Piccredit: adehermawati.wordpress
MAAFKANLAH WALAU
UNTUK SEKIAN KALI
MAAFKANLAH WALAU
UNTUK SEKIAN KALI
APABILA hari
raya aidilfitri menjelang, salah satu daripada budaya kita ialah
bersalam-salaman untuk bermaaf-maafan. ‘Maaf zahir dan batin,’ adalah ungkapan
yang menjadi sebutan yang lazim. Bagaimana pun, masih ramai daripada kalangan
kita yang tidak pandai memohon maaf. Perbuatan itu dirasakan kekok untuk
dilakukan. Maka peluang hari raya itulah menjadi pemangkin kepada tindakan
bermaaf-maafan itu.
Sebesar mana
pun salah dan silap, kita melihat hari raya sebagai hari baik bulan baik untuk
memaafkan. Malah, ia sudah menjadi adat dan kewajipan. Apa jua salah dan silap,
ia mesti dimaafkan. Oleh kerana itulah, mereka yang tidak pandai memohon maaf
hanya dapat peluang keemasan itu pada hari raya. Barangkali oleh kerana ia adalah peristiwa
setahun sekali, maka airmata yang bertakung setahun itu tumpah berjurai-jurai
di aidilfitri.
Sebenarnya,
apakah sebuah maaf itu? Ia adalah sebuah lafaz untuk menyatakan kekesalan
terhadap apa yang dilakukan terhadap seseorang. Ia jua adalah sebuah ekspresi
kerana tidak dapat memenuhi sesebuah janji. Ataupun, ia hanya sebuah pernyataan
sebelum menyatakan apa yang terbuku di hati ~ seperti pendekatan siri artikel-artikel
kolum Maaf Cakap ini.
Kemaafan itu
biasanya melibatkan dua pihak. Dan ia melibatkan tiga situasi. Situasi pertama,
satu pihak bersalah dan memohon maaf, pihak yang satu lagi memberi maaf kepada
yang memintanya. Misalnya, tersilap menuduh seseorang itu mencuri sedangkan dia
hanya mendengar fitnah. Yang menuduh memohon maaf dan yang tertuduh memaafkan.
Dalam situasi
kedua pula, kedua-dua pihak, masing-masing ada salah dan betulnya. Misalnya,
dalam kes kemalangan dua buah kenderaan. Bertepuk sebelah tangan tak akan
berbunyi. Kedua-duanya pasti ada salah dan betulnya. Kedua-dua pihak memohon
maaf dan memaafkan.
Cuma, situasi
ketiga pula adalah keadaan yang amat sukar apabila yang memohon maaf itu tidak
mendapat kemaafan. Pasti dosa seseorang yang memohon maaf itu begitu besar
hingga dia tidak dimaafkan. Mungkin ia kes yang melibatkan kehilangan besar
seperti kehilangan harta berupa wang
yang tidak dipulang atau tanah yang tergadai. Ataupun, mungkin juga ia kes yang
melibatkan kehilangan nyawa orang yang disayangi seperti kemalangan atau kematian.
Sebenarnya, walau betapa berat
pun hati untuk memaafkan, kita tidak boleh tidak memaafkan langsung orang yang
datang menghulurkan tangan. Biarlah kita memaafkan walau sebahagian daripada
kesalahan seseorang terhadap kita. Sebuah maaf itu tidak bererti kita terus
boleh tertawa dan bertepuk tampar dengan yang memohon maaf.
Jika ia tidak akan menghilangkan
luka di hati si pemberi maaf sekali pun, ia juga tidak bermakna yang bersalah
itu hilang terus rasa malu akibat kesalahannya terhadap kita. Sekurang-kurangnya
kita harus memaafkan atas dasar bahawa
ia adalah takdir yang menimpa ke atas kita. Inilah hakikat beragama.
Memaafkan itu menandakan kita mula
melangkah ke hadapan dan hari esok, tanpa membawa beban semalam. Sebelum maaf
dipinta, pelbagai prasangka masih bersarang dalam fikiran. Selagi maaf belum
dipinta, kita akan teringat-ingat apa yang berlaku. Apabila maaf dipinta,
memaafkan itu lebih penting untuk diri sendiri kerana ia akan menghilangkan kusut
di fikiran. Ia melegakan kerana ia memulihkan silaturrahim dan ini memang
dianjurkan oleh Rasuluullah saw.
Meskipun sakit yang ditanggung mengambil
masa untuk hilang, sekurang-kurangnya ia mula beransur-ansur pergi. Ia adalah kerana, proses setelah memaafkan
itu membuka jalan pemulihan jiwa setelah kita melalui tiga peringkat. Pertama, memaafkan
itu memberi kita keseimbangan untuk melihat peristiwa pahit itu dan si pesalah
terhadap kita.
Kedua, perasaan negative kita terhadap si pemohon maaf mula berkurang
dan rasa prihatin di atas kesilapannya mula bertambah. Ketiga dan akhirnya,
kita akan berhenti daripada memikir untuk menghukum orang yang memohon maaf
daripada kita. Jika seseorang itu perlu jiwa yang besar untuk memohon maaf, si
pemberi maaf itu juga punyai hati yang besar juga. Ia sekali-kali tidak
menggambarkan bahawa si pemberi maaf itu berhati kecil kerana kalah dengan
lafaz ampun daripada si pesalah.
Memaafkan itu adalah ubat kerana tidak
memaafkan itu membuatkan seseorang itu membungkam perasaannya dengan rasa
marah, dendam dan benci. Perasaan negatif ini member kesan yang buruk pula
terhadap kesihatan. Justeru itu, memaafkan itu bukan semata-mata untuk
melegakan perasaan si pesalah, tetapi untuk kebaikan diri sendiri.
Sempena aidilfitri ini, maafkanlah
sesiapa sahaja. Maafkanlah juga walau berapa kali pun dia melakukan kesalahan
terhadap diri kita ini. Maafkanlah begitu sahaja. Tanpa syarat, tanpa janji tak
buat lagi. Jika kita tidak memaafkan dia, maaf cakap… apakah patut kita memohon
ampun dari ALLAH swt tanpa malu meskipun mengulangi kesilapan demi kesilapan?
Bagaimana pula jika taubat demi taubat kita pula tidak diampunkan kerana kita
berulangkali melakukan dosa terhadap-NYA? Renungkan…
INSYAALLAH artikelini akan terbit di akhabr Sinar Harian pada 15.7.2015
No comments:
Post a Comment