Photo credit: epiphan.com
MARI BERLENGGANG
KE BILIK SEMINAR
MARI BERLENGGANG
KE BILIK SEMINAR
MENGHADIRI majlis ilmu seperti kuliah kursus, ceramah, seminar, konvensyen mahupun dialog sentiasa
membuat saya teruja. Pada sesi sebegitu, banyak sekali pendapat, hujah dan
rumusan yang menjadi penambah ilmu. Sejak zaman di kampus lagi saya sudah
sertai pelbagai jenis program sama ada sebagai peserta mahupun pembentang.
Sudah
berkotak-kotak kertas kerja, laporan dan beg program yang saya kumpul. Ini
termasuk juga berkajang-kajang nota yang saya catat di sepanjang program yang disertai.
Saya pernah menyalin nota kuliah sampai penuh writing pad yang disediakan. Tak cukup lagi, saya pohon sekeping
lagi agar setiap patah penyampai kuliah dapat saya salin.
Begitulah
yang saya lakukan apabila saya menghadiri persidangan dan pembentangan. Hasratnya
ialah supaya saya dapat meneliti apa yang saya tulis itu pada waktu senggang. Namun,
waktu senggang untuk saya menatap nota-nota itu ialah apabila saya mengemas
bilik pejabat saya. Pada ketika itu, hampir kesemua catatan cakar ayam saya itu
sudah tidak dapat saya fahami.
Kerana
rasa sayangkan nota-nota dan semua kertas-kertas itu, saya simpan kesemuanya
dengan memasang niat untuk mentelaahnya pada masa depan. Tetapi sebaik sahaja
saya susun kesemua nota-nota itu ke dalam almari, fikiran saya tertutup untuk
mengingatinya sebaik sahaja almari itu saya katup.
Kini,
setelah penuh dua almari dengan kertas-kertas kerja dan nota-nota yang saya
tidak mengerti, saya mula terfikir, apakah yang saya mahu apabila menghadiri
majlis kursus, seminar dan konvensyen itu?
Akhirnya,
di konvensyen yang saya hadiri baru-baru ini, saya hanya berbekalkan sebuah
buku nota kecil. Kertas pembentangan pun saya baca sekali lalu. Saya lebih
menumpukan perhatian kepada penyampai di pentas. Saya tidak lagi menyalin nota
seperti mendengar kuliah ketika belajar dahulu.
Alasan
saya, segala yang disampaikan oleh pembentang di pentas tidak perlu saya ingati
sepenuhnya kerana saya tidak akan menjawab soalan peperiksaan dan dengan itu
saya perlu mengingat apa yang disampaikan penceramah. Saya tidak perlu merakam
percakapannya atau mengambil foto semua slaid yang terpancar di skrin kerana
saya tidak mahu meniru bulat-bulat ideanya.
Saya
bukannya mahu jayakan akhbar Sinar Harian seperti syarikat penceramah itu. Ia mustahil
berlaku. Kalau pun saya ikut bulat-bulat formulanya, Sinar Harian belum tentu
akan berjaya seperti syarikat penceramah itu. Mungkin juga Sinar Harian sudah
lebih berjaya daripada syarikat penceramah. Tambahan pula, proses untuk
mentransformasi Sinar Harian menjadi sama seperti syarikat si penceramah itu
pun akan mengambil masa.
Jadi,
apa yang lebih mustahak buat saya adalah bertaddabur untuk mendapat refleksi,
inspirasi atau imbasan idea yang baik dan sesuai yang disampaikan supaya
dipadankan dengan apa yang saya sedang usahakan di tempat kerja saya.
Melalui
cara ini, daripada sepuluh perkara yang penceramah sampaikan, saya boleh dapat
tiga atau empat idea yang baik, yang boleh diimplementasikan serta merta
apabila saya pulang ke tempat kerja. Resolusi yang didengar itu tidak
semestinya terus mengenai masalah yang saya hadapi. Tetapi ilham yang terpapar
di layar minda itulah yang amat berguna.
Seni
mendengar itu adalah satu aktiviti kreatif di mana ia membuka dan mengembangkan
minda. Bahasa tubuh atau body language
penyampai akan membantu kita menimbang samada apa yang disampaikan itu
benar-benar dapat diyakini atau ia semata-mata gorengan penceramah yang tak
perlu kita ambil pusing.
Apa
yang masuk ke telinga akan ditafsir oleh akal. Apa yang ditonton pula dipertimbangkan
dengan hati sebelum naluri menjana ia hingga terlahir sebagai satu idea baru. Cara mendengar tanpa sibuk menulis nota itu
lebih merehatkan dan meningkatkan pemahaman. Masalahnya ialah apabila kita akan
mudah tertidur. Mudah-mudahan tidur itu penuh dengan mimpi yang menjadi impian
setelah terjaga!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.4.2012, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.4.2012, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment