Tuesday, May 3, 2011

ANTARA REALITI & FANTASI



Photo credit: movies-berkquinlanasher.blogspot

MENYUKAI
PENGHIBUR

BIAR BERPADA

HIBURAN
daripada segi definisinya adalah apa jua aktiviti yang membolehkan kita menggembirakan hati pada waktu senggang. Hiburan terbahagi kepada tiga, iaitu jenis pasif seperti menonton teater dan wayang, jenis aktif seperti sukan atau berekreasi, dan yang boleh dilakukan bersendirian seperti membaca dan bermain alat muzik. Ia dinamakan hobi.

Namun, kita pada hari ini mendefinasikan hiburan sebagai aktiviti yang terjurus kepada menonton wayang, televisyen, teater, konsert atau mendengar lagu. Jelas sekali, kita sudah memperkecil makna hiburan dengan aktiviti hiburan pasif iaitu menikmati seni persembahan. Walau pun skopnya kecil, pengaruh hiburan terhadap kita adalah besar sekali. Kehidupan kita pada hari ini bukan setakat disulami dengan hiburan, malah sudah tenggelam di dalam lautan hiburan sehingga ada di antara kita sudah menjadi manusia hedonis ~ manusia yang suka berseronok di sepanjang masa.

Tidak cukup dengan itu, kita bukannya setakat membayar untuk berhibur seperti membayar sewa siaran televisyen, tiket wayang, konsert ataupun harga sebuah CD; sebaliknya kita pergi lebih jauh daripada itu dengan mengambil tahu hal-hal peribadi para penghibur itu sendiri. Kerana itu, kita telah melangkaui tujuan asal berhibur kerana kita mula mengambil tahu hal-hal peribadi penghibur hingga ia dimasuk campur kehidupan kita sendiri; bukan setakat mereka sebagai penghibur hati di kala masa luang.

Tentu sekali, ada ketikanya kesan lakonan seseorang penghibur itu membuatkan kita suka mahupun benci kepadanya. Kita terkeliru di antara fantasi dan realiti iaitu fantasi watak yang dibawanya dengan realiti diri penghibur itu sendiri. Sedangkan mereka hanya melakonkan watak itu.

Sama juga situasinya apabila kita cuba berlawak dengan pelawak yang menghiburkan kita dalam siri televisyen apabila terserempak dengannya di pusat membeli-belah. Mana mungkin mereka melayani kita sebagai pelawak kerana mereka melawak ketika bekerja. Habis kerja, mereka manusia normal seperti kita. Sebagai manusia biasa di dunia realiti, mereka juga perlu serius di dalam menjalani kehidupan.

Terkeliru di antara dunia realiti dan fantasi inilah yang membuatkan kita menerap acuan minda terhadap seseorang penghibur itu. Kita telah membina dan meletakkan satu standard apakah dia seseorang penghibur yang bagus, apakah dia penghibur yang tidak bagus. Malangnya piawaian yang kita terapkan ke atas mereka adalah piawaian mereka sebagai manusia, bukannya piawaian sebagai penghibur.

Kerana itulah kita bukan setakat marah dengan kelakuan mereka yang bertentangan dengan nilai kita, tetapi sehingga ke peringkat mencaci, menghina malah berkempen untuk membenci seseorang penghibur itu. Malah, kita meneropong kehidupan peribadi mereka untuk mengetahui apa yang mereka lakukan. Siapa kita untuk menilai kehidupan peribadi mereka?

Kalaulah kita menjadi mereka dan kehidupan kita sentiasa diteropong, kita juga punyai aib seperti mereka kerana kita manusia biasa. Sekarang, kita berasa selamat kerana orang lain tidak tahu aib kita kerana kita tidak glamour berbanding penghibur-penghibur tersebut. Entah-entah aib kita lebih buruk.

Mengapa kita suka membaca, melihat dan menyebarkan keaiban penghibur? Saya percaya ia menjadi satu kegemaran kerana lambakan cerita dari sumber, gosip dan juga fitnah yang ditatap di media cetak, elektronik dan alam siber. Akibat banyaknya cerita-cerita sebegitu, ia melarat menjadi satu tabiat menjaga tepi kain orang yang sia-sia, malah memberi ruang untuk mengumpul dosa.

Apa yang penghibur lakukan adalah kehidupan peribadi mereka. Kalau ada yang tidak betul pun, itu adalah mereka sebagai manusia. Apa hak kita untuk menegur mereka hingga menulis perkara yang buruk tentang mereka dan menyebarkannya? Lainlah andainya mereka adalah kenalan rapat atau saudara kita sendiri.

Walaupun kita menyukai seseorang penghibur itu, cukuplah setakat menyukai hasil karya mereka. Tidak perlu ke peringkat menggilai mereka apabila menyukai atau memusuhi mereka tatkala membenci. Penghibur kerjanya menghibur. Itulah cara mereka cari makan.

Kalaupun mereka bertemu kita dalam satu-satu majlis, itu adalah pertemuan penghibur dengan peminat. Di saat itu, kita adalah peminat yang paling disayanginya. Namun, jangan perasan. Kalau kita bertemu mereka sepuluh minit kemudian, jangan terkejut jikalau mereka sudah tidak mengenali kita. Jangan pula kita merajuk dengan mereka. Bukankah selama ini kita membayar kepada mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk dihiburkan mereka? Sebagai pembeli, kita hanya perlu mencari penghibur yang lain kalau kita sudah tidak sukakan seseorang penghibur itu.



Tidak perlulah menyayangi atau membenci mereka
seolah-olah kita ada punyai hak ke atas batang tubuh mereka.



Artikel ini akan terbit di Sinar Harian 4.5.2011.

3 comments:

  1. Majoriti hiburan pada masa sekarang, tak kira hiburan aktif mahupun pasif, juga memerlukan kos wang ringgit.

    Untuk mendapatkan hiburan berupa teater, wayang atau konsert, perlu membayar harga tiket.

    Untuk bersukan seperti bermain futsal atau badminton, perlu membayar sewa gelanggang.

    Oleh itu kita kena bijak berbelanja ketika berhibur dan bijak memilih hiburan yang bersesuaian...

    ReplyDelete
  2. betul tu.
    saya pernah dengar bahawa kita nampak seolah2 baik di hadapan orang kerana Allah menutup keaiban kita.

    Dan kalaulah semua dosa-dosa kita dapat dihidu, nescaya tiada seorang pun akan menghampiri kita dek kerana bau dosa yg dahsyat itu.

    tutuplah aib saudaramu, Allah akan menutup aibmu.

    ReplyDelete
  3. Syed Fairus,

    Kerana ada kos, hiburan biarlah berbaloi; iaitu menggembira dan membahagiakan, bukan menyeronok dan merosakkan.

    Nur,

    Benar, katamu. Sebab itu kita tak boleh perasan yang kita ini baik walaupun aib kita tidak diperkatakan orang.

    ReplyDelete