Photo credit: greenbergansucher.com
MARI BERLUMBA
DENGAN DIRI SENDIRI
SABTU lalu, saya menghadiri sesi beramah mesra dengan pembaca Karnival Karangkraf di Kolej UNITI, Port Dickson. Ramai juga siswa dan siswi datang untuk mendapatkan autogeraf setelah mendapatkan buku saya. Tiba-tiba, seorang siswi tampil dan menghulurkan sebuah buku nota. Dia tidak membeli buku tetapi meminta saya memberinya sebuah mutiara kata.
Bagaimana saya boleh menulis madah secara spontan begitu? Saya terpempan seketika. Meraba-raba mencari ilham dari kotak fikiran ini. Sekilas saya memandangnya yang datang dengan penuh harap. Oleh kerana dia seorang pelajar, saya melihatnya sebagai insan yang sedang dalam sebuah perjalanan yang panjang untuk memajukan dirinya.
Maka tercetuslah kata-kata, “Hidup ini satu perlumbaan. Dan perlumbaan itu adalah dengan dirimu sendiri.” Saya tidak pasti sama ada dia faham apa yang saya maksudkan kerana setelah menyerahkan buku nota kepadanya, dia hanya menatap madah saya buat seketika sebelum tersenyum simpul dan berlalu.
Ya, hidup ini adalah sebuah perlumbaan. Sebuah larian maraton. Sudah menjadi kebiasaan pula, kita biasanya berlumba dengan orang lain. Sejak kecil di tadika emak membandingkan kita dengan teman-teman yang lain, siapa yang dapat nombor satu. Di sekolah menengah pula, siapa yang dapat lebih banyak ‘A’ dalam PMR atau SPM. Di universiti pula, universiti mana atau fakulti mana pula dibanding-banding.
Sehinggalah bila di alam pekerjaan, kita sudah pandai untuk membandingkan sendiri mana satu pekerjaan yang bagus, mana pekerjaan yang tidak bagus. Syarikat mana yang ada kelas, syarikat mana pula yang tiada masa depan. Pendek kata, bila apa yang kita capai itu dibanding-bandingkan, maka ia akan ditanding-tandingkan pula.
Tentu sekali dalam pertandingan, ada konsep menang dan yang kalah. Ada pula yang berjaya dan yang gagal. Kerana itu, bila kita memandang orang yang jauh ke hadapan, atau yang tinggi di atas, kita akan berasa ketinggalan. Sebaliknya, bila kita memandang ke belakang pula, kita nampak juga orang yang sudah kita tinggalkan atau orang yang jauh berada di bawah. Kita berasa yang kita sudah ke depan pula.
Dalam perjalanan yang panjang ini, kita juga melalui pelbagai persimpangan. Samada persimpangan itu membawa kita memasuki sebuah lebuhraya yang dipenuhi dengan mereka yang bergerak laju, ataupun persimpangan sebuah denai sempit dan berlopak hingga menyebabkan kita terpaksa melangkah perlahan.
Kita akan melalui fasa-fasa kehidupan bilamana kita bergerak laju dan meninggalkan kawan-kawan. Itulah saat di mana kita berjaya, kita menang, ataupun kita kaya memperoleh apa yang kita inginkan kerana kita bergerak di lebuhraya laju. Ada ketikanya, kita menggelungsur ke bawah dan bergerak perlahan di lorong yang penuh berliku. Begitulah keadaan bilamana kita jatuh atau gagal.
Lazimnya, tatkala kita berjaya, kita akan di kelilingi oleh mereka yang berjaya juga. Perjalanan kita menjadi mudah dan pantas. Di saat kita tewas, kita dikerumuni oleh mereka yang gagal juga. Ketika itu, perjalanan kita menjadi perlahan dan sukar.
Bila kita selesa berteman dengan mereka yang berjaya, ia bagus sekiranya kita tidak lupa erti kegagalan. Namun jangan sampai kita lupa daratan seolah-olah kita tidak pernah tersembam dalam kehidupan. Ketika kita bersama dengan mereka yang gagal pula, ia tidak bagus sekiranya kita terlupa yang kita pernah berjaya hingga tidak berani mencuba lagi.
Yang penting, walau di mana kedudukan kita sama ada sedang berjaya atau gagal, kita tidak boleh lupa di sebalik semua perlumbaan dengan orang lain, kita sepatutnya berlumba dengan diri kita sendiri. Pedulikan siapa yang berjaya lebih dahulu daripada kita, kerana dalam maraton, perlumbaan masih belum tamat selagi garis penamat iaitu kematian belum tiba.
Berlumba dengan diri sendiri itu lebih jujur dan lebih membahagiakan. Hanya kita yang tahu bila kita mesti memecut laju dan bila pula kita mesti berjalan berjengket-jengket kerana yang penting ialah sampai ke matlamat pada waktu yang kita tentukan sendiri, bukan masa yang dipaksakan oleh orang lain kepada diri sendiri.
Kejayaan yang diperoleh bila berlumba dengan diri sendiri adalah di atas kehendak sendiri, bukan sebab kemahuan orang lain. Begitu juga kegagalan yang dialami bukan membuat kita menangis malu. Sebaliknya ia adalah tangisan keinsafan di atas kegagalan yang membolehkan kita bangkit, bertatih, melangkah dan berlari kembali ke puncak kejayaan.
Artikel ini akan terbit di akhabr Sinar Harian pada 4.4.2012, insya-Allah
No comments:
Post a Comment