Tuesday, May 17, 2011

MENJAGA NAWAITU PERJUANGAN





Photo credit: islambestreligion.wordpress

APABILA TERALIH
KOMPAS PERJUANGAN

DIA sudah berbeza daripada dahulu. 25 tahun lalu, Razif suka berpakaian batik lengan panjang, berseluar slek dan bercapal. Sama ada siang mahupun malam, itulah pakaian Razif. Pakaiannya itu sekali gus sesuai untuk ke kuliah, mesyuarat persatuan mahupun untuk ke surau. Sebagai seorang aktivis pelajar, itulah identitinya.

Saya tidak menyangka menemuinya ketika minum-minum sebelum bermula sebuah seminar perniagaan baru-baru ini. Razif sudah berkot dan bertali leher. Kasutnya lebih berkilat daripada mereka yang berada di sekelilingnya termasuklah kasut saya.

Gaya berjalannya sudah berubah sama sekali. Tidak pantas dan lincah seperti dahulu. Sebaliknya, aturan langkahnya perlahan dan tersusun setapak demi setapak. Nampaknya, Razif amat menjaga penampilannya.

Dan, yang berbeza sekali, Razif sudah tidak lagi bercakap mengenai perjuangan bangsa, menegak demokrasi, keadilan, kebebasan bersuara, meritokrasi, anti nepotisme dan kronisme seperti ketika dia menjadi pemimpin pelajar dahulu.

Sebaliknya kini, Razif hanya bercakap mengenai aktiviti perniagaannya. Istilah ekonomi, saham, bajet, bon, kewangan, comparative advantage, competitive advantage, market force, new trade theory, return of investment, outward investment, systemic risk dan entah apa-apa lagi yang saya sudah lupa. Pendek kata, perbendaharaan jargonnya adalah mengenai duit, duit dan duit.

Ke mana pergi perjuangan yang menjadi idealismenya selama ini? Saya tidak tahu dan tidak mahu bertanya Razif. Cukuplah saya mencari jawapannya dengan berfikir sendiri. Secara peribadi, saya berasakan kenalan saya ketika di kampus itu sudah hilang kompas perjuangan untuk masyarakatnya. Yang tinggal hanyalah perjuangan untuk tembolok diri dan mereka di sekelilingnya.

Perjuangan untuk diri semata-mata tidaklah salah. Yang silap ialah, beliau telah teralih kompas perjuangannya kerana tidak jelas, mengapakah beliau bermati-matian berjuang untuk masyarakat dan negara utopianya ketika di kampus dahulu.

Seseorang siswa boleh sahaja berubah niat dan minat terhadap idealismenya sebaik sahaja meninggalkan alam kampus. Komitmen kerja, keluarga dan rumah tangga boleh sahaja mengubah prioriti perjuangannya ke tangga tercorot.

Begitu juga, seorang aktivis politik yang gah dan gagah berjuang boleh tersasar kompas perjuangannya apabila menyandang jawatan, dikurniakan pangkat dan di kelilingi pelbagai peluang untuk menghimpun harta.

Kakitangan kerajaan yang baru bertugas tentu sekali sudah diorientasi dengan pelbagai panduan dan etika institusi yang dianggotainya. Begitu juga mereka yang mula bekerja di syarikat swasta akan dibekalkan dengan visi dan misi syarikat yang menjadi perjuangan entiti tersebut.

Namun, mengapa pula setelah bertugas, dugaan-dugaan seperti diketepikan daripada kenaikan pangkat, berselisih faham dengan ketua dalam soal-soal kerja atau kerana tidak menerima bonus tahunan, seseorang itu terus terlupa asas perjuangan sebagai warga kerja syarikat. Ada yang bukan sahaja terus merajuk tetapi terdapat mereka yang mensabotaj syarikat dengan tidak melakukan kerja dengan baik.

Mengapa perjuangan mula luntur? Mengapa idealisme yang dijunjung layu dan gugur dari sanubari hingga ada yang meninggalkan perjuangan kerana dirasakan tidak memberi makna kepada kehidupan diri masing-masing? Saya mendapat sedikit jawapan daripada buku Khalid ibn al-Walid: Sword of Allah tulisan A.I.Akram.

Khalid adalah seorang komander dan strategis peperangan. Beliaulah yang mengalahkan tentera Islam dalam peperangan Uhud. Beliau jugalah yang mengepalai beratus-ratus peperangan setelah beriman. Semangatnya kental, tindakannya jitu, prinsipnya teguh sekali.

Pada suatu ketika, beliau telah dilucut jawatannya oleh Omar al-Khattab pada 638 tahun Masehi, sebagai ketua panglima perang dan digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah. Khalid tidak merajuk dengan Umar yang memecatnya. Sebaliknya dia akur, patuh dan taat dengan perintah itu dan memfokus fikirannya terhadap jihad.

Di antara kata-katanya setelah beliau dipecat ialah: "Tatkala hujan malam, aku berdiri dengan pedang dan perisai di tanganku… melihat dan melihat lagi ke ufuk timur, menanti fajar agar aku dapat memulakan pertempuran.”

Apakah pegangan perjuangannya jika tidak kepada Allah S.W.T yang satu? Apakah pegangan perjuangan kita yang hilang baranya kalau tidak kerana nawaitu perjuangan yang bercampur-aduk, bersimpang-siur dan pelbagai? Oleh kerana ia kehendak yang bermacam-macam, ia jadi caca marba dan hilang ditelan waktu seperti debu yang ditiup angin pantai di malam hari.

Sebaliknya, perjuangan kerana Allah S.W.T akan kekal ketika berkumpulan mahupun bersendirian. Seperti komando yang berseorangan pun, perjuangan kerana Yang Maha Esa menjadikan kita individu yang cekal dan kekal.

Seperti kata seorang sahabat,
“Jadilah benih yang baik…
jatuh ke laut menjadi pulau;
terdampar ke darat menjadi bukit;
tercampak ke langit menjadi satelit!”



Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.5.2011.

No comments:

Post a Comment