Tuesday, May 15, 2012

TIDAK BOLEH DOUBLE STANDARD


Photo credit: karenamandahooper.blogspot.com 
KITA YANG
TIDAK SEBAGUS
MANA



SESEKALI ketika menghias diri di depan cermin, kita terhenti bila terperasan semula kekurangan yang terpamer di wajah. Mungkin alis kening yang lebat sebelah, tahi lalat di hidung yang semakin membesar atau kedut di dahi yang kian menyerlah. ‘Oh, wajah aku dah tak secantik dulu.’ Demikian bisik hati.

Apabila bermuhasabah diri selepas solat maghrib, akan terlintas banyak juga kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan di siang hari. Mengapa kita selamba sahaja mengumpat perihal artis yang kita tidak minat pun tatkala kita baca gosipnya di akhbar? Mengapa kita menulis kata-kata yang kesat kepada rakan yang tidak sependapat dengan kita di laman sosial?

Mengapa kita suka fikir perkara-perkara yang negatif terhadap anak yang lewat pulang dari sekolah pada siang tadi? Bukankah dia lewat kerana ada perbincangan dengan rakan sekelas? Dia bukannya merayau-rayau ke pekan. Kenapa kita sergah pekerja yang lewat tiba ke pejabat pagi tadi? Setelah tahu isterinya tumpah darah, baharulah kita menelan liur dengan perasaan kesal.

Dari semasa ke semasa kita akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Memang adat sebagai manusia, ada ketikanya kita bertindak gopoh mengikut perasaan hati atau sebaliknya, terlalu lembab kerana terlampau banyak berfikir.

Dalam mengharungi rutin harian, sememangnya kita sukar menimbang dengan fikiran dan merasa dengan hati dalam suasana yang tenang. Maklumlah, masalah biasanya menerjah di kala kita tidak bersedia. Kerana itu, kita diterkam panik dan gelabah hingga kurang pertimbangan dalam membuat keputusan.

Namun dalam banyak situasi, kita jarang sekali menyalahkan diri sendiri. Sebaliknya, kita persoalkan orang lain, atau mempersalahkan orang lain terlebih dahulu sebelum memeriksa peribadi. Diri sendiri yang cantik atau ganteng, beraura penuh anggun dan trampil, mempamerkan karisma yang penuh wibawa sebegitu pun pasti ada cacat celanya.

Wajah seseorang wanita yang cantik mempesona, dengan potongan tubuh yang cantik statistiknya itu mungkin ada kekurangan; contohnya bersuara seperti kartun Doraemon. Ataupun tubuh seseorang lelaki yang sendo dengan suara jenis bass lagi macho boleh menjerit ‘emak!’ apabila ternampak cicak yang putus ekornya.

Sebahagian besar daripada kita sudah menerima hakikat bahawa kita mempunyai kekurangan dan kelemahan dari segi mental, fizikal dan spiritual. Namun, kelemahan-kelemahan ini tidak sekali-kali membuatkan kita membenci diri sendiri hingga tidak sanggup menatap wajah sendiri di cermin.

Jika demikian, mengapa tidak kita menerima seadanya orang di sebelah kita sendiri? Orang itu mungkin pasangan pernikahan, adik-beradik, ipar-duai, sahabat handai, rakan taulan, teman sebilik, serumah, sejalan, setaman, sekampung atau lebih-lebih lagi seagama? Dia pun seperti kita yang punyai kekurangan dan kelemahan di sana sini.

Bila berselisihan faham dengan pasangan, mengapa membenci dia atau mereka keseluruhannya? Apabila tidak setuju dengan keputusan majikan, mengapa menolak kepimpinannya hingga mencurah pasir ke dalam periuk sendiri? Tatkala berselisih faham dengan teman-teman seperjuangan, mengapa berpatah arang dengan setiap jasad yang selama ini sentiasa senada suara dan selangkah sederap kaki?

Memang. Kita tidak boleh taksub dengan keluarga, syarikat, pertubuhan atau parti sehingga apa yang salah pun disokong dengan fahaman sami’na wa ato’na; kami dengar, kami patuh ~ dengan taklid. Dalam pada itu, kita tidak boleh sekali-kali menolak segala dan semuanya lalu melangkah meninggalkan mereka yang selama ini bersama kita semata-mata apabila kita tidak setuju dengan sesuatu perkara yang tidak sealiran.

Kalau kita boleh terima diri sendiri yang ada cacat celanya, mengapa tinggalkan mereka yang ada kekurangannya seolah-olah kekurangan itu tidak boleh diperbaiki? Andainya kita masih bersama dengan sesiapa sahaja yang ada kelemahannya, kita boleh sama-sama memperelok apa yang tidak cantik.

Justeru, kita tidak boleh double-standard. Diri yang kurang sentiasa dimaafkan, orang lain yang ada cacatnya kita tinggalkan tanpa menoleh lagi.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.5.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment