Piccredit:thisconsciouslife.com
BERSEDIA UNTUK
MENYINGSING LENGAN
MENYINGSING LENGAN
LEBUHRAYA NKVE pada tengahari itu sesak sedikit. Kereta
saya terpaksa bergerak dalam kelajuan 30 kilometer sejam. Dari jarak kira-kira
50 meter, saya ternampak sebuah kereta Mercedes putih yang tersadai di tepi
Lebuhraya NKVE. ‘Pamcit…’ kata hati ini bila terpandang seorang lelaki separuh
usia sedang bertungkus lumus membuka tayar kereta di sebelah pemandu. Pantas
pergerakannya. Tidak terkial-kial.
Apabila kereta saya menghampiri, saya nampak dengan
jelas kot lelaki itu disangkut ke pintu kereta yang separuh terbuka. ‘Ini orang
berpangkat…’ detik hati saya lagi. Kulit putih wajahnya tampak memerah. Peluh
kelihatan berkilat di kepalanya yang separuh botak. Daripada gayanya, saya
menelah bahawa dia adalah tuanpunya kereta Mercedes itu, bukan drebarnya. Saya tak
jadi berhenti untuk membantu lelaki itu apabila perasan ada dua buah motorsikal
baharu berhenti untuk membantu lelaki itu.
Sambil terus memandu, saya terfikir mengapa lelaki itu
tidak kekok langsung menukar tayar keretanya. Ada banyak situasi yang kerap
saya lihat di mana orang yang berpangkat hanya duduk di dalam keretanya menunggu
bantuan sampai bila kenderaannya menghadapi masalah. Dia juga boleh sahaja
menunggu pasukan PlusRonda tiba untuk menukar tayarnya atau memanggil sahaja
trak tunda swasta. Tetapi sebaliknya, dia menyelesaikan masalahnya sendiri
dengan menyingsing lengan.
Ya. Menyingsing lengan. Inilah sikap yang ada pada
lelaki itu. Walaupun sudah somebody dengan
kereta mewah itu, dia sanggup mengotorkan tangannya apabila keadaan memerlukan.
Ia berbeza dengan sebilangan di kalangan kita yang baharu sahaja senang sedikit
sudah tidak pandai bersusah-susah lagi.
Kadangkala, seseorang itu baharu sahaja terpilih dari
kalangan rakan-rakan yang sejawatan untuk menjadi ketua di jabatannya. Tetapi
dia cepat lupa dengan kedudukan lama. Baharu sahaja dapat tempat duduk yang
bersekat, dia sudah tidak mahu senyum dengan mereka yang sepangkat dengannya.
Sudah hanya berkawan dengan mereka yang ‘atas-atas.’
Kalau dahulu, dialah yang mudah membantu kak Tipah
kerani menarik kertas yang tersangkut dari mesin fotostat, kini bila terpandang
dengan masalah itu lagi, dia buat-buat tak nampak. Itu belum lagi dilihat
wajahnya yang mula ketat bila memandang orang. Kalau hendak baca akhbar pun, sudah
tak pandai mengambil sendiri. Pekerja lain yang harus dapatkan untuknya.
Tatkala sama-sama sepangkat dahulu, dia memang suka mengeluh kerana banyak kerja.
Kini dia hanya pandai berdehem kerana asyik menyuruh orang lain membuat
kerjanya.
Ada juga dari kalangan suri rumah yang berperangai
begitu. Bila sudah ada pembantu rumah, dapur pun tidak mahu dijejaki. Memasak,
membasuh, menggosok, mengemas dan mengasuh anak dilepaskan bulat-bulat pada
pembantu rumah. Akhirnya apabila pembantunya berhenti, dia tidak tahu di mana
letaknya sudu garfu, pinggan mangkuk dan asam garam kerana dia sudah lama tidak
mahu menyingsing lengan.
Perihal orang yang naik pangkat, bertambah kuasa dan
semakin kaya tetapi tidak mahu menyingsing lengan memang banyak sekali terjadi.
Bila kita memikir sejenak, pasti kita teringat akan sesiapa di sekeliling kita
yang berperangai begitu. Bila sudah naik pangkat dan berubah tempat duduk di bahagian
yang lebih tinggi, mereka tidak mahu turun ke bawah melihat mereka yang turut
bersusah payah mensejahterakan syarikat dan jabatan.
Apabila sudah bertambah kuasa, mereka hilang
pertimbangan dan rasa prihatin akan apa yang dialami oleh mereka yang sebelum
ini siang malam berganding bahu bersama-samanya. Segala susah payah yang
dihadapi oleh orang bawahan dianggap enteng. Bertanya khabar jauh sekali walau
sekadar untuk memujuk jiwa-jiwa yang menderita akibat tindak-tanduknya mencengkam
kuasa.
Yang bertambah kaya pula tidak ingat betapa orang lain
menyeluk saku meraba wang untuk mengagak berapakah jumlah duit yang dia ada.
Mana tahu, wang di poket tidak cukup untuk membeli apa yang diingini anak-anak di rumah.
Orang yang tidak cukup duit masih boleh menjerit untuk komplen. Tetapi, orang
yang sudah jatuh miskin hanya mampu menelan liur dan memendam perasaan. Mereka
jadi pendiam. Malangnya, orang yang bertambah kaya itu berasakan semuanya bagus
kerana tiada sesiapa yang bising-bising.
Orang berkedudukan lebih baik tetapi sudah tak pandai
menyingsing lengan sebenarnya tidak hidup di alam realiti. Mereka lupa yang
hidup ini seperti roda. Mereka tidak ingat mutiara kata, ‘kalau merenung
bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi.’ Oleh kerana dah tak pandai
bersusah-susah atau back to basics
apabila suasana memaksa, orang begini tidak akan sedar lantai bila yang dipijak
sudah rapuh. Dia bukan sahaja tidak bersedia, malah tidak mahu bersiap siaga
untuk mempastikan kukuhnya tempat dia berdiri.
Akibat sentiasa menganggap semuanya okey sahaja, dia akan
K.O apabila hukum graviti ditakdirkan ke atas dirinya.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok 8.7.2015...
No comments:
Post a Comment