Tuesday, May 10, 2011

KERANA MULUT BADAN BINASA




Photo credit: freakingnews.com



BILA BERCAKAP
IKUT
SEDAP MULUT

DALAM menjalankan tugas di Sinar Harian, ada ketikanya saya meneliti dokumen rakaman sidang akhbar tokoh-tokoh politik, pegawai kerajaan, personaliti perniagaan, para pemimpin NGO, selebriti dan juga orang awam. Rakaman berbentuk video, foto mahupun rakaman suara daripada MP3 dan telefon bimbit adalah di antara dokumen yang saya semak sebelum disiarkan, khususnya visual mahupun audio yang terdapat unsur-unsur sensitif. Ini tidak termasuk laman web, blog, Facebook dan Twitter kepunyaan individu-individu berkaitan yang saya ikuti.

Sebagai akhbar yang menjadikan laporan yang telus dan tulus sebagai kompasnya, Sinar Harian cuba mengelak daripada menerbitkan kenyataan-kenyataan yang berbentuk mencaci, menghina, mengata seseorang ke atas seseorang yang lain. Sudah tentu amat sukar Sinar Harian mengenalpasti andainya apa yang diperkatakan oleh seseorang itu berupa pembohongan mahupun fitnah pada ketika ia dituturkan sehinggalah kata-katanya itu disangkal oleh pihak lain bersama pelbagai bukti pada waktu atau hari berikutnya.

Seboleh mungkin, pihak editorial Sinar Harian, mengenepikan cakap-cakap individu yang orang sekarang kata; bermulut laser. Sebaliknya hanya menerbitkan kata-kata yang keras tetapi berlapik. Ia bertujuan agar kata-kata yang kasar dan kesat tidak menjejaskan bukan sahaja orang yang dikata, malah batang tubuh orang yang mengata itu sendiri. Bayangkan, andainya kami terbitkan kelancangan kata-kata sesetengah individu, tentu dia ‘masak’ dikritik orang. Pada waktu yang sama, kami tidak mahu para pembaca tidak fasal-fasal naik darah hanya dengan membaca tulisan. Ia tidak kena dengan tujuan akhbar sebagai penyampai maklumat, berita mahupun cerita. Bukannya penyebar umpat yang keji.

Kerja meneliti sesuatu kenyataan yang panas, sememangnya sukar. Dalam pada mengedit, kami tidak mahu membuang atau menokok tambah kata-kata seseorang itu mengikut tafsiran kami. Tentu sekali, kami tidak mahu memanipulasi kenyataan seseorang itu untuk melariskan akhbar. Yang penting, kami sentiasa mengelak daripada terjebak di tengah-tengah episod polemik mereka yang bertelagah sehingga seolah-olah melaga-lagakan mana-mana pihak.

Namun, masya-Allah. Ada juga individu yang selamba bercakap sesuatu yang celupar hari ini tetapi menafikan apa yang diperkatakannya pada keesokan hari seolah-olah para wartawan yang bertanya dirinya itu tersalah tafsir atau misquote apa yang disebut. Kita bukan berada di zaman wartawan menggunakan trengkas di buku nota untuk merakam ucapan.

Wartawan pada era itu mungkin sekali tersalah tulis kerana tersalah dengar atau tersalah tafsir. Tapi pada hari ini, wartawan merakam menggunakan MP3 atau telefon bimbit yang turut mempunyai fungsi video. Alat perakam pada hari ini bukan seperti tape recorder pada tahun-tahun 80-an yang hanya tahan 60 minit, tetapi berjam-jam. Dan, bahan yang dirakam dapat terus dihantar secara dalam talian ke meja Editor kurang seminit untuk disunting.

Malang sekali bila kata-kata yang dirakam oleh wartawan dinafikan oleh seseorang ahli politik, misalnya. Bahkan ada yang berani pula menggertak untuk menyaman surat khabar yang kononnya tersilap tulis. Tidak terfikirkah, wartawan pada hari ini mempunyai peralatan yang canggih untuk merekod. Mereka juga menyimpan segala audio visual agar tidak timbul masalah sekiranya pihak yang bercakap ingin mengambil tindakan undang-undang.

Wartawan adalah juga penyimpan rahsia. Banyak rahsia yang disimpan mereka dari pengetahuan orang ramai kerana mereka faham manusia yang menjadi public figure adalah juga manusia biasa. Mereka juga ada belas kasihan. Kalau mereka jenis manusia yang suka mengirai apa yang mereka peroleh, ramai public figure tidak akan berani untuk angkat muka lagi.

Begitulah bahayanya lidah. Apabila lidah menguasai fikiran, kerana mulut badan binasa. Ada orang yang bercakap tanpa berfikir, berkata tanpa menapis dan bertutur tanpa henti. Apabila sebaris mikrofon sudah tersusun di atas meja, dan lampu lensa kamera berkerlipan seperti lampu lip-lap, bulu tengkuk berdiri kerana semangat mula bersarang di hati.

Namun, setelah masa berlalu dan fikiran waras kembali menguasai minda, baharulah sesal mendatang. Di kala itu, ego pula yang menguasai fikiran. Ucapan maaf tidak mahu dilafazkan. Sebaliknya emosi menunjal hati agar tidak mengaku pula segala salah yang telah dihamburkan. Sebaliknya, pelapor pula yang dipersalahkan sehinggakan orang ramai terpengaruh untuk membunuh si pembawa berita. Don’t kill the messenger, kata Shakespeare.

Daripada Sahl bin Saad: Rasulullah saw bersabda ”Sesiapa yang dapat memberi jaminan kepadaku bahawa dia akan menjadi apa yg berada di antara dua janggutnya (misai dan janggut ~ lidah) dan apa yang ada antara kedua kakinya (alat kelamin) maka aku jamin syurga kepadanya.” (Bukhari: 314 dan Tarmizi:2408)


Artikel ini terbit di Sinar Harian pada 11.5.2011.

2 comments:

  1. Kata-kata dianyam bagi menyampaikan maksud. Perkataan-perkataan disirat bagi menyampaikan hasrat. Ikhtiar disusun bagi menyampaikan kebenaran demi menolak kebatilan.

    Mengeluarkan kata-kata, biarlah bertiangkan pengetahuan. Mengeluarkan pendapat, biarlah berbumbungkan pengalaman. Mengeluarkan hujah, biarlah berdindingkan kesabaran...

    ReplyDelete
  2. Syed,
    Orang tua kata, cakap berlapik.

    ReplyDelete