Tuesday, April 17, 2012

MASA DEPAN SURAT KHABAR


Photo credit: walyu.com

BERKUBURNYA
AKHBAR VERSI CETAK

MINGGU lalu, saya lari keluar daripada rutin tugas harian untuk ke sebuah konvensyen di Nusa Dua, Bali. Konvensyen anjuran World Association of Newspapers and News Publishers, (WAN-IFRA) atau Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Sedunia itu dihadiri oleh pengurusan tertinggi penerbitan akhbar.

Persatuan yang dianggotai 3,000 buah syarikat yang mewakili 18,000 penerbitan, 15,000 laman atas talian daripada 120 buah negara itu sememangnya tepu. Seminar dua hari itu dipadatkan dengan 18 pembentangan dan kuliah oleh tokoh-tokoh syarikat yang terpilih daripada pelbagai negara. Dan persidangan itu pula dibahagi tiga iaitu untuk para peneraju syarikat, penerbitan dan percetakan.

Oleh kerana kekangan masa, kesemua ucapan disampaikan dengan ringkas tetapi tepat. Sesi soal jawabnya sekejap sangat. Ada ketikanya sesebuah pembentangan itu dibicarakan sekitar setengah jam sahaja dengan tiga soalan daripada hadirin sebelum pembentangan seterusnya berlangsung.

Saya sempat bersembang dengan Thomas Jacob, Timbalan CEO dan Pengarah Urusan WAN-IFRA bagi Asia Pasifik. Katanya, akhbar-akhbar di barat terlalu terpesona dengan versi digitalnya hingga mereka berlumba-lumba untuk menyalurkan pemberitaan dalam talian secara percuma. Akhirnya ia melumpuh, malah mematikan banyak syarikat akhbar versi cetakan.

Kita di Asia lebih berhati-hati dengan kesilapan barat. Kerana itu, kita berjaya menggunakan media digital untuk kepentingan versi bercetak. Kita menyaring berita dan mempersembahkan dalam bentuk digital dan juga cetak hingga tidak kehilangan pembaca sedia ada di samping berjaya menambah pembaca muda di media siber. Malah, ada juga akhbar yang berdiri semakin gagah meskipun gelombang siber kian melanda.

Direktor Utama Java Pos, Azrul Ananda sebuah kumpulan akhbar yang menerbitkan 180 edisi akhbar dan 20 saluran TV di Indonesia sebaliknya tampak begitu yakin. Sambil berbual ketika menanti ketibaan Wakil Presiden Indonesia, Prof. Dr. Boediono, untuk merasmikan persidangan, Azrul dengan wajah yang begitu konfiden mengatakan, Java Pos menjual akhbar dalam taliannya ketika banyak pihak lain memaparkan akhbar digital secara percuma. Java Pos versi cetak yang berharga 4.500 rupiah (lebih kurang RM1.50) dijual dengan harga 2.655 rupiah (lebih kurang 88 sen) untuk versi digitalnya.

Hampir kesemua pembentang membayangkan jalur kebimbangan mereka bila membicarakan penerbitan akhbar bercetak dalam suasana di mana akhbar digital kian mendapat sambutan. Mereka bimbang dengan arus media siber yang semakin menjadi pilihan pembaca kerana ia pantas, lebih daya visual dan audionya.

Kerana itu, persidangan yang bertemakan Shaping the Future of News Publishing atau Membentuk Masa Depan Penerbitan Akhbar, membawa maksud menangani penerbitan akhbar dalam bentuk cetakan dan digital. Pada mulanya, masyarakat akhbar cetak kagum dan menerima kehadiran akhbar digital sehingga ia menjadi ancaman. Kerana itu, mereka cuba menunduk dan mengawal format digital.

Walau apa pun yang dilakukan oleh para penerbit akhbar bercetak, ia hanya mampu memperlahankan kepupusannya. Apakah ertinya? Ia adalah peperangan yang bakal tewas ~ a losing battle. Maaf cakap, pada hemat saya persaingan akhbar cetak dan digital ini akan berakhir dengan berkuburnya akhbar bercetak!

Pada tahun 90an, ketika world wide web mula berkembang dan internet menjadi kegilaan, banyak pihak masih ragu-ragu dengan keupayaannya mengatasi penerbitan akhbar, buku dan majalah. Pada waktu itu, saya sendiri mempunyai tanggapan, selagi benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi adalah kertas, dunia penerbitan buku, majalah dan akhbar tidak akan pupus.

Kini, benda pertama yang dipegang oleh seorang bayi bukan lagi kertas, sebaliknya iPad atau komputer tablet. Kerana itu, kertas boleh menjadi artifak sepertimana papan luh yang digunakan oleh datuk nenek kita di sekolah. Ertinya, kertas akan menjadi medium yang terpinggir. Paperless world akan wujud dalam ertikata yang lebih benar.

Dunia persuratkhabaran akan terus segar dan akhbar akan dibaca secara digital. Cuma kali ini, berita akan ditatap dengan suara pembaca yang mengiringi, setiap foto akan bergerak menjadi video.

Pada ketika itu, para pengiklan tiada pilihan melainkan mengiklan produk mereka di akhbar-akhbar versi digital. Para pengiklan pada hari ini nampaknya ketinggalan kerana tidak peka dengan perubahan ini. Namun, itu adalah cerita lain yang orang surat khabar hendak lihat ia berlaku.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.4.2012, insya-ALLAH...

1 comment:

  1. Salam. Kedua-dua tetap ada kelebihannya. Saya lebih suka bentuk bercetak kerana senang nak buat rujukan cepat, senang nak tunjuk kat orang sesuatu berita tanpa melibatkan elektrik (komputer). Dan kadang-kadang berita penting saya terus gunting, tak payah print dah.

    ReplyDelete