Photo credit: bloguntukdibaca.blogspot.com
MEMBENTUK IMEJ,
MENGEKAL PERSEPSI
MENGEKAL PERSEPSI
PADA
Ahad lalu, Sinar Harian memaparkan statistik dan rajah yang menunjukkan,
meskipun PR memenangi undi popular 52 % mengatasi BN, namun bila diperincikan,
PR sebenarnya hanya popular di lima negeri iaitu di Selangor, Pulau Pinang,
Perak, Kelantan dan juga Wilayah Persekutuan.
Begitu
juga pada keluaran semalam, team analisa PRU13 Sinar Harian telah mendapati
parti UMNO paling popular berbanding dengan parti-parti lain. Malah, ia lebih
popular di Kelantan, mengatasi undi untuk Pas dan PKR. Pada hari ini, kami
memaparkan pula statistik mengenai penguasaan PR ke atas kesemua ibu negeri
kecuali Kangar dan Johor Bahru.
Terdapat
banyak lagi kajian dan carian yang sedang kami lakukan. Kami akan cuba paparkan
satu demi satu. Tetapi kami maklum, bila laporan kami memihak kepada BN, pihak
yang menyokong PR berasa tersinggung. Sebaliknya, apabila laporan memihak pula
kepada PR, para penyokong BN pula yang terasa. Namun, statistik adalah statistik.
Kami tidak berpihak kepada BN mahupun PR. Kami hanya berpihak kepada fakta dan
angka yang melalui kajian ini, menggambarkan kebenaran.
Lagi
pula, kami hanya ingin memberi pencerahan untuk memperbetul persepsi kita semua.
Kebenaran seharusnya membentuk persepsi sebenar terhadap sesuatu perkara. Persepsi
yang salah selalunya berpaksi daripada maklumat yang tidak tepat. Persepsi dan
maklumat yang tidak tepat pula akan menghasilkan tindakan yang salah. Tindakan
yang salah akan mengakibatkan kegagalan.
Meskipun
BN dan PR merangka strategi yang tepat berdasarkan maklumat yang betul, ada
banyak juga strategi yang membawa kegagalan kerana berpandukan maklumat yang
salah. Di saat-saat menjelang PRU13, DS Najib sebagai pemimpin BN menyatakan rasa
yakin akan menguasai dua pertiga parlimen. DS Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PR
pula menzahirkan keyakinan akan mengambilalih pemerintahan negara.
Andainya
kedua-dua pemimpin meuar-uarkannya sebagai muslihat dalam peperangan, muslihat
itu telah menggagalkan strategi angkatan masing-masing apabila kedua-dua pihak,
khususnya jentera pilihanraya mereka jadi khayal hingga menjadi over-confident. Pengikut turut menjadi
alpa. Hasilnya, kedua-dua pihak tidak dapat sepenuhnya apa yang diimpikan.
Walau
apa pun, BN yang kelihatan agak terhuyung-hayang dan kepenatan dalam menangkis
segala muslihat PR menjelang PRU13 kelihatan melangkah sebaik sahaja
pilihanraya berakhir. Mereka telah menubuhkan kerajaan negeri masing-masing,
membariskan anggota kabinet dan sudah mula bekerja.
Sebaliknya,
PR yang tampak gagah dan bergaya di saat-saat menjelang PRU13 kelihatan belum
tersusun sepenuhnya hingga ke hari ini. Masih belum nampak secara terperinci
apa yang akan mereka laksanakan untuk agenda negeri yang mereka kuasai. Malah,
ada krisis dalaman parti mereka yang terkeluar ke khalayak ramai.
Yang
jelas, apa yang dilakukan oleh BN dan PR ini menimbulkan persepsi di mata 13.26
juta rakyat yang keluar mengundi pada PRU13. Sebahagian besar daripada mereka
bukan ahli mana-mana parti. Ramai yang hanya simpatisan dan golongan di atas
pagar yang membuat keputusan memilih setelah mereka membuat pertimbangan
berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar. Pertimbangan inilah yang
menjelmakan persepsi.
Kerana
itu, selain daripada menjaga tindak-tanduk, kedua-dua BN dan PR perlu peka
untuk membentuk persepsi yang baik di mata rakyat. Di sepanjang tempoh di
antara PRU12 hingga PRU13, pihak BN dilihat tidak seperti berdaya mengekang
persepsi buruk yang bertali arus menyerangnya. Sebaliknya, PR pula bersifat
menyerang.
Bagaimana
pun, setelah PRU13 berakhir, pemimpin BN
nampaknya lebih cepat menjawab segala kritik dan manipulasi persepsi buruk yang
dilemparkan ke arah mereka. Mereka tampak cergas, sentiasa bersiap siaga,
menjawab dan menjawab seperti apa yang para pemimpin PR lakukan sebelum ini. Ini
akan mempertahankan imej positif di mata rakyat.
Dalam
mana-mana pertandingan atau perlawanan, orang yang menyaksikan akan condong
untuk menyokong pihak yang nampaknya lebih kuat. Mereka ingin dikaitkan dengan
pihak yang menang. Mana-mana pihak yang sentiasa awas untuk menjaga imejnya
yang lebih handal akan memperoleh penyokong yang lebih ramai.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.5.2013, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.5.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment