Tuesday, April 9, 2013

ETIKA BERPERANG



Photo credit: mole.com
 
PILIHANRAYA
SATU BENTUK
PEPERANGAN

PADA asasnya manusia adalah spesis yang rasional dalam menyelesaikan pertikaian sesama mereka. Bagaimana pun, mereka kerap juga menyelesaikannya melalui jalan emosional, iaitu melalui pertengkaran, pergaduhan dan akhirnya peperangan.  

Pergaduhan pertama dalam sejarah manusia ialah di antara Qabil dan Habil bilamana Qabil membunuh Habil kerana dengki dan tamak. Dengki kerana Habil diberi peluang untuk beristeri cantik sementara dia pula dipinta ayahandanya Adam a.s memilih kembar Habil yang tidak cantik. Qabil juga tamak kerana inginkan sesuatu yang bukan haknya.

Sejak zaman dahulu lagi, peperangan terjadi kerana merebut kawasan dan harta di antara kabilah. Ia kerana dengki dan tamak juga. Apabila kumpulan manusia menjadi semakin ramai, pertelingkahan di kalangan suku kaum itu kemudiannya menjelma menjadi peperangan di antara wilayah dengan wilayah, empayar dengan empayar dan akhirnya di zaman moden pula, antara negara dengan negara.

Walau betapa zalimnya peperangan itu, daripada sudut pandang yang lain, ia dilihat sebagai satu cara untuk mengasah nilai-nilai murni manusia. Di zaman Rom, peperangan itu mempunyai nilai untuk menunjukkan kekuatan (fortitudo), disiplin (disciplina), ketegasan (constantia), ketahanan (patientia), menyintai keagungan (amor laudis) dan mendambakan kemenangan (cupido victoriae).

Ia turut diperlihatkan kepada rakyat sebagai tontonan melalui pertarungan para gladiator dengan singa di arena. Di situ, gladiator yang berjaya akan disanjung dan yang gagal akan dihina jika tidak menemui ajal. Meskipun kita pada hari ini melihatnya sebagai sadis, namun begitulah nilai yang dipegang masyarakat Rom pada ketika itu.

Falsafah peperangan oleh Carl von Clausewitz, seorang pakar peperangan German dalam bukunya On War, menggabung pemerhatian beliau daripada sudut strategi. Apakah peperangan itu jalan penyelesaian atau ia sendiri adalah penyelesaiannya. Pakar strategi China, Sun Tze dalam bukunya The Art of War pula memerhati peperangan daripada sudut taktikal.

Peperangan manusia di zaman ini pula terjadi bukan setakat merebut kawasan dan pengaruh pemerintahan semata-mata. Malah ia berlaku kerana perbezaan anutan agama dan ideologi sosial, ekonomi mahupun politik. Bagaimana pun, peperangan pada hari ini tidak semestinya memerlukan senjata membunuh secara fizikal. Sebaliknya, ia terjadi dalam bentuk peperangan melalui perniagaan, media dan juga dunia siber.    

Dalam dunia yang bertamaddun, peperangan berubah menjadi pertandingan dan peraduan dalam arena sukan. Dilihat daripada sudut yang positif, peperangan dalam konteks sukan seperti Sukan Olimpik juga menyatukan semangat perpaduan di kalangan rakyat agar seiya sekata untuk menentang dan memenangi perlawanan.

Bolasepak sebagai salah sebuah acara sukan, menyatukan penyokong bagi sesebuah pasukan untuk menentang pasukan yang ditandingi. Bolasepak bukan sahaja menjadi keseronokan, malah satu bentuk kegilaan manusia sedunia pada hari ini. Ia menjadikan kumpulan yang menang menepuk dada dengan bangga dan kumpulan yang kalah pula tertunduk dan terduduk. Yang penting, peperangan bentuk ini tidak menghilangkan walaupun sebuah nyawa.

Islam yang membolehkan peperangan pun mempunyai etika yang antaranya, tidak boleh memulakan peperangan; tidak boleh menyerang wanita, orang tua, kanak-kanak dan orang cacat; merosakkan harta benda kecuali darurat; memerangi mereka yang berdamai; mengaibkan mayat musuh; wajib mentaati perjanjian damai dan tidak menganiaya tawanan.

Begitu juga, Konvensyen Geneva yang diperakukan oleh 194 negara di dunia mengandungi empat perjanjian dan tiga protokol, menggariskan tindakan kemanusiaan dalam peperangan seperti hak tawanan, perlindungan terhadap yang cedera dan perlindungan masyarakat sivil di dalam wilayah peperangan. Semua etikanya perlu ditaati.

Berperang itu boleh, tetapi mesti ada peraturannya. Bukan seperti penceroboh Sulu yang tiada langsung adab dan etika berperang. Bendera putih dikibar tetapi bertujuan untuk memerangkap. Lawan yang maut dianiaya kerana sudah tiada peri kemanusiaan lagi.

Berperang dan berperanglah juga bila ia dinamakan pilihanraya. Apabila peraturan peperangan pilihanraya telah ditetapkan, patuhilah ia seperti manusia bertamaddun. Ia adalah untuk kesinambungan kedaulatan sebuah negara. Pilihanraya ialah untuk memilih dan mengambil alih, bukan untuk merampas. Yang kalah mesti bersedia untuk melepaskan. Yang menang bukannya berperilaku seperti sudah menakluk negara yang dinamakan Malaysia.
 
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 10.4.2013, insya-ALLAH... 

No comments:

Post a Comment