Tuesday, May 7, 2013

LETAK SEKEJAP PARTI KE TEPI


 
Photo credit: minniemementos.blogspot.com
 
MASA UNTUK
MERENUNG KE DALAM DIRI

MALAM 5 Mei 2013. Siangnya kita mengundi. Suasana di ibu pejabat Sinar Harian Shah Alam, sama sibuk seperti di pejabat-pejabat akhbar yang lain. Kami mencatat keputusan pilihanraya yang disampaikan melalui televisyen. Ada di antara kami mendapat maklumat melalui laman-laman web. Tidak kurang pula yang mendapat laporan segera yang disampaikan terus daripada wartawan-wartawan kami yang berada di pusat-pusat pengiraan undi di seluruh pelosok tanahair.

Sekitar jam 12.00 pagi, saya dan beberapa orang rakan sepejabat keluar sebentar untuk ngeteh di gerai mamak. Suasana di situ tidak kurang gamatnya. Kami kaget kerana pada malam itu, mamak tidak menayangkan siaran langsung EPL perlawanan bolasepak di antara Manchester United dan Chelsea. Sebaliknya mereka pun buka siaran langsung keputusan PRU13. Nampaknya penonton tidak komplen. Mata mereka terpaku di skrin besar; petanda rakyat Malaysia lebih mementingkan masa depan daripada berhibur pada malam itu.

Tatkala sedang bersembang dengan rakan-rakan, kedengaran bunyi tepukan. Kami menoleh ke skrin. Penyampai mengumumkan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kawasan parlimen Permatang Pauh. ‘Wah, ramainya penyokong Anwar dan PR kat sini!’ detik hati saya sambil memerhati ramai yang berdiri sambil bertepuk tangan.

Perbualan kami disambung. Tidak lama kemudian, perhatian kami teralih semula apabila kedengaran lagi sorakan para pelanggan. Kami menoleh kembali ke skrin besar. Terpapar wajah Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang mengumumkan BN telah mencapai kemenangan mudah dengan 112 kerusi. Penonton kelihatan gembira seperti juga ketika menerima  pengumuman kemenangan kerusi Permatang Pauh sebentar tadi. ‘Rakyat dah terima demokrasi kerana sokong sesiapa sahaja yang menang,’ kata hati saya.

Apabila kita mendaftar sebagai pengundi, ia petanda bahawa kita menerima demokrasi di bawah sistem parlimen Malaysia. Bila kita pergi mengundi setelah tiba waktunya, ertinya percaya dengan perjalanan proses pilihanraya dan juga keputusannya. Jika calon yang kita pilih itu menang, kita akan gembira. Sebaliknya apabila calon yang tidak kita pilih itu menang, kita mesti terima dengan hati terbuka.

Kita kenalah terima bahawa calon yang kita mati-mati tidak suka itu akhirnya diumumkan sebagai pemenang. Jika kita punyai kepercayaan bahawa calon yang kita sokong itu akan memperjuangkan nasib dan masa depan kita, kita kenalah menghormati calon yang lebih dipercayai oleh lebih ramai pengundi. Mustahil lebih ramai yang tidak cerdik dari kita kerana memilih calon yang tidak boleh membela masa depan rakyat.

Begitu jugalah dengan penyokong dan pemimpin parti politik sendiri. Yang kalah mestilah menghormati yang menang. Yang menang mesti pula menjaga hati yang kalah. Baharulah gentleman. Jika ada pihak yang tidak selesa dengan mandat rakyat yang diberi kepada BN memerintah negara, ada juga pihak lain yang tidak selesa bila mandat rakyat masih diberikan kepada PR untuk memerintah, contohnya negeri Selangor.

Jika kita menerima UMNO sebagai pembela masa depan negara, kita kena hormati mereka yang memilih Pas untuk membela masa depan kita semua. Jika penyokong Pas melihat Dap itu rakan politik yang boleh dipercayai, mereka harus hormati penyokong UMNO yang melihat MCA atau Gerakan sebagai rakan politik yang boleh diharap.

Kita tidak boleh menang kesemuanya dan kita juga mustahil akan kalah semuanya. Sebabnya, ada berjuta pengundi yang terlibat untuk memilih siapa atau parti mana yang mereka mahu. Mana mungkin berjuta yang lain kesemuanya silap kerana tidak mengikut citarasa kita?

Bila pilihanraya sudah selesai, memanifestasikan bantahan di merata-rata tempat awam hanya membuang masa. Seolah-olah, kita menafikan kebijaksanaan kita yang mengambil jalan memilih pemimpin dan parti melalui cara mengundi. Tentu sekali seandainya terdapat andaian penipuan, penyelewengan dan kesilapan, ia boleh laporkan sahaja ke pihak yang bertanggungjawab dan cabar keputusan mana-mana parlimen atau DUN di mahkamah.

‘Ini Kalilah’ sudah menjadi ‘Lain Kalilah’ untuk kedua-dua pihak. Terimalah hakikat ini. Dalam keghairahan kita menggapai kemenangan, terlalu banyak dosa lidah yang terlontar. Terlalu banyak dosa fitnah yang telah tersebar. Dalam pada kita bermuhasabah mengenai kekalahan parti yang kita terajui atau yang kita sokong, jangan lupa bermuhasabah untuk diri sendiri.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar HArian pada 8.5.2013, insya-ALLAH...

4 comments:

  1. saya setuju. terima atas artikel yang sangat positif

    ReplyDelete
  2. Bukan tidak redha atas keputusan PRU baru2 ini. Tapi bila rakyat ditipu, satu per satu bukti melata depan mata, hati mana yg sanggup berdiam diri. Demokrasi hanya tinggal nama. Sekiranya PRU dijalankan dgn telus, tanpa sebarang penipuan, kami pasti terima dgn berlapang dada. Atas kesedaran, rakyat bangkit menegakkan keadilan. Haq itu Haq. Batil itu batil.

    ReplyDelete
  3. Sekiranya PRU dijalankan dgn telus, tanpa sebarang penipuan, kami pasti terima dgn berlapang dada. Atas kesedaran, rakyat bangkit menegakkan keadilan. Haq itu Haq. Batil itu batil.
    Maksudnya semua kemenangan perlu berpihak kepada PR dan BN dikuburkan terus. Apa sal bunyinya tak macam demokrasi tapi macam komunis je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. ***kami pasti terima KEKALAHAN dgn berlapang dada

      BN boleh terus memerintah sampai qiamat jika itu pilihan rakyat. Sememangnya, rakyat yg berkuasa memilih pemimpin. Tapi masalahnya, ada 'sesuatu' yg melebihi dan mengatasi kuasa rakyat. Demokrasi apakah ini?

      Sungguh, hanya akhiratlah tempat pengadilan yg sebenar. Semoga Allah memberi hidayah dan mengampunkan dosa2 kita semua. Semoga kita semua dijauhkan daripada tipu daya dunia, diselamatkan dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurgaNya buat selama-lamanya.

      Delete