Tuesday, May 24, 2011

MENUNGAN DAN RENUNGAN



GENERASI MERDEKA
YANG TERLUPA

PETANG kelmarin, saya menghadiri satu perjumpaan ramah mesra di antara Kementerian Dalam Negeri dan ketua-ketua pengarang media cetak dan elektronik, di Putrajaya. Perjumpaan itu diraikan oleh Ketua Setiausahanya, Dato’ Sri Mahmood Adam. Di antara intipati pertemuan itu adalah ingatan pihak kementerian agar media terus menjaga keharmonian kaum dan agama dalam penyampaian berita.

Biasalah. Dalam pertemuan untuk membincangkan hal-hal penerbitan dalam konteks keselamatan negara, soal-soal sensitiviti agama dan kaum menjadi topik yang disentuh pihak kementerian. Namun, mereka yang hadir menyokong sepenuhnya saranan yang disampaikan oleh KSU kementerian sebagai panduan dan sempadan.

Setelah majlis tamat, saya berasakan tiada perkara baharu yang dibincangkan. Dengan KDN, itulah hal yang lazim disentuh pada setiap pertemuan. Perasaan jadi hambar dan fikiran saya lebih tertumpu kepada terbitan Sinar Harian kerana hari sudah menjelang senja. Mesyuarat memilih tajuk berita esok untuk lapan edisi Sinar Harian mesti diadakan sebelum maghrib.

Selepas Mesyuarat Senja Sinar, saya membuka e-mel daripada Chan Ee Mei, rakan sekelas saya daripada darjah satu hingga tingkatan lima. Ee Mei adalah di antara rakan yang tegas, lantang dan pandai. Oleh kerana berpersonaliti begitu, dia selalu dilantik sebagai ketua darjah. Di sepanjang zaman persekolahan, Ee Mei menjadi ketua darjah saya lebih daripada lima kali. Saya tidak ingat pada tahun-tahun apa, tetapi kerap jugalah dia menjadi ketua darjah.

Hubungan kami terputus setelah tamat persekolahan. Namun, dua tahun lalu, melalui beberapa orang teman sekolah, kami bertemu semula di majlis Class of 1974, Sekolah Menengah Sri Mersing. Suasana di dewan Hotel Seri Malaysia, Mersing jadi riuh rendah pada malam itu. Kami semua daripada pelbagai kaum dan agama bercerita kisah-kisah lama dengan penuh nostalgik. Kami bergurau senda seperti bebudak sekolah.

Pada pertemuan itu, Ee Mei dilantik menjadi koordinator kumpulan kami. Dan sebagai koordinator, beliau berjaya mengumpul segala maklumat terkini berupa alamat, nombor telefon dan pekerjaan semua rakan-rakan Class of 1974. Maklumat itulah yang dikirim Ee Mei kepada saya.

Tatkala menatap e-mel itu, saya terkenang kembali, betapa seronoknya kami di zaman persekolahan. Ketika di sekolah rendah, kami bermain police and thief, belon acah dan teng-teng. Di luar waktu sekolah, kami berkayuh basikal ke merata daerah.

Apabila di sekolah menengah, ramai di antara kami menyertai pasukan pengakap. Kami berkhemah, makan dan tidur baring, bersama. Kenakalan sebagai pelajar seperti meniru kerja rumah dan membaca komik ketika cikgu mengajar adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kami bukan setakat berkawan sesama kami, malah kenal adik-beradik dan ibu bapa masing-masing.

Apabila saya menutup e-mel itu, satu perasaan yang lain pula muncul. Layar minda saya memaparkan kembali pertemuan di KDN pada siangnya. Saya teringat, rata-rata ketua-ketua pengarang yang hadir itu berusia lebih daripada 50 tahun. Ertinya, mereka adalah generasi merdeka. Seperti saya, mereka juga melalui tahun-tahun 60an hingga 70an di mana pergaulan di antara kaum dan agama ketika itu lebih terbuka dan lebih bertoleransi.

Malah, sebahagian besar daripada mereka yang menjadi peneraju dalam pelbagai bidang, samada sebagai penjawat kerajaan, ahli politik, tokoh korporat, usahawan dan ramai lagi, terdiri daripada mereka yang telah melalui zaman yang tenang lagi indah dalam keharmonian, keseronokan dan kenikmatan hidup sebagai anak Malaysia yang merdeka.

Tidak kira Melayu, Cina, India mahu pun Sikh, mereka bermain dan belajar bersama tanpa sempadan-sempadan minda yang menjadikan mereka berfikiran rasis mahupun mendabik-dabik dada beretorik mengenai agama masing-masing seperti hari ini. Generasi merdeka ini faham batas dan pantang larang bangsa dan agama lain.

Setelah melalui zaman yang begitu terbuka dan bertoleransi, mengapa pula terdapat di antara mereka daripada generasi merdeka yang terikut-ikut dan terheret dengan pelbagai prasangka? Mereka terpengaruh dengan apa yang dikenali sebagai kebebasan bersuara sehingga kerap terbabas dalam menyuarakan kehendak masing-masing tanpa berlapik lagi kerana terlupa mereka sebenarnya telah meruntuhkan apa yang mereka sendiri telah bina selama ini.

Generasi merdeka yang menguasai pelbagai sektor pembuat dasar seharusnya mengenang kembali kawan-kawan sekolah dan sekampung dari pelbagai bangsa dan agama yang sama-sama bermain dan belajar untuk hidup dalam harmoni. Kalau kita bertemu mereka, apakah kita akan bercakap dengan lantang dan celupar tanpa mengambil peduli sensitiviti agama dan kaum? Kalau kita sayangkan mereka sebagai teman-teman, pasti kita tidak akan membiarkan hati mereka terluka.

Maka peringatan KDN mengenai pentingnya keharmonian kaum pada petang kelmarin jadi bererti sebagai renungan dan menungan.


Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.5.2011.


Photo credit: blogtamingsari.blogspot.com

No comments:

Post a Comment