Saturday, December 27, 2008














BALIK-BALIK BOLASEPAK,
BALIK-BALIK BOLASEPAK!

MINGGU lepas, Malaysia memenangi tiga kejuaraan di dalam acara badminton World Super Series Masters Final. Pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei, juara perseorangan, bekas juara bergu All-England Koo Kien Kiat dan Tan Boon Heong pula juara bergu lelaki dan Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty memenangi acara bergu wanita. Juara dunia, beb! Bukan juara badminton tertutup Malaysia yang lokal.

Bagaimana pun, seperti yang aku jangka, RTM 1, TV3, TV7, Bernama dan Awani hanya buat liputan cerita itu di ruangan sukan di akhir berita. Bukannya berita nombor satu. Liputan di dalam surat khabar perdana keesokannya punnnn hanya seco’et! Satu dua akhbar letak berita itu di muka belakang, tanpa tajuk yang gah. Akhbar lain pula letak berita itu di sebelah dalam. Berita susulan pula pada keesokannya bertanya apa yang mereka nak buat dengan wang kemenangan, bukan tanya apa perasaan mereka sebagai juara dunia, atau rancangan mereka mengulangi kejayaan. Soalan materialistik! Tak membangun minda!

Begitulah kita. Perkara yang ada nilai berita kerana ia kejohanan dunia dan kita ada juara-juara dunia punnn tak dikepoh-kepohkan. Sebaliknya, berita bolasepak yang lebih banyak tenggelam daripada timbul itulah yang diheboh-hebohkan. Dalam bolasepak, kita ranking 156 FIFA! Tapi, bila menang satu game dalam pertandingan yang kita tak pernah dengar pun bolasepak mendapat liputan yang besar-besar.

KITA juga ada juara-juara dunia dalam sukan skuasy, hoki dan boling, misalnya. Tapi berita-berita kejayaan mereka pun tak meluas. Cara tulisan mengenai kejayaan mereka pun, tak menyemarak perasaan. Tapi, berita bolasepak memang menyemarak perasaan. Perasaan meluat dan marah yang membuak-buak. Cukup-cukuplah. Sudah-sudahlah, wahai media yang mengutamakan bolasepak.

Mereka yang di dalam persatuan badminton, skuasy dan bowling, hoki serta Majlis Sukan Negara perlu rapik dengan media. Selalulah buat kenyataan akhbar, beri kemudahan akses kepada maklumat kepada golongan ini. Rapatlah secara peribadi dengan wartawan. Kementerian Sukan pun perlu tumpu untuk PR. Sedarkan golongan media yang sukan-sukan mereka world class dan layak mendapat liputan meluas, halaman demi halaman, susulan demi susulan, siri demi siri bila mereka menang kejuaraan.

INI akan menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk berbangga dan galakkan rakyat Malaysia bergiat di dalam sukan-sukan itu. Kalau cerita bolasepak sahaja yang diutamakan, generasi muda ingat bolasepak sahaja sukan yang bagus. Kasihan tengok kanak-kanak berlatih bolasepak di padang-padang pada hujung-hujung minggu untuk sukan yang tak akan ke mana. Mindset mereka jadi kecil. Kalau mereka berlatih badminton, skuasy, hoki dan boling, sekurang-kurangnya mereka ada niat nak jadi juara dunia.

Yang penting di sini ialah mentaliti world class!


Foto:www.badmintonasia.org

1 comment: