Piccredit: friedchillies.com
MARI MAKAN
NASI LEMAK BUNJUT
NASI LEMAK BUNJUT
SELAIN daripada roti canai, nasi goreng, kuetiau, lontong, nasi
dagang, nasi kerabu dan mihun, nasi lemak menjadi makanan pilihan yang paling
popular untuk sarapan pagi. Bagaimana pun, nasi lemak kini menjadi sarapan
berat. Kita boleh pilih nasi lemak dengan lauk telur mata lembu, telur dadar,
telur puyuh, sotong, kerang, lala, ayam goreng, paru, hati, daging yang dibubuh
bersama kangkung dan timun serta setengah sudip sambal. Lauknya banyak hingga
bungkusannya jadi sendat dan terkoyak. Minyaknya pun banyak hingga meleleh ke tangan
kita yang memegangnya. Sekali makan, kita boleh kenyang hingga menjelang
tengahari.
Di sebalik kepopularan nasi lemak yang beranika lauk, konsep asal nasi
lemak iaitu nasi lemak bunjut turut
menjadi pilihan. Nasi lemak berbungkus daun pisang hanya diletak nasi
bersama dua hiris timun, sejoreng telur dan sedikit sambal. Di
restoran-restoran mahupun di gerai-gerai yang menyediakan nasi lemak, biasanya,
nasi lemak bunjut akan habis lebih dahulu daripada nasi lemak yang beranika
lauk.
Tatkala harga makanan juga naik, nasi lemak bunjut masih boleh
dijual dengan harga RM1 atau RM2, kadangkalanya tanpa timun dan hanya satu per
enam telur rebus. Walaupun kandungan yang sedikit, ia tetap laris, malah lebih
laku daripada nasi lemak beranika lauk. Kerana itu, gerai-gerai yang hanya menjual nasi lemak bunjut
akan tutup terlebih dahulu daripada gerai-gerai yang menjual nasi lemak
beranika lauk.
Meskipun tampak sedikit, nasi lemak bunjut tetap mengenyangkan.
Tetapi pernahkah kita terfikir, jika makan nasi lemak bunjut itu mengenyangkan
seperti bila kita makan nasi lemak beranika lauk, mengapa kita lebih kerap
pilih nasi lemak beranika lauk? Bukankah kita bersarapan untuk kenyang, dan
bukannya bersarapan untuk memenuhkan tembolok?
Jika pun kita katakan bahawa kita makan untuk menjamu selera dan
terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan, apakah kita perasan yang kita kerap tidak dapat menghabiskan nasi lemak
beranika lauk kerana sukatannya yang banyak? Daripada segi makan sahaja, ia
mencerminkan suatu tabiat kita iaitu suka berlebih-lebihan dalam mendapatkan
sesuatu, padahal yang sedikit itu sudah pun mencukupi.
Sebenarnya, selain daripada makanan, ada banyak lagi perkara lain
yang kita mahukan tetapi akhirnya kita tidak gunakan kecuali sedikit. Tatkala
belum ada saluran televisyen berbayar, kita sudah ada hampir sepuluh saluran
televisyen percuma. Apabila terdapat berpuluh-puluh saluran televisyen, kita
pun mahu melanggan seberapa banyak saluran yang kita inginkan. Tetapi, pada
segi realitinya, berapa jamkah masa yang kita ada untuk menonton? Apakah kita
menonton hingga 50 saluran? Jika pada satu-satu hari, kita hanya dapat menonton
10 saluran, (yang mana jarang kita dapat peluang itu) bagaimana pula dengan 40
saluran yang lain? Bukankah kita sudah puas walaupun hanya menatap tiga atau empat saluran sehari? Macam
makan nasi lemak bunjut yang sedikit, tetapi mengenyangkan!
Untuk saluran internet, kita punyai desktop, laptop, tablet dan juga di dalam telefon. Tetapi oleh
kerana mudah dan ringan, kita lebih kerap melayari internet melalui telefon
pintar. Ia sudah memadai. Bagaimana pula dengan penggunaan jenis-jenis barangan
peribadi yang lain? Kita punyai terlebih baju, beg tangan, tali leher, tudung,
kasut, pelbagai jenis syampu, sabun mandi, perfum dan entah apa lagi. Berbulan kita
tidak pakai baju tidur corak harimau
bintang kerana kita terlupa yang rupa-rupanya kita ada paten itu. Bila berbulan kita tidak pakai, apakah baju
itu benar-benar perlu?
Bukankah mahukan sesuatu berlebih-lebihan tetapi tidak menggunakan
pula apa yang diperoleh secara maksima itu adalah suatu pembaziran? Kita boleh
rasionalkan diri bahawa ada masanya kita perlukan benda-benda yang lama kita
tidak gunakan itu. Kita akan jimat masa mencari-cari dan membeli kerana ia ada
dalam simpanan. Ia betul dari sudut pandang itu. Tetapi sebenarnya kita sudah
membuang masa tatkala kita mula mencari barang-barang yang akhirnya tidak kita perlukan
itu.
Soalnya mengapa kita perlukan sesuatu
itu melebihi daripada apa yang sepatutnya? Apakah ia berpunca daripada rasa
kekosongan sehingga kita ingin memenuhkan ruang dengan segala jenis koleksi
barangan walaupun ia melebihi daripada seharusnya? Dengan adanya segala macam
benda di sekeliling kita, kita berasa selamat kerana rasa berada?
Jika tidak dikawal, sikap mahukan
sesuatu melebihi apa yang secukupnya itu akan melahirkan sikap tamak. Sikap
tamak iaitu tidak puas dengan apa yang ada akan diikuti dengan sikap haloba
iaitu mendapatkan sesuatu untuk diri dengan apa cara sekali pun walaupun dengan
buas, rakus dan garang menghalang orang lain untuk mendapatkan apa yang dia
hajatkan.
Jika sudah sampai ke tahap itu, kita sudah
tiada kemanusiaan. Sebaliknya, naluri kebinatangan sudah menjalar dalam darah
di tubuh.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 7.10.15.
No comments:
Post a Comment