kecuali di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, kompleks membeli-belah di pinggir kota juga tetap penuh dengan orang ramai yang bersantai kerana baru mendapat gaji.

Bila pulang, mereka sempat membuka TV atau komputer untuk menonton demonstrasi yang berlangsung pada siangnya melalui saluran TV, blog, laman video atau laman-laman sosial yang lain. Malah, mereka boleh melibatkan diri dengan menghantar komen-komen yang panas, seolah-olah mereka turut berpanas berdemonstrasi di tengah KL. Mereka sudah menerima demokrasi demonstrasi sebagai budaya baru?

Cumanya, apabila kita sudah menerima demonstrasi sebagai budaya, jangan ambil pusing pula andainya golongan pendatang membuat demonstrasi mahukan kerakyatan, gaji lebih tinggi ataupun pendidikan setaraf  rakyat Malaysia kerana mendakwa, mereka turut membangunkan negara ini! Mereka berdemonstrasi kerana sudah mengasimilasikan diri dengan budaya kita!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.5.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment