Photo credit: tonycece.com
KITA YANG TIDAK
SEPENTING MANA
KITA YANG TIDAK
SEPENTING MANA
PAGI tadi, saya terserempak dengan Jamel, seorang teman lama di sebuah restoran.
Reaksinya sebaik sahaja terpandang saya sungguh mengagumkan. Dia meluru ke arah
saya dan terus bersalaman sambil menggoncang tangan saya. Genggamannya keras persis
seorang ahli gusti. Matanya tak berkelip memandang saya, seolah-olah mengharapkan
sesuatu.
‘Apa
khabar, bos? Dah lama saya cari bos!’ Saya tersenyum-senyum apabila sejurus dia
bercerita yang dia hendak meminta pandangan mengenai projek bukunya. Katanya, dia
hendak menerbitkan buku sendiri dan ingin bertanya saya mengenai cara-caranya.
Saya menyampuk secara berbasa basi. Ada sebabnya. Benar seperti sangkaan saya,
kerana tak lama kemudian, katanya dia akan menghubungi saya kelak. Di dalam
hati, saya sudah tergelak.
Saya
tahu, Jamel ada nombor telefon pejabat saya, fonsel saya dan e-mel saya. Malah dia
juga tahu rumah saya yang hanya lat dua lorong dengan rumahnya. Dia boleh
sahaja hubungi atau mencari saya pada bila-bila masa. Tetapi caranya menerpa
saya itu bagaikan saya ini orang yang susah sangat hendak ditemuinya. Itulah
yang membuatkan saya tertawa di dalam hati.
Jamel
bukanlah satu-satunya orang yang bersikap begitu dengan saya. Malah, dari
semasa ke semasa saya akan menemui kenalan yang berperangai sedemikian. Kerana
itu, saya sudah tidak hairan apabila diterjah dengan orang yang begitu teruja
bila terpandang saya. Sebaiknya saya hanya melayan orang itu seadanya kerana
saya tahu, saya hanya dianggap penting apabila di depan matanya. Sebaik sahaja
saya berlalu, maka saya akan dilupakan.
Saya
pernah bersalaman dengan seorang teman sekampung yang menjadi seorang tokoh politik.
Hanya sesaat dia melontar senyuman. Pada saat-saat berikutnya, dia tersenyum
pula pada orang yang lain yang menyapanya, meskipun ketika tangan kami masih erat
tergenggam.
Tidak
perlu mengambil hati kerana dilayan sebagai orang yang tidak penting. Kita hanya penting apabila diperlukan untuk
memenuhi kehendak seseorang itu. Banyak contoh yang kita boleh ambil. Apabila
dijemput ke sesebuah majlis seseorang, kita akan dileteri seandainya tak datang.
Seolah-olah majlisnya tidak berseri kalau kita tak hadir.
Sebaliknya,
apabila kita ke majlisnya, biasalah… dia hanya ada masa beberapa saat sahaja
untuk bersalaman dengan kita, mempelawa kita menjamah hidangan dan kemudian dia
akan sibuk melayani orang lain.
Seseorang
ketua yang hebat di dalam pejabat, kerap dipanggil berucap di pelbagai majlis,
diberi tepuk sorak, dihormati orang bawahan yang sentiasa tertunduk-tunduk
mendengar arahannya, boleh sahaja dilupakan apabila dia bersara.
Sebab
itulah, bagi sesetengah individu, mereka sanggup berpaut kepada sesuatu
jawatan, seolah-olah syarikat akan runtuh seketiadaannya. Seseorang itu tidak
mahu meninggalkan kerusi yang disandangnya seolah-olah mahukan punggungnya
berakar di situ. Seseorang itu menyinga kalau orang terlupa menyebut salah satu
pangkat yang disandangnya, macamlah pangkatnya itu memberi erti apa-apa kepada
orang yang berurusan dengannya.
Andainya
kita bersandar kepada nama, jawatan dan pangkat hingga memaksa orang lain menghormati
kita kerana gelaran-gelaran itu, sakit kerana kehilangannya boleh membawa azab bagai
orang yang disentap susuk dari wajahnya. Inilah bahaya bila berdiri di atas nama,
jawatan dan pangkat yeng berbentuk luaran, bukannya dalaman.
Daripada
Abu Hurairah r.a baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH s.w.t tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta benda kamu akan tetapi ALLAH melihat kepada hati kamu dan amalan kamu. (riwayat Muslim)
Kita
tidak sepenting yang dirasa.
Kerana itu, selalulah beringat untuk
pandai-pandai membawa diri bila dilupakan.
Kerana itu, selalulah beringat untuk
pandai-pandai membawa diri bila dilupakan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, 23.5.2012, insya-ALLAH...
Terima kasih, Uncle Nordin, untuk tulisan yang bermanfaat ni.. semoga tulisan uncle terus dapat menyentuh hati manusia.
ReplyDeleteSama-sama, Shikin!
ReplyDeletesgt bermanfaat
ReplyDeleteMemang tepat sekali.
ReplyDeletebetul kita hanya diingti bila kita penting kepada seseorng untuk menjayakan hasratnya.
ReplyDeleteShe-da, Mrs Lya & Ahmad Azamin... terima kasih kerana komen.
ReplyDelete