Tuesday, May 8, 2012
BERFIKIR SEBELUM BERTINDAK
Photo credit: temware.blogspot.com
KESAN APABILA
TERLALU BANYAK CERITA
BERCERITA adalah satu cara menyampaikan apa yang telah berlaku dengan penggunaan perkataan, imej dan suara. Pada zaman dahulu, bercerita adalah satu bentuk hiburan, pendidikan, mengukuhkan budaya dan juga digunakan untuk menerapkan nilai-nilai moral. Elemen penting dalam bercerita ialah plot, watak dan sudut pandang si pencerita.
Selain daripada bercerita dari mulut ke mulut, sejak dahulu lagi, bercerita disampaikan melalui muzik, lukisan dan tarian. Cerita juga mula ditulis di atas batu, kayu, buluh, gading, kanvas dan akhirnya kertas. Kini, cerita bukan sahaja disampaikan dalam bentuk tulisan. Malah, kemajuan teknologi membolehkan ia disampaikan dalam bentuk audio visual, khususnya dalam bentuk wayang dan video ~ di pawagam, TV mahupun komputer.
Kerana itu, cerita dan penceritaan sudah sebati dengan manusia hingga ke hari ini. Sebahagian besar daripada bahan bacaan dan tontonan kita kini adalah cerita. Dalam pelbagai bahan bacaan, novel menjadi pilihan ramai berbanding dengan buku-buku lain seperti biografi, laporan mahupun jurnal.
Rancangan televisyen juga dipenuhi dengan cerita dalam bentuk drama atau telemovie. Hinggakan dokumentari pun disampaikan dalam bentuk cerita. Begitu juga, kita melayari internet akan lebih gemar menonton cerita di you tube atau cerita orang lain di dalam laman sosial mahupun blog.
Fenomena kita yang gemarkan cerita ini, mengubah pendekatan penyampaian berita mahupun makalah kepada bentuk penceritaan. Berita sudah dikenali sebagai cerita. Bukannya news, tetapi story. Apa yang ingin dibaca bukannya kisah seorang remaja maut digilis bas, tetapi cerita dia tak sempat mencium tangan ibunya ketika hendak berbasikal ke sekolah.
Yang menjadi bahan perbualan bukannya berapa jumlah nilai keluaran negara kasar. Tetapi, yang menjadi topik sembang orang ramai ialah berapa jumlah lembu yang boleh masuk ke dalam sebuah lif kondominium. Kita tak tumpukan perhatian sangat pada ucapan tokoh politik yang berdegar-degar. Tapi kita akan pandang bila dia bersalaman dan berpeluk dengan orang kampung.
Pengaruh ceritalah yang sentiasa merangsang fungsi otak kanan hingga kita sukakan sesuatu yang penuh imaginasi, mudah terpengaruh dengan imej dan simbol, serta menyentuh emosi. Akibatnya, fungsi otak kiri kita yang menimbang sesuatu yang berfakta, praktikal, logik, analitikal dan objektif menjadi semakin lemah kerana kian kurang dirangsang.
Inilah yang menyebabkan demonstrasi pelajar mengenai AUKU yang menurunkan bendera Presiden UMNO menjadi bualan ramai. Sedangkan orang tidak perkatakan tentang perbincangan yang sedang berlangsung mengenai AUKU juga di sebuah hotel berhampiran pada waktu yang sama.
Keputusan persidangan meja bulat mengenai PTPTN tidak menarik perhatian. Sebaliknya, protes beberapa orang pelajar universiti yang berkhemah di Dataran Merdeka pula menjadi sebutan. Laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat setebal 115 halaman, yang bersidang dua bulan berhubung dengan penambahbaikan proses pilihan raya tidak dipedulikan. Sebaliknya, demonstrasi Bersih 3.0 selama beberapa jam itulah yang mendapat liputan meluas hingga ke negara-negara luar.
Kita sudah mudah tertarik dengan cerita kerana kita lebih banyak menonton daripada membaca. Kerana itu, imej lebih memberi impak kepada kita berbanding dengan tulisan dan angka. Apa yang memerlukan kita berfikir sudah diketepikan. Sebaliknya, apa yang memudahkan kita memberi reaksi menjadi tumpuan dan perhatian.
Akhirnya kita menjadi masyarakat yang responsif dan agresif. Bagusnya apabila ia melahirkan masyarakat yang dinamik dan progresif. Yang tidak bagusnya ialah apabila kita jarang menggunakan aspek kontemplatif dan reflektif. Ia menjadikan kita emosional. Istilah rasional sudah lama dilupakan.
Bila kita cepat bertindak tetapi lambat berfikir, kita akan kerap melakukan kesilapan. Kesilapan yang kerap itu adalah satu kesalahan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian, esok 9.5.2012, insya-ALLAH...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment