Photo credit: anastasyea.com
APA SEBENARNYA YANG KITA
MAHU?
PRU13
sudah seminggu berlalu. Di sebalik rekod cemerlang sebagai PRU yang paling
mendapat sambutan bilamana lebih 80 peratus rakyat keluar mengundi, terdapat
pelbagai isu dan persoalan yang belum terjawab sepenuhnya.
Isu
rakyat Bangladesh yang kononnya diupah sebagai pengundi hantu setakat ini
hanyalah rekaan. Beberapa rakaman video yang dimuat naik ke laman-laman sosial
dan blog menunjukkan wajah-wajah rakyat Bangladesh yang dihalang mengundi. Ini
bermakna, jika benarlah mereka pengundi hantu mereka tidak dapat mengundi
kerana siang-siang lagi telah dihalau oleh rakyat Malaysia sendiri.
Ada
juga wajah-wajah Bangladesh yang rupa-rupanya rakyat Malaysia. Mereka tidak
peduli dituduh begitu, malah terus menjalankan tanggungjawab mengundi kerana
itu hak mereka sebagai warganegara Malaysia. Ada yang diiring pihak polis untuk
masuk ke tempat membuang undi. Ada di antara mereka yang membuat laporan polis
kerana dihalang mengundi. Tetapi malangnya, ada juga warga Bangladesh sebenar yang
pulang dari kilang diserang kerana disangka merekalah pengundi hantu.
Walau
apa pun, setakat ini belum lagi ada kes warga Bangladesh yang dituduh sebagai
pengundi hantu yang disebut di mana-mana mahkamah. Bila ada, dan kalau ada nanti,
biar kita sama-sama ikuti perbicaraan.
Jika
ada dakwaan terdapat sekitar 40,000 warga Bangladesh yang dibawa dari Sabah dan
Sarawak dengan kapalterbang untuk mengundi, ia disangkal oleh PM, Datuk Seri
Najib. Beliau memberi hujah, jika 40,000 orang hendak diterbangkan, sejumlah
100 kapalterbang jumbo diperlukan. Dan, tentu juga jika sebuah bas boleh
memuatkan 40 orang, 1,000 bas diperlukan untuk membawa mereka dari lapangan
terbang ke pusat-pusat mengundi.
Kes
gangguan bekalan elektrik yang dikatakan berlaku juga tidak pasti benar atau
sebaliknya. Yang sahih, pihak TNB sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa
tiada gangguan elektrik yang diadukan terjadi di mana-mana tempat mengira undi
di seluruh Malaysia. Walaupun terdapat video yang menunjukkan peti-peti undi
yang disuluh lampu picit, namun kita tidak tahu di manakah ia terjadi kerana
tiada laporan rasmi. Kalau ada, sudah pasti, Ejen-ejen Mengira Undi yang
mewakili mana-mana calon di Tempat-tempat Mengira Undi sudah membuat aduan
rasmi. Setakat ini, kita belum dengar dan baca mengenai dakwaan itu dilaporkan.
Dakwat
kekal juga menjadi isu. Bila pihak SPR mengatakan ia tahan lima hingga tujuh
hari, ramai yang menggenyeh jari untuk membuktikan yang dakwat itu tidak kekal.
Untuk apa? Untuk mempersoalkan kenyataan SPR. Sedangkan, apa yang sepatutnya
diperhatikan apakah ada orang yang mengundi lebih daripada sekali.
Memang
terdapat dakwaan bahawa ada mereka yang mengundi lebih daripada sekali. Hal ini
dan juga segala dakwaan-dakwaan lain seperti pengundi hantu dan juga gangguan
bekalan elektrik boleh sahaja dilapor kepada pihak berkuasa, langsung mencabar
keputusan pilihanraya bagi kawasan-kawasan yang terlibat. Kita tunggu dan
saksikan di mahkamah nanti.
Ketiga-tiga isu iaitu pengundi hantu warga
Bangladesh, gangguan bekalan elektrik dan juga penggunaan dakwat kekal menjadi
heboh dan kalut pada 5 Mei lalu berlaku kerana mob psychology. Bila beberapa orang bertempik dan berteriak penuh
dramatik dan aksi mereka dirakam dan tersebar di internet, ia dipercayai
sebagai benar terjadi tanpa usul periksa.
Masyarakat
tidak sempat berfikir secara logik dan rasional. Sikap orang kita yang mudah
percaya, ditambah pula dengan kemahiran cut
& paste dan semangat ingin menjadi arm-chair
hero itulah yang membuatkan segala perkara yang belum tentu betul itu
tersebar luas.
Soalnya
bukannya apa yang menjadi isu itu tidak mungkin berlaku, tetapi lebih baik
percaya pada perkara yang benar terjadi dengan usul periksa, daripada
mempercayai sesuatu tanpa usul periksa. Sharing
is caring. Berkongsi itu tanda peduli. Demikian di antara catch phrase popular terkini. Tetapi
berkongsi sesuatu yang belum tentu sahih itu tanda kita tidak peduli dengan
perbuatan yang barangkali mempalitkan diri sebagai penyebar fitnah.
“Wahai orang-orang yang
beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka
selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
– Al-Hujurat; 6.
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 15.5.2013, insya-ALLAH...
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 15.5.2013, insya-ALLAH...
Assalamualaikum, saya singgah dan follow blog ni ye :D
ReplyDeleteWaalaikumsalam. Terima kasih.
ReplyDelete