Tuesday, April 30, 2013

MENJELANG PRU13


 
Photo credit: kamusberita.com
 
MEMILIH
BERDASARKAN PARTI

ATAU PERIBADI

5 MEI Ahad ini adalah hari mengundi. Inilah hari yang dinanti-nantikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Inilah hari mereka memilih parti manakah yang boleh membela nasib mereka atau yang dipercayai akan menjamin masa depan yang lebih baik. Masing-masing berpeluang menjalankan tanggungjawab (pada waktu yang sama, melepas geram) dengan mengundi. Ada yang memangkah dengan semangat slogan ‘ini kalilah.’ Tidak kurang juga yang memangkah dengan harapan, ‘lain kalilah!’

Bagi pengundi yang sentiasa mengikuti perkembangan politik, mereka tahu ia adalah pertandingan di antara BN dan PR.  Setiap detik dan denyut peristiwa akan menjadi pertimbangan mereka. Segala isu pengurusan kewangan, pentadbiran ekonomi, aktiviti sosial, halatuju politik dan cara sesuatu parti menangani isu-isu agama menambah atau mengurangkan markah sesebuah parti di mata pengundi.

Malah isu-isu peribadi seperti skandal, konspirasi dan  kronisme, meskipun banyak yang berupa permainan persepsi dan manipulasi akan turut mencalar imej mana-mana personaliti politik dan parti yang akan dipilih.

Semakin menjelang PRU13, kian banyak maklumat yang bersimpang-siur di alam siber. Ia sudah sampai ke tahap tepu hingga para pengundi muak dan loya dengan apa yang dipaparkan oleh kedua-dua pihak. 

Dengan jumlah tentera siber masing-masing yang ramai, ditambah pula dengan jumlah akaun atau profil palsu yang beribu-ribu jumlahnya, mereka menyangka beribu-ribu pengikut menyokong sesuatu pihak. Padahal, yang bertugas membentuk persepsi itu hanya ratusan jumlahnya.

Betapa pun, ia tetap membentuk persepsi bahawa sesebuah parti itu amat kuat. Herd mentality serta kesan mob psychology menjadikan pengundi tertipu dan terpengaruh untuk sama-sama menyokong pihak yang dianggap hebat itu.

Jumlah hadirin juga memberi kesan kepada pengundi untuk mempercayai sesuatu parti itu kuat. Lagi ramai hadirin, lagi hebatlah parti itu. Pengundi tidak sempat untuk menyelidik atau mengesahkan yang para hadirin itu boleh sahaja penyokong fanatik yang datang daripada seluruh pelosok atau mereka yang datang berbondong-bondong itu diupah untuk hadir.

Bagaimana pun, di sebalik riuh rendah perang saraf ini masih ramai para pengundi yang berfikiran simple. Mereka mengundi bukan untuk memangkah parti yang disokong. Ini kerana bukan semua pengundi berpegang kepada idea sistem dua parti. Malah, ramai yang tidak melihat penting dan atau sisi ideal sistem dua parti dalam sebuah negara demokrasi.

Ramai juga yang memilih berdasarkan personaliti calon. Calon mana yang lebih hensem, yang cantik atau yang mana lebih sedap mata memandang menjadi pilihan. Wajah-wajah calon di poster-poster yang tersidai di tepi-tepi jalan, terpampang di bulatan atau yang terpapar di skrin TV atau komputer menjadi pertimbangan. Ada yang memilih berdasarkan bangsa atau jantina. Ada pula yang memilih kerana kewarakan, kepandaian dan ketrampilan calon.

Dan, tidak kurang juga yang memilih kerana calon itu orang kampung sendiri atau kerana dia ada bau-bau bacang dengan pengundi. Pendek kata, faktor-faktor selain daripada dari parti manakah seseorang calon itu mewakili barangkali ada lebih banyak, malah lebih pemberatnya.

Mereka memangkah calon yang berkenan di hati. Kemudian mereka pulang ke rumah dan menonton keputusan pilihanraya berselang-seli dengan program hiburan atau pengetahuan di saluran lain.

Jika calon yang mereka pilih itu menang, mereka akan gembira. Sebaliknya jika calon yang mereka pilih itu kalah, mereka terima keputusan itu seadanya. Mereka tahu, walau siapa atau parti manakah yang menang, mereka tetap akan melihat mentari bersinar pada esok hari.

Lampu elektrik akan tetap ada, air paip akan tetap keluar, cukai serta saman masih tetap perlu dibayar dan mereka tetap akan bekerja pada hari esok. Pendek kata, walaupun mereka tampak berfikiran simple, mereka pengundi yang praktikal.  
Mereka tidak kecoh-kecoh dengan perseteruan politik kerana mereka biasa nampak orang politik yang berlainan parti bergelak-gelak sambil duduk-duduk minum kopi di lobi parlimen.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment